Tuesday, September 10, 2013

perjalanan hidup ini. kadangkala kita lupa.

Dalam kita menjalani satu demi satu bab dalam kehidupan seharian. Jarang kita fikir untuk kembali semula kepada nilai apa yang mahu kita bawa. Adakah ia hanya ghairah atau kita dapat melaluinya dengan fitrah.

Nabi pernah mengingatkan, prihal kehidupan ini,

"Saya di dunia ini bagaikan penunggang kenderaan yang berehat di sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya." (attarmizi)


kita sering lupa tentang hakikat itu. Kita sedang bermusafir menuju ke satu destinasi. Perjalanan dunia ini terlalu pantas. Anak kecil telah menginjak dewasa. Dewasa sudah berubah tua. Si tua sudah berbatu nisan.

Kata Abdullah bin Umar,

Rasulallah memegang bahuku lalu berkata,  
"Jadilah kamu di dunia ini bagaikan orang asing, ataupun seorang musafir"

Kita sering dilalaikan atau terlalai, dengan hal mengejar ijazah, politik, kuasa, harta, keluarga, persatuan, masayarakat, parti hingga terkadang kita lupa apa tujuan keberadaan kita dalam semua itu.

sebagai bekalan perjalanan atau sebagai beban dalam perjalanan?

Syurga kompas kita. Bagaimana kita menggunakan kompas hidup ini, agar tidak terlajak jauh. Bagaimana jiwa dan perasaan kita perlu dikawal, sehingga kita dapat melihat kekerdilan dunia dan keraksasaan akhirat. Justeru hati akan reda dengan segala ombak duka ataupun keserabutan jiwa.

Apa yang mahu dikejarkan? Untuk apa kita terlibat dalam semua ini?

think.


Moga setiap perjalanan kita atas suci fitrah manusia. Moga kita tahu apa yang kita tuju dalam kembara kehidupan ini.

Kembara Ilmu.


uniSZA. pernah mengaji sini dulu. 3 tahun.

Kembara ilmu selaut cahaya.
Milik tuhan tiada bertepi.
Diselam tak jejak ke dasar.
Ditimba tak luak setitis.

Pesan murobbi, guru, sahabat dan teman,
Menjadi bekalan dalam kembara ilmu berpanjangan.
Suka duka resah gelisah,
akan ku ubatinya dengan kalam mereka,
"sirru 'ala barokatillah"


Tuesday, August 6, 2013

"Eli, moga ketemu lagi."

Kesedihan meresap ke setiap nafas. terus mengalir dalam darah hingga rasa pedih sebak di dada. Saya tergamam menerima panggilan selepas sahur pagi jumaat, dari rakan menyatakan Eli Izran koma dan berada dalam keadaan kritikal. Saya yang kebetulan mahu ke Kuala Lumpur untuk majlis bersama rakan sesekolah, bersiap menyusun plan untuk menziarahinya di wad ICU Hospital Putrajaya. Sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur, terbayang gurauan dan karutan, usikkan, kesungguhan berceritanya dan bebelannya.


eli yang sedang berceloteh pada saya. Gambar diambil dari hp saya dalam biliknya.
(Ely Izran 1992-2013)

Kami tidak berkesempatan sekelas, dia dalam bidang Dakwah, dan saya bidang Syariah di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA. Namun pernah menetap searas di blok C kolej kediaman sewaktu tahun dua, memberikan keterikatan seperti keluarga. Berkongsi cerita suka dan duka. 


Demikianlah, bahawa setiap kehidupan ada pengakhiran. Setiap dari kita akan melalui babak yang sama. Kalau hari ini kita terkejut dengan kematian orang yang kita kasihi. Esok lusa orang lain pula akan terkejut dengan kematian kita. Setiap dari kita menunggu giliran, dan alam, waktu, masa terus berjalan bersama usia kita yang menjadi rahsia.


Ely Izran yang saya kenali


Saya mula mengenali Eli seroang yang peramah ketika mendaftar sebagai seorang pelajar baru di UniSZA, Terengganu. Sewaktu di tahun satu dan tahun dua, biliknya lah menjadi 'port' kegemaran saya bersama roomate nya Wafi. Rumah kami searas. Saya seronok untuk 'melepak' mendengar bebelan nya. Kadang-kadang menghiburkan. Makan tengahhari bersama projek masak banyak berlaku di biliknya.


Sahabat bekas pelajar maahad mahmud Alor Star ini, bercita-cita tinggi. Aktif dalam berpersatuan, berdebat. Mudah didekati dan segar buah fikirannya. Rakan baiknya selalu bersama, Wafi, Saiful, rakan 'se-suksis' dan rakan sekelasnya terhibur apabila bersamanya. Benarlah kehilangannya dirasai oleh sahabat-sahabat seperjuangan dalam menuntut ilmu.


Saya masih ingat sewaktu masak dengannya, meng'kerabat'kan kerepek-kerepek nya yang ada. Makan bersama masakkan bujang yang rasanya entah apa-apa. Lalu ketawa bersama merasa masakan yang rare rasanya. Terbayang ajakan makan darinya.


Dia suka mengusik saya dengan panggilan "ustaz-ustazah.."

"weii 'ustazah'... jom lah mai sini makan sekali.."


Buat kali terakhirnya

Saya tiba di Kuala Lumpur menerima sms bertalu talu dari sahabat rakan tentang perkembangan kesihatannya. Kritikal. Saya menghubungi sahabat-sahabat untauk menyusun aturan ke sana esok. Alhamdulillah saya dapat menziarahi Ely. Namun, dalam keadaan dia tidak sedarkan diri. Koma, menghidapi jangkitan kuman.



bilik Eli terakhir di dunia sebelum ke bilik 'sana'
Saya tiba di wad ICU, lalu saya mengusap dahinya beberapa kali, memegang bahunya,dan dadanya sambil membaca beberapa potongan ayat syifa' yang saya ingati. Memberi semangat agar dia kuat untuk menghadapi ujian ini. Wajahnya tetap tenang tanpa kerut kesah di dahi, menghadapi penyakit yang perit. Saya perhatikan dia bersama mesin-mesin perubatan yang galak berfungsi, sambil mendengar alunan ayat quran bacaan syekh mishary yang dimainkan. Lalu saya berpesan dengan suara yang jelas,

"Eli, abang suksis, ko kedet polis, mesti tough, bangun syekh, lawan... penyakit ni kau boleh lawan. InsyaAllah boleh baik, kita leh keluar mcm biasa"


"aku mintak maaf tak sempat roger kau bila turun KL, tak sempat kita nak ke Alamanda, masa call hari tu"



Pesanan akhir, beliau ingin
bertemu saya sebelum bertemu ilahi..

Saya berdoa dan bersedih atas kehilangan rakan, sahabat, teman antara manusia daripada sebilangan manusia yang pernah mewarnai kehidupan saya sewaktu zaman universiti. Mahu bersama seperti dahulu mungkin susah, Moga pertemuan abadi di syurga Allah.


Sebelum ini saya mendapat sms fwd menyatakan dia sempat berpesan, mohon maaf kepada sahabat, guru dan rakan yang dikenali, minta halal makan dan minum, dan minta jika dia ada hutang minta supaya tuntut pada bapanya. Dia berpesan sebelum koma dan pergi menghadap Ilahi.


Tiada apa yang Eli hutang pada saya, melainkan perasaan segan dan kagum saya pada almarhum. Beliau yang saya kenali diwafatkan Ilahi pada Isnin, 27 Ramadhan pada waktu dhuha (8.09 pagi) diwaktu cahaya cerah putih pagi di akhir bulan mulia. InsyaAllah pengakhirannya hidupnya baik. Dia yang bujang akan dikahwinkan Allah di sana dan mendapat syafaat baginda Rasulallah s.a.w.

Sepeninggalan rakan baik, sebaya, sekuliah fakulti, mengingatkan kepada saya tantang kematian yang menghampiri. Dunia ini hanya tempat teduhan musafir. Berteduh sebentar mencicip bekalan, lalu meneruskan perjalanan yang panjang, kehidupan selamanya di alam sana. Kita bersahabat, berkenalan di muka bumi ini, moga Allah perkenankan semangat berkawan itu di sana.

Kita berpisah, tapi tidak selamanya. Akan ada harinya kita kita akan berjumpa dengan izin Allah. Moga kita direzekikan untuk bertemu di tempat yang baik, dan yang terbaik di negeri sana.
 


-moga ketemu lagi eli. disana.-


-Alfatihah-
Allahumma 'ghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu







 

Fajar 28 Ramadhan.
Lake View, Taiping

Friday, July 19, 2013

Rindu tertinggal di Terengganu

"if you not be forgotten, as soon as you are dead and rotten, either write things worth reading, or do things worth writing." Benjamin Franklin
Perjalanan menghantar buku-buku, barang-barang besar selesai minggu lalu. Hari itu saya mempersiap diri bersama motorsikal 'himarputeh' dalam kembara pulang ke kampung setelah tamat pengajian syariah di sini. Perjalanan amat besar maknanya. Pastinya saya akan merindui medan perjuangan di negeri ini. Tamatlah permastautinan saya di negeri Terengganu. Selepas ini, hadir sebagai seorang musafir.

Tepat jam 0400 saya berangkat ke kampung dengan perasaan yang berbaur. Sebaur dakapan akhi Hamid yang menghantar ke pagar rumah. Berat, sedih, berasa misi masih belum selesai, banyak lagi pensyarah yang belum disantuni, banyak lagi ilmu belum di jamah, berapa ramai sahabat yang belum dimuliakan...

Perjalanan 10 jam menaiki motorsikal, mengimbau kenangan 3 tahun lalu. Bekas apa yang saya tinggalkan di bumi itu?

Saya tiba di tengah banjaran titwangsa. duduk sebentar. Menghantar pesanan ringkas sms kepada orang yang saya kasihi. Tentang saya menekuni kejadian langit tidak runtuh, gunung yang pegun. "Maha suci Allah mengadun semua ini, adunilah perjalanan hidup kami selepas ini"

"Maha suci Allah mengadun semua ini, adunilah perjalanan hidup kami selepas ini"

Tidak saya nafikan, ramai individu yang saya jumpai di bumi yang membentuk diri ini, mengasah bakat, mengawal kehendak, memahami geri dan rasa, sebuah kehidupan bersahabat yang akan saya kenang sentiasa.

Kalau hari ini langkah saya sudah jauh beribu batu, saya akan tetap ingat mereka yang pernah bersama, beberapa bab dari hidup ini, mereka pernah mencoraknya, Mahu berliqa' seperti dahulu mungkin susah, Moga pertemuan abadi di syurga Allah.

Moga ukhuwwah itu tersemat sentiasa, dan saya doakan moga kita semua dirahmati Allah. 

Tuntutan dakwah dan ilmu: Perajurit di medan ilmu.

Apa pun sandaran pengajian seorang penuntut itu, mereka perajurit di medan ilmu.

"falau la nafara" dalam bait kalam Tuhan, surah attaubah ayat 122, ialah berkaitan dengan kalimah keluar menuntut ilmu. Lazimnya kalimah tersebut digunakan untuk keluar berjihad. Allah taala juga menggambarkan proses menuntut ilmu sebagai satu gerak tempur perjuangan medan. Penuntut ilmu perlu punyai pekej fizikal mental, jiwa dan emosi untuk mengharungi perjuangan itu. Jika tidak, sama ada pejuang itu kembali dengan tangan kosong, atau pulang ke gangang dengan sebukit sombong.

Saya mengambil keputusan ke negeri Terengganu 3 tahun lalu, berbaloi sebagai satu bab dari kelana saya dalam kehidupan ini. Saya memilih untuk meninggalkan pengajian tiga bulan di Kolej Matrikulasi Perak sebagai pelajar sains tulen. Pastinya keputusan ini akan membawa kepada perubahan sisi besar dalam hidup.

Saya mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar yang kosong. Saya memasang expectation yang tinggi kepada apa yang bakal saya lalui. Ternyata saya dibohongi dengan expectation saya sendiri. Kepelbagaian ragam dan rencam, melemparkan buah busuk terhadap bidang yang saya pelajari. Pengajian Islam.

Daripada yang hidup sentiasa mahu mewahabikan yang lain, mengkufurkan, membiddahkan, mengeluarkan statement tidak berasas, sehinggalah kepada pelajar yang memilih ke bidang ini, sebagai 'option akhir' kerana tidak layak ke program lain, tiada harapan ke bidang lain. Hanya mahu cukup syarat dapat sijil untuk kerja.


kenagan sem 3: diskusi bersama guruygmursyid ku, Dr.WanYusof hafizahullah,
anaknya yang chomell, dan akhi ana yang emsem.


Saya ingin berpesan, Pengajian Islam bukan 'tong sampah' untuk mengumpulkan pelajar yang tidak layak ke bidang lain. Ia juga bukan bidang untuk menyucikan anak-anak anda yang kurang ajar dan biadap untuk menjadi ahli ugama yang diiktiraf. Agama Islam kian dicabar dan dikelirukan oleh masyarakat, apatah lagi mahu dibebani dengan pemimpin agama yang jahil dan tiada keupayaan. Fikirkan sekali lagi.

Ini bakal menjadi fitnah kepada agama yang murni ini. Kerana ia bermula dengan satu jenayah, memandang remeh kepada proses pembelajaran mereka sendiri ketika dalam pengajian. mahu lahirkan musuh Allah berijazah syariah?

Saya takut.  Ketakutan terhadap fitnah, cabaran, dakwah, ragam masyarakat, ragam orang yang nifak dengan ilmu sememangnya menyeret saya ke lembah luka. Sesal tidak sekali, sekali saya memilih jalan ini, pasti cabarannya tidak sunyi.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar

Namun itu hanya sisi gelap yang menanti terang. Saya bersyukur ditempatkan tiga tahun di sini. Pengajian merangkumi kelas dan talaqqi. Banyak pengajian kitab yang dapat diperoleh, disamping kelas yang padat dan assignment full bahasa arab. Saya membayangkan suatu ketika, bagaimana saya mahu menulis thesis dalam bahasa arab? Setelah melalui proses pengajian, di sem akhir saya dapat siapkan tesis bertajuk hukum anak zina, dengan jayyidjiddan. Alhamdulillah

Silibus yang dipelajari di peringkat awal juga berisi. Membedah nahwusarfi, mantiq, alwajiz, attibyyan, fiqhmanhaji, tulisan karangan syuyukh manna'ul qattan, dr.wahbah zuhayli, syekh 'ali jummuah dan pelbagai kitab arab yang lain sehingga kepada kitab iqna' dan siroojul wahhaj yang boleh tahan beratnya. Silibus ini jarang didiapati seawal ini di ipta lain, kecuali di sini. Alhamdulillah.

Alhamdulillah. Akhirnya saya dapat akhiri dengan keputusan yang baik diatas kertas. Namun diluar kertasnya ia bergantung kepada cara kita berfikir.

Saya pernah ketemu dengan seseorang yang memberi amaran seperti begini,

"enta kalau belajar di madinah, enta akan jadi wahabbi, kalau enta ke jordan enta akan dijangkiti salafi, kalau ke yaman, tak pasal enta jadi torekat sufi (habaib),..."

Kalau begitu, jawapan saya, lebih baik belajar di kubur tuan hamba.

Dakwah berpersatuan di bumi ini juga, membekalkan saya bekalan perajurit menghadapi medan pelbagai ragam manusia. Ia juga ilmu dan pengalaman yang mungkin tidak saya dapati di tempat lain. Moga Allah nilaikan ia sebagai amal jariah yang bersusah payah berprogram sepanjang tahun. Penatnya masih terasa. Oh manis.

Jiwa perantau kelana

Jiwa saya ialah jiwa kelana. Saya tidak pernah duduk di satu tempat lama-lama. Mungkin sebab sudah biasa, keluarga yang kerap berpindah rumah mengikut kerjaya ayahanda. Sejak lahir, saya pernah menetap di butterworth, kulim, klang, sungai buloh, taiping. Di taiping sahaja dah tiga buah rumah saya pernah tinggal. Mungkin selepas ini di tempat lain pula.

"hang nak sambung mana muadz?"
"hang macam tak kenai aku..."

"hang mmg tak boleh duk satu tempat lama-lama, jenis org perantau hang ni. arab badwi!"
"hehe... jgn pulak ang lebel aku sombong tak sambung sini..."
"dak la... cuma kadang dan mai 'gila' hang ni, org lain tak terikut.."


Mungkin saya punyai passion yang tinggi untuk bermusafir, meneroka pelosok sisi dunia.

Tiga tahun yang memberi erti. Bukanlah cukup, namun berat keinginan saya mahu ke tempat lain sebagai bekalan ilmu dan jiwa. Izinkan saya menghirup udara berbeza untuk memberi pengalaman hidup yang baharu. Janganlah diheret saya sebagai orang yang meninggalkan perjuangan, atau sombong kerana tidak menyambung pengajian di situ.

Diri saya jauh sekali untuk dijadikan tauladan buat para taulan. Semua dalam lipatan perancangan yang hanya diketahui oleh tuhan.

kerana Imam Assyafie pernah berpesan,

orang yang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman,
tinggalkan negeri itu dan merantaulah ke negeri orang,
Merantaulah kau akan dapati pengganti kerabat dan kawan,
Berlelahlah, kerana manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang

Aku melihat air menjadi rosak kerana diam tertahan
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak akan keruh bergenang.

Singa tidak tinggalkan sarang tidak akan dapat mangsa,
Anak panah jika tidak tinggalkan busur tidak terkena pada sasaran

Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan diam,
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang.

Bijih emas bagaikan tanah sebelum digali
Kayu gaharu tidak ubah seperti kayu biasa jika hanya berada dalam hutan.*

(sumber: negeri 5 menara: a.fuadi)

'allahumma barikklana fii Ramadhan'
1841, Lake View, Taiping.