Thursday, January 30, 2014

"Usah berbuah sebelum ranum"

"Jika Allah ambil dari kedua mataku cahaya terang, maka dalam hati dan fikiranku masih bersinar cemerlang. Jiwaku cerdas akalku lempang, dan lidahku tajam seperti sebaik pedang"  - Ibnu Abbas, Radhiyallahu 'Anhu

Kehebatan mata dan anugrah penglihatan adalah sebuah nikmat yang besar. Kehilangannya pula membawa sebuah musibah yang besar. Tidak dapat dibayangkan, langit nan biru, daun nan hijau dan sekitarnya yang mewarna-warni berubah menjadi gelap. Siang dan malam menjadi serupa. Terang tak nyata, gelap pula gempita. Kita tidak mampu membezakan wajah-wajah manusia yang berseni ciptaan tuhan.

Ibnu 'Abbas radiyallahu 'anhu kelihatan penglihatan kerana banyak menagis kerana pengharapannya kepada Allah. Sehinggakan sahabat yang sedemikian hebat ini menuturkan kata-kata tersebut.

Kehilangan penglihatan mata sebuah musibah yang besar, tetapi ada yang jauh lebih besar dan menyedihkan, apabila buta yang menyebabkan kita terhijab dari kebenaran. Buta yang menjadikan arah dan tujuan menjadi tidak menentu.

Bahkan lebih buruk lagi musibah tersebut tatkala kita buta dari kebenaran, lalu menepis pula tangan tangan yang menghulur untuk memimpin jalan yang sebenar.

Kembali bersila di tikar mabadi'

Satu pertemuan saya aturkan sendiri di kalangan sahabat sepengajian saya, sebatch kemasukan penghujung 2013. Menikmati nasi maqlubah di kedai ammu mesir terkadang seronok juga untuk mengisi perut dengan juadah yang murah dan berbaloi. Persoalan demi persoalan ditimbulkan.

"kita sudah hampir empat bulan di sini rasanya apa yang kita dapat?"

Lidah bertutur arab mungkin boleh, tetapi bagi yang bergaul dengan arab.

"kebiasaannya apa yang dibuat dikala kelas lapang?"

"masa cuti apa yang diisi selain tidur, internet dan.. dan makan..?"

"dimana kita berada dikala talaqqi berlangsung? duduk mengkaji atau berselubung?"

dan persoalan itu dimainkan lalu ditamatkan dengan,

"Seandainya kita ditahun akhir, mahukah diantara kita sama pengetahuan kita ditahun awal?"

Mereka ternganga. Berpandangan antara satu satu sama lain.

Saya lihat mereka memahami apa yang saya canang-canangkan. Masa lapang sebenarnya membunuh pemuda dan penuntut. Ia jua permulaan kepada maksiat. Bukan hanya maksiat secara berbuat dosa, bahkan maksiat meringankan amanah di bumi menuntut ilmu.

Ralit.

Ilmu alat kebiasaannya dilihat konservatif, lapuk dan kekampungan. Lalu nafsu 'hendak cepat' yang dipilih untuk terus berada dalam lingkungan pengkajian ilmu yang diminati. Ia tidak menjadi masalah, jika telah mampu menguasai ilmu yang pertama supaya 'apa yang dikejar dapat, apa yang dikendong tidak pula tercicir'. Sungguhpun begitu, untuk memahami ilmu yang ditinggalkan oleh Rasulallah s.a.w semestinya mempunyai peralatan untuk menguasainya. Untuk menguasai ilmu yang basis.

Bagi golongan yang hendak menjaga disiplin ilmu maka perlu untuk bersama-sama mengukuhkan ilmu kunci bagi membuka pintu-pintu ilmu yang lain.

Sesetengah ulama membahagikan ilmu kepada dua bahagian, pertama Ilmu mabadi' dan yang kedua Ilmu Maqasid. Antara ilmu mabadi' ialah ilmu bahasa (ilmu nahu), ilmu aqli, mantiq, usul fiqih, usul tafsir . Ia juga termasuk dalam kaedah fiqih, "sesuatu yang tidak sempurna yang wajib kecuali dengannya maka ia menjadi wajib". Hal ini bukan dipakai hanya dalam lingkungan politik, namun ia juga termasuk dalam disiplin ilmu.

Sangat tercela apabila mahu mengajarkan ilmu, lebih lagi ilmu yang berkaitan dengan agama, jika tiada peralatannya. Ilmu kedua ilmu Maqasid adalah ilmu matlamat dari ilmu pertama.

pahatan mereka terpahat di jiwa saya. hebat mereka dalam berusaha...

Izinkan saya memberi buah fikir, bagi setiap daripada kita yang mahu mempelajari di penghujung cabangan bidang fiqh mahupun maqasid agar kembali menyelesaikan hutang tapak. Agar segala yang dituturkan akan bertapak ke bumi tidak pula merewang ke langit, dekat didarat tidak pula jauh kelaut.

Visi yang panjang Misi nan berbilang

maka sungguh beserta kesulitan ada kemudahan. Sungguh beserta kesusahan ada kemudahan. Apabila kamu selesai dari sesuatu urusan, kerjakan dengan sungguh-sungguh urusan yang lain. dan kepada tuhan hendaknya kamu berharap 
(al-insyirah: 5-8) 
Orang yang mengatakan "boleh tapi susah.." cendrung kepada membesarkan penghalang dan cabaran sehingga akhirnya tidak jadi untuk bertindak. Kebiasaannya ketakutan, kekhuatiran untuk terus kehadapan terhijab dengan ketakutan. Kemampuannya untuk melangkah hanya dihalang oleh 'angin risau'.

Bagi yang sudah biasa tinggal dalam kegelapan, disuluh sedikit cahaya pun terasa menyakitkan.

Mengapa harus memilih diri?

kalau bukan engkau siapa lagi.

Saya beranikan diri untuk kembali ke tikar mabadi'. Meneliti dan memahami semula ilmu kunci yang belum dikuasai. Saya beranikan diri untuk senyap seketika. Senyap dalam berkata-kata, senyap dalam memberi ulasan tertentu. Atas diri terdorong motivasi bahawa selepas ini saya akan berbunyi yang berisi.

Teringat suatu hari saya bersama di meja Dr.Wan Yusuf pensyarah yang bersifat bapa.

"enta nak jadi apa pun enta jadilah, apa yang enta minat, apa yang enta cenderung bidang perundangan atau perbandingan selepas ini, mahupun sejarah atau pemikiran. tapi peruntukkan dua tiga tahun untuk fokus dalam tapak ilmu asas. memang tidak mampu untuk jadi faqeh, asalkan basis ada"

kemudian beliau senyum lalu menambah,

"ingat, jangan berbuah sebelum ranum. Ini nasihat saya"

Saya akur dengan nasihat itu.

Memikirkan tentang visi yang panjang dan misi yang berbilang-bilang. Moga tuhan ganjarkan atasnya ibadah dan pahala berterusan. Kita dipilih Tuhan untuk lahir ke dunia membawa suatu visi memakmurkan bumi. Kita menjadi manusia memikul beribu misi. Bukan semudah bertutur "kita adalah khalifah!!" tanpa sedar diri sedang khianah dengan amanah.

sehebat mana pun kita berasa mampu menawan sebuah bukit, akhirnya
kita perhatikan banyak lagi bukit yang lebih tinggi dari bukit yang didaki.
itulah resam menuntut ilmu.- di bukit madaba' petra, Jordan.

Bukit tidak berpokok gah memasak bumi. Padang pasir di musim dingin disinari cahaya matahari pagi. Membawa hari yang baru. Angin dingin pagi memberi nafas buat penuntut ilmu di bumi syam. Terasa rindu pula pada hawa kehangatan kampung halaman. Apa yang pasti saya pernah berbicara dengan sahabat saya di UniSZA,

kena mengembara dalam mencari apa yang kita tiada.
kerana dalam perjuangan menuntut kesetiaan dalam mencari menuntut pengembaraan.
perlu gagah menepis kebosanan dalam makanan yang tiada variasi.
satu hari nanti ia kan kekal di memori.

Baharu bersembang sakan dengan peniaga muda.

"Muadz, kediaman kau bukan nya jauh dari kedai kain aku ini, belakang itu je. marilah datang setiap hari, aku akan ajar kamu cakap tempatan di sini, dan kau boleh ajar aku bahasa inggeris aku nak peperiksaan speaking nanti." ujar mustofa seorang anak muda berusia 19 berniaga menolong ayahnya.

"boleh cuma aku mahu satu lagi tambahan, bahasa cinta..."

"lughah hubb?? kau nak guna untuk siapa hah!!"

Terus kami tertawa bersama-sama. Sambil berlaga telapak tangan. papp!





Dengan Nama Tuhan yang menciptakan. Moga dipermudah segala urusan.



0019, 30 Januari 
al Mafraq.

Saturday, January 25, 2014

buat mu cikgu

Sebelum saya berangkat ke Jordan, empat bulan yang lalu, saya sempat singgah di Kuala Terengganu. 

Menaiki kereta dari Kedah terus ke Kuala Terengganu bersama dua orang teman, Arif Afifi dan 'Affan. Segala pertemuan bersama para pensyarah minta nasihat, sudah diatur sebelum kami meneruskan perjalanan ilmu di tempat lain. Hingga lah hari terakhir kami di Kuala Terengganu, bertandang di Kubang Lembek, untuk bertemu ustaz.

Tiba di perkarangan rumah ustaz, kelihatan sekolah rendah bersebelahan kolej serba sederhana dalam kawasan pagar rumahnya.

"eh, ustaz tak sihat kan? kau rase dia boleh terima tetamu ke time ni?" tanya 'Affan.

"entah, aku pun tak pasti lah fan, kita call ustaz Hamdi dulu. Kalau dapat rezeki, kalau tak dapat maknanya lain kali..."

"Kira last kita jumpa yang dua bulan lepas la kan, yang haritu ramai-ramai tu...?"

Saya mengangguk kata-kata tersebut sambil duduk menunggu di ruang kantin bawah rumah ustaz. Gusar perasaan kemungkinan besar tiada rezeki bertemu kali ini.

Pertemuan Terakhir

Pada suatu Hari itu,
"kita semua ini hendakkan berjuang. perjuangan perlu kepada ilmu. jika tiada ilmu perjuangan menjadi lesu.. .apabila ada ilmu kita akan faham apa yang kita perjuangkan, dan apabila kita faham, kita akan yakin dengan apa yang kita bawa..." kata Ustaz Harun.
Pertemuan diatur pada petang itu. Mungkin pertemuan pertama bagi rakan yang lain, namun pertemuan yang ke sekian kalinya bagi saya. Ustaz yang uzur bertongkat memaksa diri untuk memberi nasihat dan berkongsi pengalaman sambil berdiri.
" jangan gopoh, anak mude kuat sangat gopohnya, dalam perjuangan ini bukan mudah untuk kita kecapi kemenangan. kalau bukan zaman ana zaman entum...dan selepasnya..."
Ustaz seorang yang sungguh teguh dan tegas dengan prinsipnya. Pelbagai nasihat yang diberi, pada saat itu juga saya membayangkan bila lagi mampu bersua sekali lagi. Entahkan dapat entahkan tidak...
"Harakah Islamiyyah ini ibarat sebuah bangunan hospital yg besar, dan peranannya ibarat doktor yg memberikan ubat pada para pesakit. Kita menerima mereka tanpa memilih-milih. Biasalah, kadang-kadang pasti ada pesakit yg degil tidak mendengar nasihat..."
Tangannya saya papah untuk duduk. Selesai majlis, ustaz bacakan doa yang panjang buat kami. Sungguh saya yang berada bersebelahan, melihat air matanya berlinangan, hingga jatuh menitis di tongkatnya. Sambil beliau memerhati kesemua hadirin...

"Istiqamahlah...ana bangga dengan semua..."

"ustaz bersama tongkatnya"
sepanjang beberapa pertemuan saya denga ustaz, saya tidak pernah menangkap gambar.
entah mengapa, biarlah memori yang masih tuhan beri merakamkan segalanya.
ini gambar yang saya ambil sendiri dari kamera handphone saya di muktamar PAS pusat 2011, Gombak. 

Saya memilih untuk menjadi orang yang terakhir bersalaman dengan ustaz. Tangan saya ditarik rapat lalu saya merapatkan telinga pada ustaz. beliau berpesan sesuatu...

Kelopak mata saya pula yang terasa basah-suam-suam kuku selepas itu.

Perginya seorang pejuang

Sementara menunggu di ruang kantin bawah, kelihatan Ustaz Hilmi Harun (kini YB dun. Manir) turun memanggil lalu bersalaman dengan saya.

"maaf syeikh, ayahanda ana memang tak larat sangat untuk bertemu, dia sampaikan salam kepada semua. Nah, ini ada buah tangan sedikit dari ustaz harun."

"eh takpa ustaz, kirim salam ana dan kawan-kawan kepada Ustaz Harun, terima kasih buah tangan ini".

Hari ini 24 Januari jam 8 malam waktu Jordan, saya di khabarkan tentang kembalinya ustaz ke pangkuan Tuhan. Malam ini saya tidak mampu lena. Bagi saya, ini adalah sebuah kehilangan besar. Beliau sebagai tokoh silent struggle yang jasanya banyak dibelakang tabir khususnya dalam menggerakkan pendidikan dan pentarbiyyahan, serta Majlis Syura' (majlis mesyuarat tertinggi) Parti Islam Se-Malaysia (PAS). 

Beliau merupakan Ketua Dewan Ulama (PAS) Pusat, salah satu biro dalam Parti Islam tersebut. Juga ahli majlis syura (majlis mesyuarat).

Namun bagi saya, beliau lebih dari itu. Peranannya lebih daripada lingkungan gerakan politik. Beliau merupakan seorang guru, yang lembut dalam menasihati. Tegas dalam memberi tahu bahawa prinsip dan asas perjuangan bukan boleh digadai sewenang.

Beliau seorang guru yang menyuruh anak muridnya menekuni ilmu. Beliau seorang cikgu yang berkata 'jangan gopoh, perjalananmu masih panjang'. Beliau seorang bapa yang memahami naluri seorang anak muda. Beliau seorang tempat rujuk kepada salah sebuah bahtera perjuangan Islam di Malaysia.

Kebiasaannya kalamnya akan kupasan ayat ini, kepada anak muridnya;


Dan tidaklah  orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). attaubah:122

Buat seorang cikgu, yang banyak memberi nasihat dan tunjuk ajarnya. Buat seorang cikgu, yang sangat teguh nilai prinsipnya. Buat seroang cikgu yg bertongkat di kaki, mendoakan kami, sambil meleleh air matanya. Buat seorang cikgu yang berkata perjuangan ini akan berterusan hingga ke akhirnya.

Buat seorang cikgu, rupanya hari itu, hari terakhir kita bersua.



Aku titipkan doa, moga rohmu dicucuri rahmat dan tergolong dalam golongan orang yang beriman, beramal soleh serta bersama para pejuang yang berjuang di jalan-Nya.

Selamat berehat ustaz. Berehatlah. Moga kita direzekikan bertemu di sana.





اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه


0117 @ 25 Januari 2014
Mafraq, Jordan.