Sunday, June 29, 2014

Kembalilah kepada Tuhanmu

Sekitar jun hingga ogos musim perlahan-lahan berubah. Ia merupakan sunnatullah alam yang mengajar kita dengan sunnah manusia akan berubah mengikut umurnya. Putaran ini memberikan suhu yang berbeza, perubahan manusia akan membuahkan perasaan dan tindakan yang berbeza.

Sepanas bahang soifi sehangat semangat miqdad.

Cuaca terik. Hangat pijar. Kepala perit. Belum pernah saya merasai panas membahang seperti ini. Cuaca menunjukkan 44 darjah celcius. Kami mengaduh. Dahulu, ketika musim sejuk di Mafraq, saya di sapa teman sepengajian ketika mereka menziarahi bilik lama saya tanpa tingkap. "ohh kenapa bilik mu ni sejuk sangat. serupa bilik mayat ni!". Saya menjawab nada gurauan, "bilik ahli-ahli syurga biasanya memang sejuk akhi...".

perbualan kami didengari seorang ustaz pengajian Master.

Lalu, perbualan kami disapa Ustaz, "bilik ana panas suam sikit musim syita' ni... dah ana ahli apa akhi?".

"kasorr ustazz!" Kami ketawa bersama.

Hari ini panas.

Kalau boleh mata tidak mahu dibuka ketika jalan di tengah hari buta dalam perjalanan ke kelas pengajian.

Di tengah panas 8 ramadan tahun ke-dua hijrah...

Sahabat dikalangan Ansar memberi buah fikiran untuk bertempur di luar kota Madinah. Meskipun Nabi punyai pancaindera kenabian, namun baginda tetap merasakan bahawa sesuatu yang besar akan berlaku atas keputusan yang penting ini. sama ada berkubu dari dalam atau bertempur di luar kota. Badar-al-kubra hampir bermula.  Rasulallah masih memerlukan buah fikiran sahabat-sahabatnya hingga ditanya beberapa kali kepada beberapa sahabat yang berbeza. Maka bangun Abu Bakar, kemudian Umar al khattab. Dia sahabat disayangi nabi ini menurut perintah sepenuhnya. "ahsan ya rasulallah!".

Lalu berteriak Miqdad bin amru memberikan semangat buat sayyidi nabi.

"Wahai Rasulallah, jika kesakitan yang akan kami dapati kerana Allah, maka kami bersama engkau. Demi Allah tidak akan kami sebut pada engkau seperti mana kaum israel berkata kepada nabi mereka Musa!"


"....... pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka.
 Sebenarnya kami di sini hanya mahu duduk menunggu".
Miqdad menyebut potongan surah almaidah ayat 24. sambung Miqdad, "kami tidak akan berkata begitu, akan tetapi kami akan berkata, pergilah engkau bersama Tuhanmu, dan perangilah mereka. Sebenarnya kami juga akan bersama kamu menentang mereka! walaupun ke bagh ghamad di yaman mahupun hingga ke hujung jazirah alaqsa pun kami akan bersama kamu..."

Baju pertempuran disarungkan. Tiada lagi berundur setelah semua telah di rencanakan. Peristiwa besar ini berlaku di sekitar suhu yang mencecah 45 darjah celcius. Mereka sememangnya punyai mental yang terbaik dan psikologi yang belum tentu hidup pada akal manusia zaman ini.

panas begini lah saya mula merindui sungai di tanah air.

Malaysia juga mengalami el-nino. El-nino berasal dari perkataan spanyol yang berkaitan dengan lencongan udara panas dan perubahan cuaca tinggi yang mendadak dari lautan pasifik. Cuaca di tanah air Malaysia juga berubah. Panas bukan seperti biasa, bahang nyaa tercatat di facebook twitter.

"ohh bagaikan dipanggang" membayangkan seperti ayam dipanggang. "oh berasa bagaikan di neraka" meskipun belum pernah merasai  walau sekelumit asap neraka.

Jangan melebihi Tuhan

"Cuaca panas ini, besar tangkapan kita ni" dengus pegawai majlis agama. Maklumlah ibadah puasa sudah bermula. Ustaz-ustaz membacakan ayat quran modal tazkirah di masjid... "wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa...sebagaimana orang yang terdahulu daripada kamu...agar kamu bertaqwa". Tazkirah yang menjadi azimat untuk mencari mangsa.

"hah! kamu tak puasa?! tangkap! kita bawa ke lokap!" mengacah sambil mengharap wang kopi akan disua.

"hoi kau tak tahu ke ni bulan puasa. tak reti nak hormat ke?" sambil menunjukan muka bengis.

"tak puasa? kau ni nak jadi apa?" bertanya sambil menyusun kotak rokok di kedai.


Tuhan mendahulukan ungkapan berpuasa dengan seruan kepada mereka yang beriman. "Wahai orang yang beriman...." . Jangan pula kita melebihi tuhan. Sepatutnya dahulukan pertanyaan "adakah kamu beriman?" adakah kamu faham apa itu iman?" jika terlihat seseorang tidak berpuasa.

Sebelum pergi kepada persoalan sebenar yang mahu diajukan.

Begitu juga sangat menegcewakan apabila mendengarkan ucapan sesetengah orang menyebut "dosa-dosa si polan tidak akan diampunkan Allah"

Semua ini ringan di lidah, namun berat kesalahannya disisi Allah. Menjadi wakil tuhan untuk memutuskan rahmat dalam kalangan hambanya. Kita menolak manusia yang mahu kembali kepada Tuhannya kerana emosi kita, sedangkan keluasan rahmat itu dijanjikan Tuhan sehingga kiamat.

Bersemperna dengan bulan mulia ini. Marilah kita berkempen untuk manusia kembali dalam rahmat kasih Tuhan. Dari pemuda masjid hingga ke muda mudi jalanan, dari gelanggang politik kopiah serban hingga ke politikus cemuhan. Semuanya layak menerima rahmat Tuhan. Selagi roh masih di jasadnya. Hukuman Tuhan pun kita tidak tahu apatah lagi pengakhiran manusia.

Atas kempen mari kembali kepada Tuhan ini, saya muatkan hadith daripada baginda rasulallah yang mulia, riwayat muslim,

إذا قال رجل هلك الناس فهو أهلكهم
"jika seorang berkata, binasalah manusia (tiada harapan), maka dialah paling binasa"

Hadith ini apabila seorang berkata dengan tujuan membangga diri seakan akan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah yang akan dibinasakan tuhan. Ingatlah bahawa ungkapan ungkapan agama dan bertuhan ini sepanjang masa adalah memberikan harapan bukan menimbulkan kekecewaan.

Maka marilah. Kembalilah.

kembalilah ke pangkuan Tuhanmu

Apabila sorang yang bekerja mencari rezeki, kembali ke rumahnya. Ketenangan akan menyapa dirinya. Segala resah gelisah dilupainya. Kepenatan bekerja akan di lupa.

Burung terbang di pagi hari mencari secicip makanan meninggalkan anak mereka yang gelisah lapar dan dahaga. Lalu kembali ke sarang membawa rezeki memberi ketenangan buat anak-anaknya.

Seorang anak kecil menangis, pasti akan berasa tenang apabila kembali ke pangkuan ibunya.

Seorang perantau walaupun sejauh mana dia merantau dan selama mana ia keluar. Pasti akan merindui kampung halamannya dan akan berasa tenang juga jika pulang akhirnya.

Begitu juga seorang hamba kepada tuhannya. Jika dia kembali kepada tuhannya, dia akan merasai ketenangan yang tidak dapat pada orang lain. Kerana ketenangan hakiki ialah bertemu tuhannya dalam keluasan rahmatnya.

Semperna kedatangan ramadan ini, berazamlah untuk tidak membiarkan hati keras hingga ramadan pun gagal mengubah kita.

Mujahadahlah semoga bulan ini menjadi garisan mula untuk kita kembali kepada Tuhan kita bersama. Kerana siapa pun kita, sebesar mana pun dosa, kembali lah. Dakapan kasih Tuhan lebih besar dari dosa hambaNya. dan Takwa akan menyusul bukti pengabdian ikhlas di bulan ini.

Ber-Taubat.

"wahai jiwa yang tenang. 
kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan puas dan diredhai. 
Masuklah dalam dakapan hambaku yang berbahagia. 
Dan masuklah ke dalam syurga-ku!"

[alfajr: 27-30]




Mafraq.
1 ramadhan 1435h.


-sumber sejarah buku 'mausu'ah mu'assiroh li ttarikh islami'
cetakan kaherah, mesir.

No comments: