Wednesday, November 20, 2013

yang terpuji. yang teruji.


tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, 
penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang dan derita 
sehingga jika sebatang duri menikamnya kecuali ALLAH
 memadamkannya dengan itu semua dosanya.
-riwayat al bukhari.


Masa terus berputar meninggalkan manusia yang ralit dalam dunianya. Bulan terus beredar dengan setiap rupa parasnya. Musim terus berubah suhunya. 

Ruang Fikir: Buka mata sebelum mata

Tanah kering Mafraq ketika saya tiba di sini panas berbahang. Lokasinya di tengah sahara sering kali dianggap 'underdog' walaupun dikalangan arab sendiri. Namun saya masih mampu senyum sendiri betapa nikmatnya dan hikmahnya Tuhan yang maha tahu meletakkan saya di sini. Saya seorang berjiwa kembara. Pantang diam seminggu, kaki sudah terasa 'gatal-gatal' untuk keluar merenung alam. melihat ragam. Seminggu sekali ke Amman, Irbid kadang kala bersendiri hingga ke Salt terus ke Muktah.

Lokasi Mafraq terletak diantara dua bandar besar, Amman dan Irbid. 40 minit ke Irbid sejam pula ke Amman. Stratergik bagi saya. Untuk 'berderak' ke mana-mana berbanding jika menetap kekal di bandar mahupun di hujung dunia Jordan, Muktah. Sesekali terfikir sebenarnya apa yang Allah rancang untuk kita kadang kala lebih baik dari perancangan kita sendiri.


pemandangan perjalanan irbid-amman


Kini panas berbahang kian surut dengan kehadiran musim sejuk mendingin.

Begitu juga pandangan yang terzahir kepada saya baru-baru ini. Hubungan jenama 'assalafy' dengan 'alkhalafy' masih dalam kepanasan hujah cacian di laman sosial, masih dingin dalam perhubungan persaudaraan muslimnya. 

Kadangkala jauh di benak saya adakah hal ini akan terus menjadi persoalan tanpa noktah, apakah isu ini akan terus bergenerasi sehingga kiamat membatasi.

Jasad kita memerlukan keseimbangan rohani dan akal. Manusia tidak mampu menipu atas nilai emosional dalam beragama. Selain majlis bersalawat, berdzikir mengingati perjuangan nabi sahabat dan para salafussoleh, nilai rasional juga perlu atas penyeimbangan tugas kehidupan diatas muka bumi ini. 

Nabi tidak diutus untuk meratib ke gua. Nabi juga tidak dutus untuk umatnya hanya boleh pilih satu antara dua, jalan menuju tuhannya.

Begitu diatas hujah-hujah panas, copy dan paste hadith dan ayat alquran, di laman sosial saya kira tidak sesuai untuk dijadikan pentas hujah para ilmuan. Bagaimana jika orang awam berpemikiran awam membaca cemuh-cemuh orang berilmu? Apalah salah untuk berhujah di atas meja bersama rujukkannya, bertentang mata, meluah rasa, berkongsi persamaan. Melerai perbezaan.

Buka mata sebelum mata.

" dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak punyai pengetahuan terhadapnya
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan fu-aad, kesemua itu
akan diminta pertanggungjawabannya" (al-Isra' : 36)


Kalimah al-fuaad, telah banyak diperbahas dikalangan ulama. Perbincangan dikalangan ilmuan dimanakah letaknya akal. Adakah di otak ataupun di hati:jantung sudah cukup rumit untuk diperbahas. Cukup untuk kita kata secara 'atas permukaan' airnya, berfikir dan mempertimbangkan secara mendalam. atas rasional akal, atas kejernihan hati.

Betapa spesifiknya Tuhan melarang kita mengikuti suatu hal tanpa proses pengetahuan dan penelitian, atas semua pancaindera. Mata melihat, telinga mendengar, dan fu-ad (mata hati) untuk menilai segala proses pemilihan dalam hidup. Dan ia akan dipertangungjawab!

Apa yang akan terjadi jika hanya mata melihat, sementara fu-ad (mata hati), dan pendengaran tidak berfungsi? Tentu sahaja hanya yang cantik di pandangan mata yang akan dipilih.

Apa pula jika hanya mendengar? Hanya yang sedap didengar mungkin akan dituruti. Begitu juga dengan mata hati (fu-aad) tanpa rasionalnya penglihatan dan pendengaran jua boleh membawa binasa.

Ternyata begitu sekali Allah memberi option untuk kita memilih berdasarkan penilaian yang terbaik atas pancaindera yang dikurniakan. Umat yang berpegang pada kitab Tuhan tidak harus untuk mengikut ekor buta-buta. Mahasiswa baru kebiasaannya akan terperangakap atas hal ini. Memilih 'jalan' mana yang dirasakan terbaik untuk akhirat-dunianya.

Drama dan movie: sisi bengkok dan lurus.

Prof.Dr Yaasin menerangkan tentang psikologi gender: lelaki perempuan
(men are from mars woman are from venus) dalam subjek undang-undang keluarga dan perkahwinan Jordan.

"ini ialah norma kehidupan. Bagaimana wanita selama-lamanya tidak akan sama dengan lelaki, dari sudut daya pemikiran, dan perwatakkan. Penting untuk kalian bersyukur atas apa yang Allah beri. Bacalah buku John Grey, 'men are from mars, woman are from venus'. Kamu mahu melengkapkan agama dalam perkahwinan, perlu jua kamu melengkapkan dalam fikiran bagaimana mahu menghadapi hidup bersama...orang yang bukan...sama spesis dengan anda..." ulas Prof.Dr. Yaseen dalam kuliah 'Qanun Keluarga'. 

Saya bersama sekelas bergelak-tawa.

Dalam perilaku terpuji akan ada yang menguji. Hidup mahupun perhubungan, bukan semudah dan seindah drama televisyen. Pengarah movie dan drama, menyusun plot cerita berdasarkan kepuasan penonton, genre dan trend penonton dalam sesebuah negara. Sedangkan kehidupan adalah penyusunan tuhan.

Drama kurang mendidik telah membawa 'bah' besar. Mr. Arrogant, Suami aku seorang Playboy menjadi keghairahan manusia mencari plot kehidupan bahagia mereka. Silap langkah berlakulah kekacauan keluarga dan rumahtangga, hanya kerana suamiku tidak seromantik suami dalam drama, isteriku tak semanja dalam movie. Benar-benar teruji. Bala manusia mencari kebahagiaan tanpa pancaindera.

Moga bahana skrin ini bagaikan bicara atau sapaan Allah agar kita ingat apa yang kita lupa, ubah apa yang salah, tambahkan pahala dan padamkan dosa. Artis yang telah 'berhijrah' itu perlu terus bersama dalam pembikinan karya yang jujur mendidik luhur manusia supaya mencari kunci bahagia mereka. Kita tidak perlu membuang apa yang menjadi hiburan. Tapi kita masih berpeluang membina, melalui hiburan.

Yang terpuji, yang teruji

Tanah Mafraq yang sedang saya injak ini punyai banyak cerita yang terpuji. Kenangan kembali ke zaman sekolah rendah, menaiki bas ke kuliah. Punyai kenalan yang berbudi terutamanya dari Palestin dan Turki, Suasana ilmu, perbincangan turath agak subur, dan pensyarah yang supportive kepada ajnabi. Namun tidak sunyi juga dari ujian.

Begitu juga keadaannya baginda Rasullallah dalam menjadi orang yang terpuji, baginda 'alayhi solatu wassalam tidak sunyi diuji.

Dalam Kayuhan perjalanan kehidupan ini sebenarnya telah membawa kita ke sebuah daerah untuk kita berfikir dan meneliti, sejauh mana kekuatan kita untuk berada di setiap tempat yang Tuhan utuskan. 

Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Melihat manusia yang terpuji menjadikan kita berasa mahu terus maju dengan ilmu dan kehidupan.

Melihat saudaraku pelarian syria yang kesempitan dan derita dizalimi, di tepian jalan meminta-minta bekalan makanan, menyebabkan terlintas segera dalam perasaan "disisi Allah mungkin dia lebih baik dari diriku ini".

Terperanjant dengan wayar pam air, yang membekalkan air di rumah digunting tetangga arab. Hanya kerana ketidak-puasan hati bekalan airnya lewat dipam. Dalam kemarahan saya yang meluap, terlintas di fikiran "mungkin ini kafarah Allah beri atas perbuatan jahatku dahulu. Tuhan ampunkan aku."

Kita semua akan melalui bicara dan didikan Tuhan melalui pentas ini. Kita mengharapkan ujian akan membawa kepada sesuatu yang baik, seperti membawa Musa alayhissalam kepada pelbagai kurniaan. Seperti doa Musa 'alaihissaalam...


"wahai tuhanku sesungguhnya aku ini fakir kepada apa sahaja yang engkau turunkan". 



20 november. 1512.
Mafraq.

*tajuk diinspirasi dari blog penulis Indonesia, Sallim a. fillah.

3 comments:

Ummu Syaheed said...

penulisan yang baik . keep it up!

sangat setuju,terlalu kurangnya drama dan filem islamik juga sutradara islami di Malaysia.

menanti munculnya watak Kang Abik , Kholidi Asadil Alam , dan lain2 ya sememangnya Isalmik dalam filem dan juga pentas realiti.

hilmi said...

aku masih x setuju penggunaan istilah 'salaf' & 'khalaf' sebab pada aku ia kurang tepat.

Anonymous said...

Entah le bro. Istilah apa yg tepat? Wahabiiyyah dan sufisme pun rase kurang tepat... So den bubuh le 'jenama'...