Friday, March 13, 2015

Masa yang menghukum

Jam tangan menjengah ke jam dua belas. 31 Disember 2014. Saya bersama teman sepengajian duduk berteleku, sambil membelek beberapa naskah tasweer bagi semester depan. Dingin musim sejuk tahun ini lama pula nak habisnya.

"sudah 2015."
"2016 ana bakal pulang...."

Muka ditekupkan ke bantal. Menjerit keseorangan.

Saya bukan buang sahaja semua masa di Jordan. Apatah lagi ponteng kuliah pengajian. Saya masih berjinak juga dengan pengajian kitab bersama masyayekh urdun yang disegani.

Cuma satu hal yang menikam kalbu, mengapa masa sangat cepat berlalu!

"hamid, ana taknak balik malaysia!"
"....heh....tersenyum"
"balik orang akan tanya macam macam, hal ini hal itu. ada banyak ketegori soalan. ada soalan memang mahu bertanya. tidak kurang yang mahu menduga. ada juga yang mahu bertanya untuk meletak lebelan di muka."

Keluaran Jordan.

Hakikat yang kelat untuk ditelan andai pulang dengan masakan yang belum siap.
"dua tiga tahun cukup? ana yang empat tahun ini pun tak merasa cukup" dengus ustaz Atiq. Antara pelajar malaysia terbaik jamiah alalbayt.

Saya tertarik apabila meneliti sebuah buku karya fadhilatussyekh dr. solah fatah alkhalidi bertajuk, alkhittoh birroqoh lizi nafsi towwaqoh. Di dalam catatan ringan beliau dalam buku itu, beliau membahaskan tentang masa.

demi masa.


Dikatakan kalimah "al asr" menurut definisi kamus muqayyas lughah karya ibn faris w.782h, asas pada makna "العصر" adalah  "ضغط شيء حتى يتحلب" memerah sesuatu perahan (buah) sehingga menjadi titis titis kecil.

Apa yang menarik bagi perumapamaan ini, masa itu seharusnya laju bagai kita memerah perahan buah, dan seharusnya juga yang ditinggalkan di tangan kita sepanjang masa yang digunakan adalah sepah buah untuk disarapkan, dan yang terbit hasil perahan itu adalah air yang bermanfaat untuk dinikmati.

Begitulah juga prinsip asas masa yang telah Tuhan nukilkan dalam surah 'asr. Seharusnya kilasan masa kita meninggalkan yang buruk untuk menghasilkan perkara yang terbaik. Oh, ada beberapa lagi bab yang belu saya habiskan bukunya.


apabila ranum sebelum masa, terhasilah peribadi menghukum masa

Kelas usul fiqh 3, oleh dr. hamad hamid menyentap pemikiran saya. Sehingga terkeluar kalimah, wala haula quwwata illa billah. Dalam menyelusuri bait bait kata dalam syarahannya, terbit satu ayat yang mengetuk jiwa.

"jika kita tidak mampu membezakan diantara kepentingan solat subuh berjemaah di masjid atau solat hari raya di masjid mana lebih awla, bagaimana kamu mahu mengajikan kepada ummat sejagat fatwa ini dan itu?!"

Isinya ringkas. Hanya berhubung solat subuh dan solat hari raya mana lebih penting. Tentu sahaja kita akan menjawab, tentulah solat subuh. Tapi belum tentu kita boleh berasa kecewa dengan manusia yang meninggalkan solat subuh melebihi manusia yang meninggalkan solat hari raya. Mampukah kita berasa kecewa apabila perkara wajb ditinggalkan berbanding amalan atas nama budaya agama diteruskan.

Saya ingin membuat rumus tersendiri berkaitan dengan beberapa perbezaan manhaj (yang dibenarkan), pemikiran sudut pandang ilmuan dahulu dan kaitannya dengan masa yang menghukum ini,

rajah ini saya lukiskan sendiri.

Buat masa ini saya tidak berminat untuk membicara soal yang mana yang lebih baik dan selamat untuk dipegang, kerana para ilmuan telah banyak membicara soal tersebut. Saya cuma ingin berkongsi bagaimana perselisihan boleh berlaku oleh golongan yang melatah, disebabkan perselisih tidak kembali kepada jarak berbezaan sebenar.

Mafhum semua maklum bahawa setiap manhaj, pemikiran, mahupun pandangan, terikat dengan masa. Semakin jauh masa kita dengan sumber asal, semakin kabur pandangan mata kita dari pemandangan sumber tersebut. Hal ini disebabkan kematian para ulama, jarak ulama ulama tersebut telah menjauhkan kita dari capaian maksud sebenar.

Anggaplah perbezaan antara dua pemikiran (yang diterima syara') bezanya cuma 45 darjah. Ia dipisahkan melalui dua jejari (radius) dan ditemukan dengan satu titik. tiada titik persilangan.

Semakin panjang masa berlalu, semakin kelihatan jauh bezanya antara dua jejari tersebut. (rujuk gambar).

Cara melihat golongan yang belajar ialah kembali kepada darjah asal. atau lebih baik, mereka bermunasabah kepada titik asal. oh kita dari titik yang sama!

Cara melihat golongan yang melatah ialah jauh nya 'jejari' dan cuba bertelangah dari sudut pandang yang jauh dan membosankan. Hakikatnya mereka hanya berbeza 45 darjah dari 360 darjah yang maha luas. oleh itu bersederhanalah.

Saya sedang melatih diri untuk diam dikala kita tidak tahu, berkadaran apabila mahu menerima sesuatu pandangan dan menerima pandangan lainnya selagi mana titik yang sama tidak menunjukkan persilangan yang ketara dengan nas alquran dan alhadith.

Termasuklah isu nabi berkhatan atau tidak sejak dari alam rahim, mahupun rambut yang dikatakan empunya nabi tersebar melata dunia. Ah! cukuplah untuk saya membincangkan tentang apa yang nabi tinggalkan dari kerangka alquran dan sunnah. Nabi suruh menekuni hadith bukannya rambut.


Tutup sahaja masjid

Tercatat sebuah kisah di Mesir, diceritakan oleh guru kami, satu hari Ramadhan menjelma dan seisi kampung bergembira menyambut 1 ramadhan tersenbut. Pada malam itu berlaku pertelingkahan di dalam masjid.

"kita mahu solat tarawih berapa rakaat?!"

Sebahagian menjawab 8 dan sebahagian menjawab 20. masing masing bersama rujukan guru masing masing dan terjadilah satu pertelingkahan yang serius.

"esok kita ketemu seorang alim di hujung kampung. bukan guruku dan bukan juga gurumu, kita bertanya yang mana lebih afdhal untuk di jemaahkan bagi menunaikan solat tarawikh kita.

Pada petang tersebut meraka bertemu dengan syekh tersebut dan menceritakan prihal masalah yang mereka hadapi. Mengejutkan hasilnya, syekh tersebut menyuruh untuk mengunci pintu masjid selepas solat isya'.

"kunci sahaja pintu masjid selepas solat isya'. Tidak perlu solat tarawikh! sesungguhnya kesatuan ummat Islam itu lebih penting dari lapan atau dua puluh rakaat tarawikh yang kamu balahkan!"


doakan agar tulisan saya istiqamah.
kerana umur saya makin dimamah.
perlu untuk saya sediakan kitabah,
agar kubur terang melimpah ruah.





muadz,
jamiah alalbayt
mafraq

No comments: