Tuesday, July 31, 2012

"moga ketemu lagi, Ajin."

Kesedihan meresap ke setiap nafas. terus mengalir dalam darah hingga rasa sebak di dada. 

Sejak panggilan seorang rakan, safarul sebelum taraweh empat hari lalu, mengenai Ajin yang terlibat dalam kemalangan letupan kapal Bunga Alpinia, di Labuan (sini). Terus saya membayangkan saat bersama almarhum. Masih terbayang gurauan, kesungguhan berceritanya, langkahnya ke kelas selalu bersama seekor anak kucing, tidur bersama kucing. Meskipun kami tidak berkesempatan sekelas, namun keakraban menuntut dalam satu 'batch' memberikan keterikatan seperti keluarga. Tambah pula saya kepala keluarga ketika itu.

Demikian setiap kehidupan ada pengakhiran. Setiap dari kita akan melalui episod yang sama.  Hari ini kita terkejut dengan kematian orang yang kita kasihi. Esok lusa orang lain pula akan terkejut dengan kematian kita. Setiap dari kita menunggu giliran, dan alam, waktu, masa terus berjalan.

Nazrin yang saya kenali

Saya mula mengenali dia ketika berada di tingkatan satu, 2005. Ketika itu beliau selalu bersama sama 'geng Kuala Selangor' acap kali bersama, safarul, hairel, izzuwan (botak) dan Shahrul Fariz. Membesar dan mengenal dunia bersama rakan-rakan. Perangai seorang demi seorang dapat dihadam. Melangkah ke tingkatan tiga, dia orang yang terhebat dalam subjek sejarah. Saya pernah meminta untuk dia menceritakan mengenai 'syarikat british di tanah melayu'. Ajin digelar geinus sejarah. Buku teks sejarah yang bergerak, 'tufat an nafis' berjalan. 

Muhammad Nazrin Khamsani ( 5.1.1992 - 30.7.2012) Al-Fatihah.

Seperti kata Abrar Syafie dalam penulisannya, benar Ajin seorang yang tough semangatnya. Peramah, motivational, inspirational dan gila-gila sering terbayang di fikiran. Saya suka mengacau sekor anak kucing yang di katakan anak dia sendiri. Mungkin teorinya Abrar benar. 

Berada di tingkatan empat memberikan banyak pengalaman dan erti hidup. Dia di tingkatan empat jannatul ma'wa, saya di jannatul Khuldi. Ketika itu dia pernah memberikan semagat kepada saya ketika mengalami sedikit masalah dan cabaran. Beliau antara terus memberikan dorongan sambil menepuk bahu saya,

" alaa come on muadz, aku yakin kau boleh handle benda ni"

Sewaktu itu beliau sebagai bendahari asrama, juga sebagai ketua rumah hijau. Bersama-sama di depan longkang, mendengar cerita mengenai keunggulan team kriket sekolah 'raptor' , bersama semangat rakan-rakan seperjuangan. Sifat sayang kepada binatang yang luar biasa selepas Ali Karim. Berkemeja-tie ke prep pagi sabtu sambil menjinjing seekor kucing. Abu Hurairah sepintar 09'.

Jua di penghujung tingkatan lima, saya berada di 5 j.khuldi dia di 5j.ma'wa. Namun berkesempatan untuk bersama satu dormitri, menumpang di dorm exco semasa fatrah spm. Bersama sama menikmati juadah yang dibawa dari rumahnya, tak lokek untuk dikongsi. Saya ingat lagi ikan masak sambal. makan bersama nasi dalam tupperware. Juga buah rambutan yang sering dibawa dari rumah kepada rakan se-dorm. Makan sambil sembang 'gila-gila'. Terbayang-bayang tubuh itu juga yang mengejutkan saya subuh sewaktu itu. 

Dia suka menggelarkan saya dengan gelaran 'kb', "weii kb..meh la lepak sini".

Banyak lagi kenangan saya bersama Nazrin, moga kenangan itu terus berlalu sebagai ibadah dalam kehidupan sekelip dua ini.

semangat menuntut ilmu yang tinggi.

Status terakhir

Semasa berita kehilangannya saya tergamam apabila teringatkan tentang status terakhir yang di post dalam group facebook spm09' sbpirawang (phalanx of legendz). Dia sempat memohon maaf kepada semua sahabat  dan rakan bersama ucapan 'good luck for your study' sebelum sign-in berkhidmat kepada negara, sebagai pelaut selepas bercuti di Jordan.

status terakhir Ajin di wall group batch spm09' (PhalanxofLegendz)
memohon maaf kepada semua sahabatnya sebelum 'pergi'. 

Sebelum ini pernah bersembang dalam ruangan chat facebook beberapa bulan yang lalu , saya bertanya, “budak alam, bila kau nak belanja aku?” Lalu terus berlarutan bersembang bertanya khabar masing-masing. Itu chat yang terakhir rupanya.

Sejak kehilangan dan seorang demi seorang mangsa dijumpai, saya masih update berita daripada rakan. Akhirnya tinggal satu lagi mangsa belum dijumpai iaitu Nazrin setelah mangsa yang keempat ditemui (sini) . Pencarian dan doa, sehingga mendapat panggilan pada petang tadi dari seorang rakan juga orang yang pertama memaklumkan kejadian tersebut. Bahawa jenazah Nazrin telah dijumpai (sini) .

Saya berdoa dan bersedih atas kehilangan rakan, sahabat, teman antara manusia daripada sebilangan manusia yang pernah mewarnai kehidupan saya sewaktu zaman persekolahan.

Meminjam quote dari seorang sahabat, "kalau hari ini langkah aku dah jauh beribu batu, aku tetap ingat mereka yang mula bersamaku, separuh dari hidupku ini, merekalah pencoraknya, Mahu bersama seperti dahulu mungkin susah, Moga pertemuan abadi di syurga Allah. Rindu parlimen tengah malam".

Sumbangannya terhadap kepimpinan sekolah 2009 bukan sedikit. Kesungguhan dia dalam setiap perkara yang menjadi keinginannya amat saya kagumi. Jika ada ruang untuk membantu cikgu-cikgu pasti akan dipenuhi.

"nak ke mana tu ajin?"
"ni nak hantar laporan PKA rumah Hijau kat Puan Mai"

Ralat, tidak dapat mengiringi jenazahnya ke perkuburan esok (31 julai). Saya ingin melawatnya apabila singgah ke Kuala Selangor nanti. InsyaAllah . Moga kawan ini menjawab salam saya di alam sana,

“Tiada seorang yang melintasi kubur saudaranya yang mukmin yang dia kenalinya dahulu di dunia, lalu memberi salam, melainkan dia (si mati) mengenalinya dan menjawab salamnya” 


(riwayat Ibn ‘Asakir dll, dinilai sahih oleh Ibn al-Mubarak, ‘Abd al-Barr, ‘Abdal-Haq al-Ashbili, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan lain-lain).


Sepeninggalan saudara sebaya, sesekolah mengingatkan saya mengenai kematian yang sentiasa menghampiri. InsyaAllah dia syahid. Semua di kalangan kita akan melalui perkara yang sama, kematian. Dan amalan akan dibawa dan ditimbang. Kita bersahabat, berkenal-kenalan di atas dunia ini, Moga Allah kekalkan persahabatan semangat berkawan itu pada kehidupan akan datang.

Bro Ajin, kita berpisah, tapi tidak selamanya. Akan ada harinya kita kita akan berjumpa dengan izin Allah. Moga kita di rezekikan untuk bertemu di tempat yang baik, dan yang terbaik di negeri sana. 

Allahumma 'ghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu


"moga ketemu lagi, Ajin"


-AL FATIHAH-

Wednesday, July 18, 2012

Tercari-cari

"Terkapai kapai diri dihanyut arus waktu,
Kegelapan hati yang sering buat ku keliru,
Dalam menguji pergolakkan emosi diri,
Tak siapa tahu ada yang memerhati..."

Ditipu


Kita sering ditipu oleh diri sendiri.

Manusia sentiasa sibuk. Mencari wang untuk masa hadapan. Meneguk ilmu untuk berhadapan dengan masyarakat. Bekerja untuk mengejar cita. Hakikatnya, bukan itu yang dicari, mereka sebenarnya mencari bahagia. 

Mudah untuk mengetahui bahagia itu dengan akal. Namun untuk mengenalinya, kita memerlukan hati. Bahagia mendapat wang untuk memudahkan muamalat. Bahagia mendapat ilmu kerana mahu memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat. Bahagia untuk mengecapi sebuah nikmat sementara.

Rasulallah s.a.w ikhlas memilih bahagia dengan sakit menghadapi ummatnya, berdarah tubuhnya hingga Jibril a.s menawarkan tuntut bela. Baginda memilih untuk tiada harta, biarpun  baginda boleh memilih untuk menjadi kaya. Boleh saja dia memilih untuk berdakwah dengan selesa.

Bahagia itu bukan dari drama berbunga-bunga, bahagia itu sebuah perjalanan mendaki dan menuruni. Nafas juga sifatnya turun naik.

Pagi tadi saya sempat bersarapan bersama seorang penduduk kampung. dia menceritakan keadaan hidup nya dalam keadaan ceria. Anaknya ramai, anak istimewanya juga ramai. Rm2k telah disediakan dalam akaun sspn anaknya. Untuk belajar lebih tinggi di hari esok.

"sebelah awok tu, dia ni istimewa"...

Saya memerhatikan gelagatnya di sebelah saya memegang sudu, menggenggam cawan, menghirup teh susu, sambil matanya berkedip-kedip tangannya menggeletar. Berusaha untuk menyuapkan secicip rezeki dalam mulutnya sendiri.

Terus terkenangkan anak murid istimewa saya di seri aman. Gelagat mereka, mendidik saya mengenal erti bahagia daham kehidupan.

Subjektif bahagia dapat ditempuh melalui sifat cinta. Dan cinta itu ialah fitrah. Jangan tergamak kalian mencemarkan nama baik institusi cinta.

re-set


Re-set

Reset kembali hidup ini.

Ramadhan. Penghulu segala bulan. Bulan ibadah. Bulan keberkatan.

Ia juga dilihat sebagai bulan Bazar, Bulan makanan, Bulan 'shopping'.

Terpulang kepada pandangan masing-masing. Pandangan menentukan hala tuju hidup. Pandangan terhadap ramadhan menentukan Resolusi ketika tamat Madrasah ini.

Pandangan muslim produktif, Ia adalah permulaan sepanjang hidup. Konsisten kita dalam bulan ramadhan, insyaAllah menentukan kualiti yang terbaik sepanjang tahun. Semangat ibadah, insyaAllah menjamin produktiviti yang maksima.

Rebutla segala macam rahmat yang ada dalam bulan ini. Carilah bahagia dalam bulan ini. 

Kerana bukan harta yang dicari, namun kebahagiaan.  

Kerana bukan berat badan menurun yang diimpi, bukan keuntunggan bazar yang dicari, bukan kesihatan yang terbaik selepas berpuasa, bukan juga mencari  lapar dan dahaga sebagai tanda mujahadah yang teguh. 

Namun kita mencari Taqwa sebagai starter tahunan, untuk re-set kembali peribadi diri. Kerana itu sebenarnya bahagia yang dicari, sedang kita tercari-cari.


Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa,
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa
 .

Re-set !

menunggu ketibaan bulan mulia.
Allahumma Ballighna Ramadhan.
K.Terengganu.


tercari cari.
Bukan dia yang dicari, tetapi DIA.

Monday, June 25, 2012

Welcome Mr. President !

Kezaliman itu akan tumpas walau apa jua jenamanya.
Keadilan itu pasti tertegak walau apa jua warnanya.

Suatu ketika saya masih bersekolah rendah, saya sering memerhatikan gelagat politician sama ada di media rasmi perdana. Mahupun akhbar yang dibeli oleh Ayah. Utusan, Harian, mahupun Harakah. Dan ketika itu akhbar harakah punyai column khas untuk kanak-kanak harakah. Punyai gambar dan biodata sedikit sebanyak. Saya teringin gambar saya terpampang dalam ruangan itu.

