Wednesday, October 24, 2012

"berkorban apa saja..."

Teringatkan lagu Almarhum Tan sri P Ramlee dalam filem Hang Tuah pada Januari 1956, Ketika Hang Tuah menyanyikan lagu buat kekasih hatinya,

"berkorban apa saja, harta ataupun nyawa,
itulah kaseh mesra, sejati dan mulia.
Kepentingan sendiri, tidak diingini
bahagia kekaseh, saja yang diharapi..."

Saya dan Zamir berehat di kerusi kayu berhadapan dengan gerai Starbuck house. Lokasinya di hadapan pusat dagangan dunia putra, berdekatan dengan pejabat agung UMNO di ibu kota. Sedang kami bersembang ramah, kelihatan seorang perempuan berusia 13 tahun menghampiri kami bersama ibunya di sisi,

"sedeqah sedeqah..." sambil menghulurkan senaskhah surah Yasiin..
" Adik, ni abang nak tanya ni. Tunggu sekejap, umur berapa? sekolah di mana?" saya bertanya.

Walaupun saya acap kali melepak di Kuala Lumpur, sekitar masjid India berdiskusi dengan sahabat-sahabat, mencari bahan bacaan baharu, adik ini sering saya temui sejak dua tiga tahun belakangan ini. Meminta simpati bersama naskah-naskah Surat Yassin.


"Umur 13, saya tak sekolah..abang boleh beli tak, sadaqah..." jawabnya sayu, sambil ibunya bergegas berlalu pergi. Mungkin gusar diajukan soalan oleh kami. Bukan tujuan apa, sengaja mahu mendalami mereka.

"Kenapa adik tak sekolah?" sambil Zamir menghulurkan sedikit wang...
Wang segera diambil lalu berlalu sepi. Meninggalkan kami berdua.

Jalan korbannya, mengorbankan persekolahan, dan umurnya dibatasan kanak-kanak itu digunakan untuk menagih rezeki di ibu kota. Meski jalan korbannya itu dilihat abnormal. Saya pasti jika diselami kehidupan mereka pasti kita terlihatkan penorbanannya. 

Kerana Allah menjanjikan ujian dan menuntut pengorbanan setiap hambanya dalam situasi yang berbeza-beza. 

Ujian disebalik pengorbanan

wukuf. kemuncak ibadah haji. Moga direzekikan menjadi tetamu Allah.

Ismail a.s bersedia menyerahkan jasadnya. Pakaian nya telah disiapkan cantik. Rambutnya disisir rapi, tanda pengorbanan yang terbaik dari Nabi Ibrahim a.s untuk dipersembahkan kepada Allah taala. Pisau yang tajam dan tali dirangkul kemas Ibrahim a.s. Mereka menuju ke Mina untuk menyelesaikan pengorbanan.

Namun sebelum pengetahuan mereka diatas perintah itu, iblis telah menjelma dengan rupa manusia menjadi mehnah sunnah sebuah pengorbanan. Gambaran dari Tuhan kepada kita, bahawa segala pengorbanan menuntut kita untuk berhadapan sengan sesuatu mehnah dan cabaran. walau semikro atau semakro mana sekalipun.

"Apakah kamu tidak memerhatikan badannya yang gagah, parasnya yang tampan dan perilakunya yang santun?"

"Nabi Ibrahim a.s. menjawab: "Ya, tetapi aku telah diperintah oleh Tuhanku untuk menyembelihnya."

Usai menemui Ibrahim a.s, Hajar pula dirasuk soalan provokasi. Sesuai dengan janji mereka mehu menyesatkan anak Adam a.s sehingga kiamat.

"Bagaimana boleh kamu hanya duduk-duduk sahaja, sedangkan Ibrahim pergi dengan anak kamu dan hendak menyembelih anak kamu?"

"Jangan berdusta! Aku tahu seorang ayah tidak akan sanggup menyembelih anaknya sendiri!" ujar Hajar.

"Suami kamu membawa pergi anak kamu sambil membawa tali dan pisau. Dia mengira Tuhannya telah menyuruhnya untuk itu." tusukan dengan harapan kan menggugah keimanan.

"Nabi tidak diperintahkan untuk mengerjakan sesuatu yang sia-sia. Tapi, jika memang Allah s.w.t. telah memerintahkan perkara itu, aku sendiri bersedia untuk menurut perintah itu dengan jiwaku. Bukan hanya jiwa, malah anakku rela kukorbankan demi Allah s.w.t.!"

Jawapan yang solid, mematikan hujah.


Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim a.s. berkata,
 'Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu. Maka fikirkanlah apa pendapat kamu!'
 Dia menjawab, 'Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu. Insya Allah s.w.t. kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar. [assaffat:103]

Iblis menuju kearah Ismail pula.

 "Hai Ismail, kamu nampak bersenang-senang, sedangkan saat ini ayah kamu membawa tali dan pisau untuk menyembelih kamu."

"Jangan berdusta, hai iblis. Mengapa ayahku hendak menyembelihku?" tanya Ismail.

"Dia mengira bahawa Tuhannya telah menyuruhnya demikian."

"Aku memerhatikan dan mentaati perintah Tuhanku!" tegas Ismail.

Ketika iblis yang terkutuk itu melontarkan kata-kata yang lain, terlebih dahulu Ismail a.s. mengambil batu dan tanah lalu melemparkannya kepada iblis.  Setelah itu, barulah iblis pergi. Peristiwa inilah yang melatarbelakangi perintah Allah s.w.t.yang mewajibkan umat Islam untuk melemparkan batu di tempat itu untuk mengusir syaitan seperti yang dilakukan oleh Nabi Ismail.

Plot peristiwa ini kita ketahui kesudahannya.

Jalan menuntut pengorbanan dalam hidup ini tidak semudah mengail ikan di kali, apabila malam cerah, ikan akan timbul sendiri. Terasa mudah mahu mengailnya. 

Ibrah perayaan yang dikurniai Allah ini punyai erti tersendiri. Apabila tiba AidulFitri, seolah-olah mengajak kita kembali kepada fitrah sebagai seorang manusia ciptaan tuhan. Kembali kepada sifat tanah yang suci dan kain putih yang tidak dicemari. Menjadi manusia yang mengenali tuhannya.

AidulAdha tiba membawa ibrah menuntut pengorbanan dalam menjalani sebuah kehidupan. Kita tidak akan dapat menjalani kehidupan ini tanpa pengorbanan. Mahu menyuapkan nasi kedalam mulut juga memerlukan pengorbanan menggerakkan tangan. Apalagi mahu menjadi hamba Allah yang dierdhai. Pasti pengorbanannya lebih luas dari itu!

Buat jemaah haji di seluruh dunia, selamat menunaikan ibadah haji.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,: “Sesiapa yang mengerjakan haji, kemudian tidak mengerjakan dosa dan maksiat, nescaya ia bersih dari dosa-dosa sepertimana ia baru dilahirkan oleh ibunya”. 
(Bukhari dan Muslim)


Perasaan nan terkorban

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:

‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” ujar sahabat.
‘‘Itulah sunah daripada datukmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.
‘‘Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat lagi.
‘‘Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.

Bagaimana pula dengan korban perasaan. Mari kita meuniversalkan nilai korban anjuran Rasuallah s.a.w. 

Anak-anak muda sebaya saya pasti tidak akan terlepas dari belenggu perasaan. Pergaulan saya bersama rakan-rakan mendedahkan saya tentang dipresi mereka dalam pelbagai bentuk. Tanpa menafikan bahawa saya juga terlibat dengan itu.

Ada yang kerana cinta, ada kerana pelajaran, ada kerana dakwah. Ada kerana kewangan yang menghimpit, ana juga kerana tidak puas hati terhadap perkara remeh. Ada juga yang tidak tahu apa sebabnya.

Sejujurnya saya kagum dengan sahabat sebaya yang mengorbankan perasaan mereka mahukan kepuasan dalam menjalani kehidupan ramaja. Hidup mereka dipenuhi dengan menuntut ilmu dan kepayahan mencari dana tambahan. Itulah yang membentuk kematangan dalam kehidupan mereka.

Lebih jujur saya kagum dengan mereka yang menahan belenggu rona perasaan remaja yang minta disayangi dan ingin menyayangi. Perasaan ingin bertemu dan bermesra. Mereka yang telah menjadi tunangan, hanya berhubung melalui pesanan ringkas berkadaran sahaja. Walaupun dengan hanya sekerat mesej bertanya khabar dan taaruf pasti membuatkan mereka tersenyum sendiri. Kerena perasaan mereka dari dalam. Mereka melayari perhubungan itu dengan kasih sayang secara diam dan mengaturkannya pada masa yang sesuai. Pernikahan. 

Dan pengorbanan ini pastinya membuahkan kemanisan dipangkal seperti pengorbanan Ibrahim a.s.

Luaskan pandangan pengorbanan dalam pemerhatian kita. Berkorban masa, harta, tenaga, perasaan demi meneruskan legasi perjuangan Rasulallah s.a.w. Menuntut ilmu sepuas-puasnya, Itu juga pengorbanan yang dinilai oleh Allah.

Redha diatas perencanaan Allah juga suatu pengorbanan titipan daripada peristiwa Ibrahim a.s. Memberi yang termampu untuk kelangsungan sebuah peradaban Islam juga sebuah pengorbanan. Hatta sebuah korbanan perasaan dimasa muda, Ianya juga bernilai jika dipersembahkan dihadapan Allah kelak.

cute kambing ni

Selamat menyambut Hari Raya Qurban 1433 hijri.
Labbaika Allah Humma Labbaik!


walau kita tak pernah bertemu,
tapi sentiasa rindu,
Moga ada rezeki, 
iftirasy depan kaabah.

8 dzulhijjah 1433h
Taiping, Perak.

No comments: