Monday, June 9, 2014

Peristiwa 35 hijrah, gambaran generasi hari ini

Telah tertulis dalam lipatan sejarah islam, berlakunya suatu peristiwa hitam merobek hati orang-orang beriman. Kerana pedihnya fitnah yang ditanggung. Peristiwa itu adalah pembunuhan Saidina Uthman r.a. Rentetan peristiwa tersebut, menyebabkan berlakunya fitnah besar iaitu pertelingkahan para sahabat, termasuk peperangan Jamal dan Siffin.

Semasa berlakunya pembunuhan Uthman r.a pada tahun 35 hijrah, terdapat bayak khabar-khabar palsu yang berlaku. Benarlah bahawa Umar al khattab adalah pintu menutup fitnah, dan apabila pintu fitnah telah tiada, maka berlakulah satu gelombang fitnah yang besar sebagaimana yang tercatat dalam hadith dari Sayyidina Hudzaifah dalam soheh bukhari dan muslim.

Surat palsu dan cakap-cakap belakang.

Uthman affan r.a dibunuh. Tidak pernah berlaku di zaman itu, satu peristiwa aneh dimana seorang khalifah dibunuh setelah dikepung rumahnya, pada masa para sahabat kebanyakkan menunaikan haji. Dihentak kepalanya oleh para pemberontak, hingga terpercik darahnya pada mushaf quran yang mulia.

Maka berlakulah satu peristiwa besar, Pembunuhan Khalifah.

perang jamal dan siffin adalah rentetan dari peristiwa ini.


Dalam kitab albidayah wa nihayah, karya alimam ibnu kathir, uthman yang pemalu diketika itu berpuasa bergegas memakai seluar kerana merasakan akan dibunuh, dan beliau bermimpi berbuka puasa bersama Rasulallah s.a.w.

Sebelum kejadian berlaku, surat palsu ditulis untuk memberikan pengaruh kepada pemberontak dengan menggunakan nama Saiyidina Ali, Talhah, dan Zubair radhiyallahu 'anhu ajmaeen. Surat itu mengajak memberontak menentang Uthman r.a. Dengan adanya surat palsu tersebut, menyebabkan kebencian terhadap khalifah berkobar-kobar diseluruh wilayah islam.

Dalam keadaan beribu-ribu pemberontak hadir ke tanah haram, Saidina Ali menjadi Khalifah pada saat yang sungguh getir. Berlakulah pengulas-pengulas politik 'kedai kopi' pada zaman tersebut. Saidina Ali r.a di permainankan penceritaannya dan peribadinya kerana dilantik sebagai Khalifah. Seolah-olah menampakkan bahawa berlakunya satu konspirasi dalam peristiwa pembunuhan seorang sahabat oleh sahabat sendiri!

Generasi media maya

Media sosial digambarkan seribu keindahan. Melalui facebook, kita dapat mengerat silaturrahmi rakan yang sudah lama tidak berjumpa. Dakwah akan mudah tercapai dihujung jari. Yang banyak 'Like'nya maka ungkapanya terasa menjunjung kebenaran. Ilmu yang disampaikan semudah scrol-on-screen pada smart-phone. 

Tapi bukanlah seindah yang digambarkan. Dikala 'ilmu' menjadi mudah dihujung jari, maka buku-buku di almari dipandang sepi. Di kala dakwah mudah dicapai, berlaku campur aduk antara benar dan yang salah. Apabila 'like' tidak lagi menjadi isu setuju, bahkan menarik perhatian supaya 'dirasakan kehadirannya'. Semua ini telah menjadi tabaruj solekan indah untuk mengagguk bahawa inilah roh zaman kini. Tanpa roh jasad tiada hidup, tanpa laman sosial hidup kan menjadi gundah-gulana seharian.

Talbis Iblis.

Saya berasa risau bahawa media ini telah menjadi tuhan kepada pengetahuan. Datang sahaja satu berita, bersama poster yang menarik perhatian, maka inilah kebenaran. Bercakap sahaja selebriti televisyen memberi buah fikiran, maka inilah jalan. Isu sudah jauh dari ilmiah ketika perbahasan berkembang dalam dunia tanpa nada. Lebih parah ahli ilmu dicerca kerana pandangan yang tidak bersama. Maka wujudlah kambing hitam pemberontak dizaman sahabat versi alam maya.

Tidak kurang kebimbangan saya bahawa maruah muslimah yang mahal sudah-seakan terselak. Akhirnya medium ini menjadi tempat stalk-stalk gambar mereka. Bebalas-balas comment dan like untuk menarik perhatian bersama. Private messages dalam keadaan hanya tuhan sahaja melihat mereka. Dakwah menjadi solekan utama. Apa kata ummu mukminin 'Aisyah jika dia melihat anak-anak perempuannya?

Keluarga dibina mampu runtuh kerana penangan media sosial yang membuka pintu rumah tanpa sedar. Syaitan meniupkan cara mereka yang halus mengatur langkah untuk memecahkan keluarga. Lalu capaian laman sosial maya menjadi sebab di kebanyakkan permohonan penceraian di mahkamah syariah. perkara harus yang dikeji sudah menjadi biasa.

Juga melucukan, apabila lahir sesuatu isu, maka hanya di laman sosial akan jadi rujukan utama. Benarlah, bahawa surat palsu dan pengulas belakang tabir pada zaman fitnah para sahabat itu, juga berlaku pada zaman ini. Keadaan ni secara peribadinya saya tidak sukai, namun pandangan saya, mana mungkin dunia maya ini mampu dipisahkan dalam roh umat sekarang, melainkan dengan mengawal kejahilan ia daripada menjadi barah yang menular. 

Tuhan telah mengingatkan (secara umumnya) bahawa;

Wahai orang-orang yang beriman!  Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Resolusi mengurus info maya

Para sahabat tidak pernah bercita-cita untuk membunuh antara satu sama lain. Bahkan mereka menyanyangi atas satu ikatan bersama Rasulallah s.a.w. Peristiwa sedih ini berlaku atas pemberontak yang membawa berita-berita palsu bersama solekan-solekan untuk menampakkan seolah-olah mereka bersama perjuangan Nabi dan Para Sahabat yang mulia.

Demikian solekan berita-khabaran yang dibawa di media sosial sudah tentu perlu di teliti secara mendalam. Lebih lagi isu yang melibatkan fiqh dan permasalahan yang melibatkan agama.

Adakah sesuatu berita yang disampaikan itu sesahih dalil yang digunakan? Riwayat sudah tepat namun adakah cara pemahaman itu tepat mengikut dalil tersebut? atau hanya ijtihat nya sahaja? dan adakah berita-berita dalam media sosial maya ini benar terpelihara dari campur aduk?

bertaqwalah!

Uruskanlah dengan sebaiknya setiap isu yang dicanaikan di media sosial agar kita tidak terikut dengan bawaan perasaan hingga membunuh capaian pengetahuan yang sebenar. Selidikilah supaya ia tidak melibatkan kemudharatan dimasa akan datang. Berbicaralah setelah mendapat gambaran sebenar.

Abu Bakar di syurga. Umar di syurga. Uthman di syurga. Ali di syurga radhiyallahu ahhum ajmaeen. 
Dikala peristiwa itu berlaku, tiada media sosial. Namun modus operandinya tetap sama berlaku dalam media sosial.

Moga kita dapat bertemu mereka nanti. Generasi Para Sahabat radhiyallahu anhu ajmaeen.


Muad'z Abdul Wahab.
Mafraq. 5 syaaban.

No comments: