Tuesday, April 17, 2012

perjalanan ini

‘tubuh ku tergoncang, dihempas batu jalanan,
Hati bergetar menambah kering rumputan,
Perjalanan ini seperti menjadi saksi,
Gembala kecil menangis sedih…’

Sengaja pada hari itu menekan button play di mp3 pada lagu ‘kawan-ramli sarip ft. akhil hayy’. Melihat kearah rel di platform no.1 sambil menunggu kereta api yang lewat, hari itu mengingatkan saya kepada perjalanan pulang ke sekolah usai cuti yang panjang. 

Berbekalkan tiket rm 24, perjalanan pulang ke pekan rawang dari bandar taiping memakan masa 6 jam, bersama tupperware berisikan nasi berlauk dari rumah.

Menaiki tren mengajar kita lebih banyak mengenali manusia,

Tangan saya disapa oleh seorang yang jelas berketurunan india.

“assalamualaikum”
“waalaikumsalam ye?”

“saya orang malaysia, kamu orang malaysia kan, kita sama malaysia perlu bantu sama bantu, pendek cerita, saya baru keluar penjara, dari pulau pinang, saya takda makan banyak hari, mintak tolong incik kasi duit lah mau beli nasi”

Sambil menunjukkan ic bernama jayakumar a/l …

Dia ni muslim ke idak ni? Not wang kecil dihulur kepada bekas banduan tersebut, gusar saya menjadi mangsa seterusnya.hati kecil mendengus.

"ini saje saye ade, saye budak sekolah”. Dia mengucapkan terima kasih lalu menuju ke penumpang yang lain.

Teringat mafhum nabi, peminta ada haknya walaupun si penaik unta yang menghulurkan tangan.

Lalu, seorang bapak berhampiran berketurunan indonesia menyapa saya.
“apa ngomongya dia sama kamu” sambil terseyum rongak.

“tiada apa apa..” tidak mahu menambah kes kerana melihat si India sedang mengusha panas menggenngam tangan. melihat seolah-olah pak indon sedang mengatanya.

Tidak lama kemudian dia datang bergegas, gayanya seperti mahu membaham sesuatu. Ah sudah, kes baru bakal berlaku depan mata lah jawabnya.

“hei!!!  You ha datang Malaysia jangan banyak cakap, you ambil duit kami orang, you pirgi balik indon laa..” bertempik si India tersebut dihadapan muka mangsanya hampir 3 minit, mujur tiada pergelutan, saya hanya memandang dekat andai terjadi sesuatu mungkin sempat lagi buka silat se-bunga dua. Panas juga telinga saya dengar caci makian pemuda india ni. hanya memerhati, mungkin, kurang sihat.

Selesai ditempelak pemangsa pun surai, nampaknya bapak itu sedia mengangkat punggung, mahu meneruskan perjalanannya. Sebelum senyum sekilas pada saya yang duduk di sebelahnya, sempat saya berkata,

“tak apa pak, kita saudara Islam, kita lagi baik dari orang tadi, ok selamat pak”
“makasih..” senyum rongak kembali lalu pergi meneruskan perjalanan.

Bersama Zamir hari itu menunggu tren ipoh ke KL, akan terus berangkat ke pantai timur bersama sedikit urusan. Buku ir nizar digenggam kemas pinjaman dari beliau, kami berceloteh panjang sementara menunggu keretapi yang delay selama sejam setengah. 

Tidak henti sosok berjambang ini bercerita prihal masalah umat, salah faham terhadap isu, dakwah tarbiyyah, jua isu-isu ‘perancangan masa depan’ yang tidak ketinggalan sedang mekar pada musimnya. Bersama beliau mengingat saya kepada usikan sahabat tertentu di kampus, mengusik orang lain supaya lekas lekas  membina rumah muslim. Walhal yang mengusik masih belum merancang!

Mungkin dia berpegang pada teori, baik kenakan orang awal-awal,untuk mengelakkan supaya dikenakan.

“zamir, kau tau tak pesan said buti pasal kereta api?”
“ape dia? Cerita lah…”

Stesen-stesen perjalanan ini

Tuhan menyediakan banyak stesen dalam hidup seorang hamba. Kadang kala sampai pada suatu mahallah dan stesen berikutnya, kita rasa satu bebanan yang menekan diatas pundak kita, taklifan yang terasa seakan-akan tiada satu ruang bagi kita untuk bernafas.

Namun tanpa kita sedari, entah berapa ujian dan taklifan yang Allah hadiahkan buat kita,menyebabkan kita dibimbing untuk sampai ke dataran hidayah Allah.

Justeru kata said ramadhan al buti, perumpamaannya seperti awalnya kita sedang nyenyak tidur di rumah, sedar sahaja kita berada dalam sebuah keratapi yang bergerak. Maka tentu sekali kita akan bertanya kemana keretapi tersebut sedang bergerak. Meskipun kelengkapan dalam kenderaan itu sama seperti keadaan dalam kediaman kita. Serba serbi cukup.


'sepertinya perjalanan ini menaiki keretapi. haruslah berada diatas landasan yang betul, platform yang sesuai, salah landasan keretaapi kan tergelincir, salah platform kita kan sesat!
berceloteh bersama zamir di stesen ipoh jam 0245. 

