Tuesday, October 30, 2012

pandai mengkritik, sedia dikritik.

"benda ni tak pernah jadi pun sebelum ni. pecah tradisi ! "

Masih basah kenangan ketika saya bersama kumpulan rakan-rakan di hadapan perpustakaan sekolah. Mereka berbicara isu yang sama. Lalu nada dan kata-kata saya mempamerkan ketidak puas hatian. Di saat itu, saya menyatakan hak kepada orang yang bersalah, dan menyalahkan  pihak yang benar. 

Berikutan dengan seorang kawan, yang melaporkan kesalahan rakannya kepada guru. Cerita lama, hal remeh yang memberi ibrah yang sangat besar kepada saya hingga kini. 

"sepatutnya kawan kenalah back-up, yang pergi buat macam tu buat apa, tak pasal-pasal barang itu dirampas. Kena tindakan disiplin pulak, kan susah!" saya menambah.

Seorang rakan memerhatikan saya. Kelihatannya seperti mahu menyatakan sesuatu sambil membetulkan tali leher birunya yang kelihatan pendek kerana tubuhnya yang agak besar.

"Muadz, kenapa kita nak menyatakan benar kepada orang yang betul betul salah? Biarpun pecah tradisi ke, tak pernah jadi ke, kalau yang salah tetap salah, yang betul tetap betul."

"Kita tak patut nak iktiraf perkara yang salah, dan mencari kebenaran kepada benda yang jelas salah. Sanggupkah kita menyatakan yang salah itu betul depan Allah nanti?"

"Tradisi tak tradisi, tak pernah jadi ke pernah jadi ke, perkara yang salah kita kena cakap salah, yang betul tetap kena cakap betul! " tegas seorang sahabat memberi nasihat.

Saya diam beribu-ribu bahasa hari itu. Setiap kata-katanya segar dalam ingatan hingga kini. Nasihat, teguran, kritikan yang masih suam. Ketika peristiwa ini berlaku, saya banyak diam beberapa hari memikirkan kedangkalan diri. Malam itu, sebelum terlelap saya nyatakan kepada diri.

"aku perlu islahkan diri. Kritikan itu sangat membina. Ini adalah peluang untuk membina kembali tembok diri yang runtuh. Aku jahil, Allah telah datangkan Aku sahabat untuk menutup kejahilan aku. aku patut bersyukur hati aku masih lagi boleh ditikam dengan kritikan, daripada hati seperti batu yang tidak lut ditikam, pecah pula apabila di ketuk. Keras."

walaupun teguran dan kritikan yang datang dari anak kecil yang dikatakan berhingus. analisa-lah.

Malam itu juga, ikim.fm memainkan lagu 'aku hanya umar' dendangan Hijjaz melalui corong radio kecil. Syahdu dan menambah rasa bersalah.

"aku hanya seorang ummah, kemuliaan ku kerana Islam, semua ke syrurga kecuali dia, ku bimbangi dialah diriku" - Umar al Khattab.
Yang dijamin Syurga juga ditegur.

Saidina Umar menyandang jawatan Khalifah, ditegur dihadapan khalayak umum sewaktu membaca khutbah oleh seorang wanita tua. Wanita tersebut menyampuk saranan Khalifah, berkenaan dengan pengurangan mahar perkahwinan.

 Sahabat Rasulallah yang dijamin syurga jua ditegur. Siapa aku yang kalis teguran?

Apakah ada di zaman ini yang lebih mulia daripada Umar al-khattab?


Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata:
"Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku,
dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat"
. al'araf:79

Pedih kata-kata nabi Soleh terhadap kaumnya. Mesej yang Allah sampaikan dalam Al-Quran buat umat Rasulallah s.a.w.

Suatu hari, pernah Khalifah Umar membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata: "Wahai manusia dengarlah!"

"Kami tidak mahu dengar." Tiba-tiba teriak lalu bangun Salman al-Farisi.

Lantas Umar bertanya: "Kenapa wahai Salman?"

"Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai."

"Jangan tergesa-gesa wahai Salman." Jelas Saidina Umar.

Lalu Umar memanggil anaknya Abdullah.

Kata Umar: Aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku?"

Ya!

Maka kata Salman: "Sekarang kami akan dengar". 


(Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55)

Tiada hukuman dan herdikan pun diatas teguran, sedangkan itu ‘Umar bin al-Khattab.

Pandai mengkritik sedia dikritik.

Sebelum itu kita perlu membezakan antara kritikan, fitnah dan tuduhan liar.

Fitnah adalah bersifat menjatuhkan, memalukan dan memberikan keaiban. Mematahkan kaki, membuang tongkat pula. Dasarnya ialah sentimen dan emosi. Menyimpang dari fakta.

Kritikan dan nasihat bersifat membina, memberi amaran, menunjukan keperihatinan, kerana gusar terhadap perkara seakan-akan akan berlaku kelak. Memberikan tongkat semasa kaki teguh berdiri.

Kritikan pahit seperti memberi tongkat yang dipenuhi dengan duri. Durinya tajam dan pedih menusuk. Namun peranannya sebagai tongkat masih ada. Buangkan duri dan teruskan melangkah. 

Kritikan perlu ditimbang-tara dan diterima kepada sekecil-kecil individu mahupun sebesar-besar persatuan. Baik kritikan dari luar mahupun dalam. Belum tentu orang yang menjamah nasi dari talam yang sama, bisa memberikan kritikan seperti orang yang melihat dari jauh. Mereka hanya mempu mengangguk dalam dimensi yang dekat, sedangkan yang jauh melihat dari sudut yang berbeza. Jauh pula sisi pandangan pemikirannya.

Sifat semulajadi manusia terkesan dan terasa apabila dikritik. Lalu ego mencari-cari untuk menidakkan perkara tersebut. Rasa pedih-pedih itu lumrah. Namun menolak mentah dan memberikan sebab yang berbaur Islamik amatlah dikesali. Inilah yang dikatakan salah faham dalam Islam. 

Kata-kata yang mendahului pemikiran amat bahaya. Segala pandangan dicantas sebelum mendengar, hanya kerana merasakandiri sudah cukup kuat akan membinasakan diri.

Melenting dalam menerima kritikan akan memakan diri. Justeru, kita perlu fahami maksud pengkritik dan setiap bait ayat mereka agar kita tidak mudah-mudah salah faham, dan terus melemparkan buah su'uzhonn yang pahit lagi bisa.

surah yunus ayat 42

Menolak kritikan, berbeza dengan mempertahankan diri dari fitnah dan tuduhan melampau. Seperti cemuhan yang melemahkan dan menjatuhkan diri. Tidak bertindak, dan rela terhadap fitnah dan tuduhan, adalah membodohkan diri sendiri. Membantutkan perjalanan. Hal ini tidak boleh dibiarkan sepi.

Namun persoalannya, sikap sedia menerima kritikan dan nasihat adalah sangat berkait rapat dengan tindakan kita selepas menerimanya. Adakah kita membuka ruang dan memberikan penerangan? Adakah kita menyambut baik, dan memberikan kenyataan?

Atau adakah melenting sebelum dapat memahami maksud kritikan? atau kita memancung sebuah kritikan dengan gaya yang tidak tentu hala, kerana kita merasakan kritikan itu tiada manfaat bagi kita?


Jangan membuang tongkat yang diberi dikala kita tidak tahu bahaya di hadapan.




'intelektual yang rasional'
antara motto sekolah dulu.
1600.14 dzulhijjah 1433h.
Lake View, Taiping


p.s. pesanan buat muad'z yang tak pernah bebas dari khilaf.

5 comments:

Mohd Zaid said...

"*Intelektual Yang Rasional*. Baru sekarang sedar Sepintar (SBPI Rawang) ada motto yang superb" -hanif-

pendamba_cinta said...

dipadankan dengan 'iman teguh dihati'. subhanallah :)

Anonymous said...

berpesonaliti mulia,
itulah visi kami.

majulah kau sumber penjana muslim bestari,
Alquran Assunah Panduan hidup abadi...

nyanyi lagu terus... haha

fikrahuddin said...

agak rare sebenarnya maksud intelektual yang rasional. aku selalu tertarik dgn frasa tuh.

siapa yang ceramah ko tu muadz? suruh dia ceramah aku lak biar terang sikit hati ni. haha

Anonymous said...

tah ar aku da tak igt ar sape bg ceramah kat aku tu hahaha~

smat kot ayat ustat shahrul penules lirik lagu skolah.