Cuma ketika itu jauh dari sudut hati saya, Islam itu tetap benar. Seperti apa yang diajari oleh Cik Sakinah cikgu taski Abim saya di Klang, Selangor. Apa yang ada di fikiran saya itu terus mekar sedikit demi sedikit setelah saya menginjakkan kaki ke zaman persekolahan. Dan di kala inilah saya berkenalan dengan Jemaah Ikhwanul Muslimun.

Perjuangan adalah suatu yang amat payah. Maha payah lagi seandainya produk yang ingin ditawarkan merupakan keadilan dan kebabasan yang sejati. Maka ia terpaksa berhadapan dengan Kebatilan dan Kezaliman yang sentiasa mendandankan diri dengan habuan wang ringgit, haiwan peliharaan, lembu ternak dan sebagainya. 

Perjalanan masih panjang.

 Semalam, ketika mengikuti wacana PRU-13:"Masa depan Islam" di Balai Islam, Kota Bharu Kelantan. Beberapa pesanan ringkas muncul di telefon bimbit.

"Allahuakbar! Dr. Morsi diumumkan secara rasmi sebagai Presiden Mesir yang baru, dengan undi 52%. Inna fatahna laka fathammubina!"
selamat berkhidmat Tuan Presiden


Sungguh terasa mahu berderai air mata ini. Ditambah pula dengan kehangatan wacana yang sedang berlangsung. Segala memori berusrah di sekolah kembali menerpa. Ingatan satu ketika, tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dijadikan pembakar semangat setiap hari, ketika mahu mengambil peperiksaan besar. Ketika itu saya bersama Nor Azamuddin seorang sahabat yang selalu mentaarufkan siapakah ikhwanul muslimin kepada saya. Saya Optimis, qunut nazilah ini, saya akan teruskan hingga ke akhirnya. Untuk Ummat Islam dan buat perkembangan dan kefahaman Islam di tanah air saya ini.   

Perjalanan perjuangan menentang kezaliman ini masih panjang. Biarpun kemenangan Gerakan Islam di seluruh dunia, proses menuju kepada keadilan tanpa penindasan adalah sehingga hari kiamat. Kerana bumi ini adalah untuk dimakmurkan oleh para penghuninya.

Apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermulanya kita dari bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas.
Tetapi jika kita hidup kerana selain daripada kita, hidup kerana fikrah, maka hidupnya amatlah panjang dan mendalam. Bermula dengan bermulanya kita dan berakhirnya dengan luputnya manusia di bumi ini, Jika kita merasakan kitalah yang memulakan perjuangan ini, kita akan merasa sempit dada menghadapi kematian ( kerana perjuangan belum mencapai matlamat) Ingatlah bukan kita yang memulakan dan bukan kita yang mengakhirinya. Ia dimulakan oleh para nabi sehinggalah ke akhir zaman. Kita adalah mata rantai dari satu perjuangan yang panjang.
- As Syahid Syed Qutb-
Mata rantai itu terus disambung, Tunisia mengangkat Annahdhah, Hamas telah berada di Palestin, Dr.Morsi juga telah diisytihar sebagai Presiden di sebuah negara yang cukup unik tersebut. Islam itu sendiri berpaksikan kebebasan, keadilan dan anti-penindasan. Datanglah dengan apa jua jenama perjuangan agama seandainya itu bersifat penindasan maka ia fitnah terhadap perjuangan agama yang syumul ini.

Saya yakin Perjuangan Islam yang dibawa di mana mana tempat di atas muka bumi ini berpaksikan Hak kepada Allah Tuhan sekalian alam, dan hak kepada rakyat dibawah pemerintahannya. Biarpun datang dari apa jenama dan cap. Justeru keadilan dan anti-penindasan adalah lauk utama.

Bak kata Dato' Dr. Asri semalam ketika wacana di Kota Bharu, beliau ambil dari
kata-kata Ali Abu Raziq berkata,

 "lebih baik kita berada di sebuah negara kafir yang adil kepada seluruh rakyatnya, daripada pemerintah Islam yang kejam dan menindas".

Saya hanya mengungkapkan kata, bukan berpegang pada kata kata ini.

Analisa juga tanah air sendiri

Terkesima juga  saya melihat ramai pula penyokong ikhwan di Malaysia. Harapannya agar penyokong-penyokong ini tidak hanya bersorak atas kemenangan umat Islam di tanah arab, walhal menyekat kemaraan Islam di tanah air sendiri. 

Tidak juga hanya sebak menagisi kezaliman yang berlaku di tanah arab, lalu memandang sepi kezaliman yang berlaku pada umat Islam di tanah air sendiri. Meskipun pertembungannya bukan diantara Yahudi-Islam, ataupun kezalimannya berbentuk sopan santun masyarakat Malaysia, ia juga kezaliman yang harus ditumpaskan. Sepertimana kita dapat melihat kezaliman yang berlaku terhadap saudara kita di Tanah Arab, Begitu jua kita wajib 'concern' penindasan terhadap lapangan ummat Islam di Malaysia.
 

Sesungguhnya kami membuka bagi perjuangan kamu, Satu jalan kemenangan yang jelas nyata.
Ya, Perjuangan mereka di negara lain sangat kita dokongi. Bagaimana kalian suam mengalirnya air mata melihat fatrah genting sahabat di timur tengah , begitu juga kecaknaan terhadap isu-isu penindasan umat Islam dan Islam itu sendiri di tempat sendiri. Bukan suam-suam kuku.


Kezaliman yang berlaku kepada orang Islam, kezaliman yang dibuat oleh pemimpin di tanah air sendiri, juga sesuatu yang kita perlu bersama selidiki. Royalti minyak di negeri mejoriti Melayu dinafikan haknya, mogok lapar di penjara ISA Kamunting. tahu?

Anda tahu tak berlaku mogok lapar di ISA Kamunting?

Mereka terus bergerak membebaskan rakyat dari kezaliman di tanah mereka. Mereka menyuburkan kebebasan agar Islam itu akan duduk di tempatnya semula. Ini merupakan semboyan kepada kita agar terus dokongi perjuangan menentang kezaliman di tanah air sendiri.


Sepertinya , Gerakan Islam seluruh dunia, dan perjuangannya menentang kezaliman, akan bersama-sama berkumpul di suatu tempat dan kawasan untuk kita bina kembali legasi itu.Maka sekarang masing-masing dalam perjalanannya menaiki kenderaan masing-masing. Saya berasa seronok ada dikalangan ikhwah yang hampir sampai ke tempat pertemuan kami. Kami terus berjanji akan berjumpa di sana sambil diinspirasikan oleh ikhwah yang lain. 

Dalam pada itu Harapannya tiada pemunpang yang sanggup membocorkan tayar kenderaan sendiri, jika tidak punah harapan  dan janji untuk bertemu di sana.

Harapan deen Buat Malaysia terletak di bahu kita :)
Ayuh kita bersama-sama menguasai isu ummat Islam luar negara dan juga di Tanah air sendiri, mereka sedang membina rakyat se-karekter dengan mereka dan kita sebagai manusia yang sayangkan Islam, bencikan kezaliman, juga perlu membina manusia se 'species' dengan kita agar usaha dari penyusunan maratib amal kita dapat bina bersama. Tiada lagi waktu untuk tidak mahu ambil tahu.
"I have been given the authority over you, but I am not the best of you. If I do well, help me; and if I do wrong, set me right. Obey me so long as I obey Allah and His Messenger, but if I disobey Allah or His Messenger, you owe me no obedience."- Dr. Morsi The New President of Egypt.
Rancakkan usaha setelah mendapat momentum dan booster dari negeri mesir,  berjuanglah dalam setiap lapangan anda dengan akhlak intelektualisme berdasarkan ilmu dan matang terhadap perbedaan. Menjunjung pinsip deen, keadilan dan anti-penindasan.

Welcome Mr. President!

Menunggu ketibaan bulan mulia.

Allahumma ballihgna Ramadhan.

25 Jun 2012