Wednesday, March 18, 2015

Tempat jatuh lagikan dikenang

inikan pula tempat bermain.

Awal 2010 merupakan tahun hiba saya, Meskipun kejayaan sekolah telah dinobat sebagai 'sekolah cemerlang' peringkat kebangsaan, namun sekolah itu tidak berjaya mencemerlangkan saya. Saya 'dikira lepas' menamatkan sijil pelajaran malaysia dengan ranking yang hampir corot serta membuatkan guru yang 'mahu nama' kecewa dan menyebut-nyebut kegagalan saya berulang kali setiap kali bersapa. walaupun hal itu telah lama berlalu.

Di sebuah sekolah yang cemerlang, sbpi rawang.
Pencapaian akademik no.5 negara tahun 2009 dan 2015.

Sejak itu, saya menjadi seorang pelajar yang takut kepada sistem pelajaran berteraskan peperiksaan. saya berubah menjadi raju rastogi dalam filem 3 idiot karya aamir khan. Anggapan saya selama bertahun bahawa sistem yang berhantu ini mampu memberikan rezeki yang melimpah ruah pada masa hadapan.

Hasilnya, saya tamat persekolahan dalam keadaan meraba-raba mencari semula kekuatan yang hilang. Berdendam untuk tidak mahu lagi mengaku, bahawa saya adalah dari didikan sekolah ini apabila saya berjaya kelak.

tempat jatuh lagikan dikenang.... gambar dari kamera digital saya pada tahun 2009

Saya mengaturkan langkah 'selamat' untuk memastikan saya mampu mendaki semula dengan bertenanga. Kolej matrikulasi Perak antara tempat persinggahan saya selama setengah tahun pada 2010. Pengalaman untuk lebih mengenali serba sedikit disiplin matapelajaran sains hayat (biologi), serta beberapa ujikaji kimia yang complicated, barangkali menjadi titik tolak untuk saya untuk mengakui diri, bahawasanya saya tidak sesuai berada di dunia tersebut. Saya mengambil keputusan untuk berhenti dan terkapai-kapai tanpa tempat pengajian selama sebulan.

Tidak dilupakan di kolej tersebut saya menemukan dua orang sahabat dunia akhirat, berkongsi manis dan kelat sebuah kehidupan remaja. Hanif dan Zamir moga Allah merahmati mereka.

Saya menyepi beberapa bulan. Mengelak ketika diajukan soalan, semakin takut dan mengecut melihat tawaran-tawaran biasiswa yang tertera di capaian internet jauh dari kelayakkan. Takut. Takut dengan sistem.

Sehinggalah dengan rahmat Tuhan, Universiti Sultan Zainal Abidin telah menerima surat rayuan yang saya taip sendiri, pada pengambilan kali ke-4 (terakhir) untuk mendaftarkan diri sebagai pelajar diploma pengajian islam syariah. Saya menyambutnya dengan sedikit rasa lega, meskipun tahu bahawa taraf diploma sangat 'cap-ayam' berbanding rakan yang menyambung A-Level,  IB,  ataupun melanjutkan pelajaran ke Jordan untuk menekuni ilmu syariah.

Setelah tiga tahun saya mencari hakikat sebagai seorang penuntut, mencari kekuatan, mengeluarkan diri dari kepompongan penakut, akhirnya saya memperolehi gred purata jayyid jiddan dan direzekikan untuk  memenuhi salah satu diantara 3 tempat disediakan dari 40 lebih permintaan untuk melanjutkan pelajaran ke Jordan. Saya terbang dengan harapan yang baru beserta nafas perjuangan yang segar.

Jika SPM itu menjadi pengukur mutlak kepada kejayaan untuk mendapat tempat ke luar negara, pastinya saya tidak akan menjejakkan kaki ke Jordan. Kerana saya ke sini diatas kuota pelajar diploma UniSZA.

Begitu juga jika ukuran kejayaan itu terletak kepada kejayaan seseorang yang berada di sekolah cemerlang, saya kira perlu diselidiki pula bagaimana pelajar yang 'gagal berhenti' dalam pengajian mereka meski mereka dari sekolah yang cemerlang.

Tahun 2013- Saya hadir kembali ke sekolah untuk memohon restu para guru sebelum berangkat ke Jordan. Namun saya pulang dalam keadaan yang hampa. Dalam keadaan masih suam-suam 'trauma' saya akui 'ketakutan' itu masih ada. Perasaan malu, berasa kerdil, rasa terhina itu semua menjadi pekej saban tahun, ketika saya mulai masuk ke bilik guru sekolah. Entah kenapa saya merasakan saya hanya layak untuk menziarahi sekolah setelah menerima sijil kelulusan Master dengan hons. dari Eropah.

Dalam perjalanan, saya bertemu dengan seorang guru yang mengucapkan tahniah dan selamat meneruskan pengajian. Tidak lama selepas itu, saya bertembung dengan seorang guru yang lain di hadapan Dewan Al-Aqsa.

"eh awak dapat sambung oversea? SPM teruk pun boleh pergi oversea ke eh?"

Biasanya saya sudah immune dengan ayat offensive begini kerana saya selalu ditegur oleh cikgu yang sama, seperti ungkapan "dah spm teruk tak tahu malu lagi nak datang sekolah ye?". Namun kali ini bisanya sangat makan dalam. Sehingga saya hampir mahu memadam nama sekolah ini beserta gurunya dari diari hidup.

Sejarah yang tertulis

Tahun 2015- Hari ini saya dapat menekuni kelas sejarah oleh Dr. Nimir Muhammad. Seorang ilmuan yang sangat komited mendidik dan membincangkan cabang ilmu dan serta disiplin yang berada di dalamnya. Kami berkesempatan untuk mengikuti kupasannya dari kitab sejarah rasul berjudul syarah azzarqaani 'ala mawahibu addiniyyah.


kitab sejarah rasul yang mempunyai 13 jilid.


"hargailah masa mudamu untuk menuntut ilmu. kalaulah kamu tahu, semasa mudaku tidak pernah tinggal dalam sebulan untuk aku menambah jumpah buku dalam perpustakaan peribadiku melainkan 3,4 kitab yang di masukkan"

Demi tuhan saya menghargai kesempatan pengajian di sini, meskipun masih banyak lagi yang tidak mampu saya gapai dengan kudrat dua pasang tangan di hamparan lautan ilmu tuhan yang maha luas. Apa yang peting untuk saya terus berusaha.

Jurusan syariah menjadi pilihan saya sejak di bangku persekolahan, saya menafikan pemilihan saya dalam bidang ini kerana 'pilihan terakhir' kerana walau bagaimana-pun keputusan peperiksaan saya, hanya kursus ini sahaja yang mahu saya pilih, sebelum ke bidang lainnya untuk pengajian Master.

Saya tertarik dengan syarahan dr. nimir dalam surah alfiil,


tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu
telah lakukan kepada tentera bergajah (abrahah)?

Dr. Nimir hafizahullah menerangkan akan kalimah تر yang digunakan, Akalimah itu menunjukkan tentang gambaran dengan kadar kejelasan yang kuat. Kerana peristiwa tersebut sememangnya berlaku di depan mata mereka secara jelas sebelum kelahiran Rasulallah. Bahasa mudah, melihat dengan mata-kepala!

Diceritakan dalam riwayat syarah allamah azzarqani ini, ketika peristiwa itu berlaku, datuk baginda Abdulmutallib telah menyelamatkan unta mereka dan lari naik ke bukit bersama kaum Quraiy. Mereka menyerahkan kaabah kepada Tuhan untuk diselamatkan.

Ketika berlaku peristiwa itu, mereka menyaksikan sendiri dengan mata kepala mereka.

Setelah 40 tahun berlalu, Tuhan sekali lagi telah menceritakan semula sejarah ini melalui wahyu dalam surah makiiyyah kepada rasulallah.

Pastinya ada dikalangan penduduk makkah yang pernah melihat peristiwa ini masih hidup, berusia sekitar 60-70 tahun dapat mengimbau kembali sejarah yang ditulis tuhan itu.

Namun apa yang lebih pasti, tidak tercatat satu pun didalam sejarah, berlakunya percanggahan cerita versi quran dengan versi orang yang pernah menyaksikan sendiri dengan jelas sekitar 40 tahun yang lalu. Jalan ceritanya tepat tanpa argument sebagaimana apa mereka sendiri lihat dari atas bukit tersebut. Begitulah Tuhan bertanya pada awal ayat, "tidakkah kamu perhatikan bagaimana....?" lalu disambung dengan ayat;

"dan Dia telah menghantar rombongan burung berpasukan, lalu mereka melontarkan batu batu (yang dibakar), lalu mereka menjadi hancur bagai daun yang dimakan ulat"

Maha suci Tuhan yang menciptakan!

Tuhan mengulagi cerita 'lama' yang bersejarah itu untuk memberi ruang buat veteran musyrikin makkah untuk berfikir dan kembali untuk sujud hanya kepada tuhan yang satu.

Harapan demi harapan

Sejarah banyak mengajar kita untuk menjadi lebih dewasa, menjadikan kita lebih berani untuk keluar dari kepompong ketakutan. Sejarah juga tertulis sama ada dalam kenangan mahupun dalam penulisan untuk diteliti, diambil erti yang baik dan disimpan erti yang buruk. Serta beriman bahawa sejarah mampu berulang jika tidak diambil pengajaran.

Namun kenangan saya yang buruk, tidaklah saya simpan sebagai api dendam. Terutamanya buat guru mahupun sekolah yang banyak mengajar erti berdikari dan kepimpinan. Kenangan jatuh itu, untuk saya simpan agar saya tidak terus menjadi mangsa terbuang, dalam lapangan pengajian yang berhak atas semua jenis manusia yang mahukannya.

Saya akui ada juga kesilapan yang muncul dari diri saya, pada zaman mencari makna diri, di usia belasan tahun. Namun apa yang dikesali, peranan mendidik dan yang terdidik itu seolah telah menjadi beban. Bukan bebanan pengajian, namun bebanan untuk menjaga nama baik, ranking , bilangan A, dan peratusan kejayaan.

Akibatnya pelajar yang ketinggalan dalam 'perlumbaan mengangkat beban' ini pula dilihat seperti 'tiada masa hadapan'.

Sifat dinamik manusia sangat kompleks untuk kita teliti bakat, kemampuan, dan kejayaan yang mampu mereka perolehi. Setiap manusia ada keupayaan tersendiri, namun jangan dizalimi mereka dengan neraca sistem yang tidak adil seperti sistem peperiksaan, mahupun cetakan dari 'sekolah cemerlang'. Kerana sistem hanya sebahagian yang berupaya, dan sebahagian lagi ditampung bagaimana kita menguruskan kehidupan.

Sebenarnya, setiap tahun apabila saya mendengar keputusan peperiksaan dan memerhati gelagat perlajar menyebut kejayaan mereka di media, terus terlintas dua nama yang pernah berada di masa saya dibawah injakkan kaki-kaki orang. Mereka berdua pernah berada 'di sisi' ketika saya berada di 'bawah'. Mereka pernah memberikan semnagat untuk terus memuntut ilmu kepda saya, di ketika tiada seorang pun yang mampu berbuat demikian. Merekalah ustazah Rahila seorang guru sbpi rawang, dan Hanif Mahpa, the president of Student Representative Council (src), IIUM.

Antara kata mereka,"teruskan perjuangan walau jatuh berkali-kali". kata Hanif, "kita jumpa di eropah!"

Saya akan pastikan, ketika saya berada di kemuncak kerjaya, mahupun pengajian saya jika diizin tuhan, merekalah antara orang yang terawal untuk saya kenang-kenangi dan balas budi. Meskipun pembalasan itu tidak setara dengan nilai membina kembali diri saya.

Buat pelajar yang sedang mengalami nasib seperti saya hadapi beberapa tahun dahulu, saya sedia meminjamkan masa untuk membantu anda mencari semangat yang hilang, dan bantu mengeluarkan anda dari kepompong ketakutan. Kerana saya pernah merasai bagaimana jatuh disaat semua sedang melompat.

