Saturday, January 25, 2014

buat mu cikgu

Sebelum saya berangkat ke Jordan, empat bulan yang lalu, saya sempat singgah di Kuala Terengganu. 

Menaiki kereta dari Kedah terus ke Kuala Terengganu bersama dua orang teman, Arif Afifi dan 'Affan. Segala pertemuan bersama para pensyarah minta nasihat, sudah diatur sebelum kami meneruskan perjalanan ilmu di tempat lain. Hingga lah hari terakhir kami di Kuala Terengganu, bertandang di Kubang Lembek, untuk bertemu ustaz.

Tiba di perkarangan rumah ustaz, kelihatan sekolah rendah bersebelahan kolej serba sederhana dalam kawasan pagar rumahnya.

"eh, ustaz tak sihat kan? kau rase dia boleh terima tetamu ke time ni?" tanya 'Affan.

"entah, aku pun tak pasti lah fan, kita call ustaz Hamdi dulu. Kalau dapat rezeki, kalau tak dapat maknanya lain kali..."

"Kira last kita jumpa yang dua bulan lepas la kan, yang haritu ramai-ramai tu...?"

Saya mengangguk kata-kata tersebut sambil duduk menunggu di ruang kantin bawah rumah ustaz. Gusar perasaan kemungkinan besar tiada rezeki bertemu kali ini.

Pertemuan Terakhir

Pada suatu Hari itu,
"kita semua ini hendakkan berjuang. perjuangan perlu kepada ilmu. jika tiada ilmu perjuangan menjadi lesu.. .apabila ada ilmu kita akan faham apa yang kita perjuangkan, dan apabila kita faham, kita akan yakin dengan apa yang kita bawa..." kata Ustaz Harun.
Pertemuan diatur pada petang itu. Mungkin pertemuan pertama bagi rakan yang lain, namun pertemuan yang ke sekian kalinya bagi saya. Ustaz yang uzur bertongkat memaksa diri untuk memberi nasihat dan berkongsi pengalaman sambil berdiri.
" jangan gopoh, anak mude kuat sangat gopohnya, dalam perjuangan ini bukan mudah untuk kita kecapi kemenangan. kalau bukan zaman ana zaman entum...dan selepasnya..."
Ustaz seorang yang sungguh teguh dan tegas dengan prinsipnya. Pelbagai nasihat yang diberi, pada saat itu juga saya membayangkan bila lagi mampu bersua sekali lagi. Entahkan dapat entahkan tidak...
"Harakah Islamiyyah ini ibarat sebuah bangunan hospital yg besar, dan peranannya ibarat doktor yg memberikan ubat pada para pesakit. Kita menerima mereka tanpa memilih-milih. Biasalah, kadang-kadang pasti ada pesakit yg degil tidak mendengar nasihat..."
Tangannya saya papah untuk duduk. Selesai majlis, ustaz bacakan doa yang panjang buat kami. Sungguh saya yang berada bersebelahan, melihat air matanya berlinangan, hingga jatuh menitis di tongkatnya. Sambil beliau memerhati kesemua hadirin...

"Istiqamahlah...ana bangga dengan semua..."

"ustaz bersama tongkatnya"
sepanjang beberapa pertemuan saya denga ustaz, saya tidak pernah menangkap gambar.
entah mengapa, biarlah memori yang masih tuhan beri merakamkan segalanya.
ini gambar yang saya ambil sendiri dari kamera handphone saya di muktamar PAS pusat 2011, Gombak. 

Saya memilih untuk menjadi orang yang terakhir bersalaman dengan ustaz. Tangan saya ditarik rapat lalu saya merapatkan telinga pada ustaz. beliau berpesan sesuatu...

Kelopak mata saya pula yang terasa basah-suam-suam kuku selepas itu.

Perginya seorang pejuang

Sementara menunggu di ruang kantin bawah, kelihatan Ustaz Hilmi Harun (kini YB dun. Manir) turun memanggil lalu bersalaman dengan saya.

"maaf syeikh, ayahanda ana memang tak larat sangat untuk bertemu, dia sampaikan salam kepada semua. Nah, ini ada buah tangan sedikit dari ustaz harun."

"eh takpa ustaz, kirim salam ana dan kawan-kawan kepada Ustaz Harun, terima kasih buah tangan ini".

Hari ini 24 Januari jam 8 malam waktu Jordan, saya di khabarkan tentang kembalinya ustaz ke pangkuan Tuhan. Malam ini saya tidak mampu lena. Bagi saya, ini adalah sebuah kehilangan besar. Beliau sebagai tokoh silent struggle yang jasanya banyak dibelakang tabir khususnya dalam menggerakkan pendidikan dan pentarbiyyahan, serta Majlis Syura' (majlis mesyuarat tertinggi) Parti Islam Se-Malaysia (PAS). 

Beliau merupakan Ketua Dewan Ulama (PAS) Pusat, salah satu biro dalam Parti Islam tersebut. Juga ahli majlis syura (majlis mesyuarat).

Namun bagi saya, beliau lebih dari itu. Peranannya lebih daripada lingkungan gerakan politik. Beliau merupakan seorang guru, yang lembut dalam menasihati. Tegas dalam memberi tahu bahawa prinsip dan asas perjuangan bukan boleh digadai sewenang.

Beliau seorang guru yang menyuruh anak muridnya menekuni ilmu. Beliau seorang cikgu yang berkata 'jangan gopoh, perjalananmu masih panjang'. Beliau seorang bapa yang memahami naluri seorang anak muda. Beliau seorang tempat rujuk kepada salah sebuah bahtera perjuangan Islam di Malaysia.

Kebiasaannya kalamnya akan kupasan ayat ini, kepada anak muridnya;


Dan tidaklah  orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). attaubah:122

Buat seorang cikgu, yang banyak memberi nasihat dan tunjuk ajarnya. Buat seorang cikgu, yang sangat teguh nilai prinsipnya. Buat seroang cikgu yg bertongkat di kaki, mendoakan kami, sambil meleleh air matanya. Buat seorang cikgu yang berkata perjuangan ini akan berterusan hingga ke akhirnya.

Buat seorang cikgu, rupanya hari itu, hari terakhir kita bersua.



Aku titipkan doa, moga rohmu dicucuri rahmat dan tergolong dalam golongan orang yang beriman, beramal soleh serta bersama para pejuang yang berjuang di jalan-Nya.

Selamat berehat ustaz. Berehatlah. Moga kita direzekikan bertemu di sana.





اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه


0117 @ 25 Januari 2014
Mafraq, Jordan.

1 comment:

Ummu Syaheed said...

Subhanallah, dah lama tak menjejak di sini. tertinggal beberapa entry yang hebat .

Ustaz Harun , murabbi kita .sangat terasa kehilangannya . setiap kali menatap gambarnya, tubir kolam air mata bergenang.

Moga ustaz bahagia di sana .

Kita bakal mengikut jejak langkahnya yang pergi dahulu menemui Ilahi.