Demikianlah orang yang berakal, tiba-tiba sahaja kita berada dalam sebuah perjalanan di atas dunia ini. Mustahil tiada pertanyaan, “aku mahu ke mana?” “kenapa mesti aku berada dalam perjalanan ini?” “aku dalam perjalanan ini untuk apa?” “sesudah sampai perjalanan ini, aku akan ke mana?”.

Tentu kita akan susah hati seandainya kita gagal memberi  jawapan atas persoalan tersebut.

Perjalanan hidup baginda.

Perhimpunan segenap manusia itu pada tarikh hajj wida’. Pada hari di saat akhir baginda bertanya para sahabat, tentang apa yang telah dilakukan sepanjang perjalanan baginda pada beberapa stesen kehidupannya,

“kamu akan ditanya oleh Allah, mengenai diriku, apa akan kamu kata kepada Allah nanti?”

Para sahabat menjawab dalam suasana sentimental,

“kami menyaksikan sesungguhnya kau telah menyampaikan, menunaikan tanggungjawabmu, dan telah memberi nasihat”

Nabi menunjukkan jarinya kelangit, “allahumma nasyhad!”.

Ya Allah saksikanlah!


Kegembiraan jelas pada riak kaum muslimin menandakan seleai urusan baginda, kecuali Umar al khattab menyambut dengan tangis kesedihan. Mengetahui apabila selesainya taklifan Rasul, beerti baginda sudah hampir ke stesen yang terakhir.

Berikutlah sebuah keikhlasan hingga pada saat akhir perjalananya masih bertanya, adakah baginda telah menyelesaikan tugas sepanjang perjalanan.

"Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah dapati,dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalaulah kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu".... taubah:42

perjalanan perjuangan yang panjang.

Juga kata-kata Abu bakr assiddiq, ketika tribulasi riddah melanda ummat di ketika itu, beliau memotivasikan dirinya,

“adakah agama menjadi lemah, sedangkan aku masih hidup?”

Ia diwarisi. Hingga terkadang manisnya buah itu dicicip golongan kini, hasil keikhlasan golongan terdahulu.

Rasulallah membayar harganya, para sahabat membayar harganya, para salafussoleh juga membayar harganya.

Dan kita juga perlu membayar harga di sepanjang pemusafiran ini.

perjalanan ini suatu taklifan

Dalam menyelurusi perjalanan ini, kita disediakan dengan pelbagai taklifan, sedikit bekal makanan, secebis kemahiran menguruskan peta dan kompas perjalanan.

Saya tiba di kota London, dalam sebuah pemusafiran bersama jiwa yang sarat dengan sifat ingin tahu. Menaiki bas dari kota oxford ke ibu negeri Britain mengembil masa kurang 3 jam. Musafir seorang diri itu memberi saya satu taklifan atas diri untuk mencari destinasi yang ingin dituju berbekalkan peta sebesar pamplet mencari dan meneroka sendiri kota yang sarat dengan pelbagai ragam manusia..

keluar sahaja dari tube, kelihatan house of parliment di sebelah kanan saya, sungai thames dihadapan saya, badut berkeliaran mencari mangsa. cantik juga bumi barat ini.

dihadapan thames river, mengingatkan diri sendiri akan taklifan hidup ini.

sebanjang tafakur saya keseorangan di wilayah barat itu fikiran saya sarat dengan pelbagai perkara. Saya membuat perbandingan sedikit mengenai akhlak islam dalam perilaku mereka tanpa islam dalam jiwa mereka. Begitu jua sebaliknya terhadap jiwa islam tanpa islam didalamnya. 

Saya gelisah akan taklifan atas ummat Islam yang membawa ia hanya atas nama hingga memberi satu bentuk skepticism yang jelas.

Tiga tahun lalu.

Namun itu hanya lipatan memori hidup, ketika mengimbau kembali rasa seolah olah diberi taklifan.

Begitu juga sepanjang perjalanan saya sebagai penagih ilmu, sebanyak mana taklifan yang di beri rasmi, taklifan sebenar tetap menggunung di atas pundak ini.

menyambung perjuangan. dengan segenap cara dan diatas platform yang telah tersedia.

Meskipun di saat ketika saya  rasakan sudah tamat menggalas bukit, siap sedialah untuk memikul gunung buat ke sekian kalinya.

Tidak akan selamanya putus.

Mengenang kembali saat saya mendengar buat pertama kalinya pesan syed qutb yang disampaikan secara lantang oleh salah seorang pentadbir sekolah,

'anak anak, kita adalah mata rantai perjuangan nabi s.a.w'

Mata rantai ini tidak akan selamanya putus, ia akan disambung dari generasi ke setiap generasi, dari manhaj ke setiap manhaj yang sesuai pada zaman tersebut.

Didoakan pada stesen akhir perjalanan ini, kita akan bertemu dengan Rasulallah s.a.w, lalu baginda tersenyum melihat kita, sambil menghulurkan air kautsar ubat dahaga sepanjang perjalanan, jiwa itu seakan-akan membisikan kepada kita,

“selamat datang wahai jiwa yang meyambung legasi perjuangan ku”

Hidup ini bukan hanya suatu suratan, tapi satu perjalanan.