Harapan yang tinggi untuk disemat bahawa, kejayaan النجاح untuk dunia sememang perlu dikejar.
Namun tinggi lagi harapan الفلاح, untuk digapai, demi kejayaan dunia dan kejayaan di akhirat.


terus juang menuntut ilmu.

muad'z abdul wahab asri
jamiah alalbayt 

18 mac 2015.

Friday, March 13, 2015

Masa yang menghukum

Jam tangan menjengah ke jam dua belas. 31 Disember 2014. Saya bersama teman sepengajian duduk berteleku, sambil membelek beberapa naskah tasweer bagi semester depan. Dingin musim sejuk tahun ini lama pula nak habisnya.

"sudah 2015."
"2016 ana bakal pulang...."

Muka ditekupkan ke bantal. Menjerit keseorangan.

Saya bukan buang sahaja semua masa di Jordan. Apatah lagi ponteng kuliah pengajian. Saya masih berjinak juga dengan pengajian kitab bersama masyayekh urdun yang disegani.

Cuma satu hal yang menikam kalbu, mengapa masa sangat cepat berlalu!

"hamid, ana taknak balik malaysia!"
"....heh....tersenyum"
"balik orang akan tanya macam macam, hal ini hal itu. ada banyak ketegori soalan. ada soalan memang mahu bertanya. tidak kurang yang mahu menduga. ada juga yang mahu bertanya untuk meletak lebelan di muka."

Keluaran Jordan.

Hakikat yang kelat untuk ditelan andai pulang dengan masakan yang belum siap.
"dua tiga tahun cukup? ana yang empat tahun ini pun tak merasa cukup" dengus ustaz Atiq. Antara pelajar malaysia terbaik jamiah alalbayt.

Saya tertarik apabila meneliti sebuah buku karya fadhilatussyekh dr. solah fatah alkhalidi bertajuk, alkhittoh birroqoh lizi nafsi towwaqoh. Di dalam catatan ringan beliau dalam buku itu, beliau membahaskan tentang masa.

demi masa.


Dikatakan kalimah "al asr" menurut definisi kamus muqayyas lughah karya ibn faris w.782h, asas pada makna "العصر" adalah  "ضغط شيء حتى يتحلب" memerah sesuatu perahan (buah) sehingga menjadi titis titis kecil.

Apa yang menarik bagi perumapamaan ini, masa itu seharusnya laju bagai kita memerah perahan buah, dan seharusnya juga yang ditinggalkan di tangan kita sepanjang masa yang digunakan adalah sepah buah untuk disarapkan, dan yang terbit hasil perahan itu adalah air yang bermanfaat untuk dinikmati.

Begitulah juga prinsip asas masa yang telah Tuhan nukilkan dalam surah 'asr. Seharusnya kilasan masa kita meninggalkan yang buruk untuk menghasilkan perkara yang terbaik. Oh, ada beberapa lagi bab yang belu saya habiskan bukunya.


apabila ranum sebelum masa, terhasilah peribadi menghukum masa

Kelas usul fiqh 3, oleh dr. hamad hamid menyentap pemikiran saya. Sehingga terkeluar kalimah, wala haula quwwata illa billah. Dalam menyelusuri bait bait kata dalam syarahannya, terbit satu ayat yang mengetuk jiwa.

"jika kita tidak mampu membezakan diantara kepentingan solat subuh berjemaah di masjid atau solat hari raya di masjid mana lebih awla, bagaimana kamu mahu mengajikan kepada ummat sejagat fatwa ini dan itu?!"

Isinya ringkas. Hanya berhubung solat subuh dan solat hari raya mana lebih penting. Tentu sahaja kita akan menjawab, tentulah solat subuh. Tapi belum tentu kita boleh berasa kecewa dengan manusia yang meninggalkan solat subuh melebihi manusia yang meninggalkan solat hari raya. Mampukah kita berasa kecewa apabila perkara wajb ditinggalkan berbanding amalan atas nama budaya agama diteruskan.

Saya ingin membuat rumus tersendiri berkaitan dengan beberapa perbezaan manhaj (yang dibenarkan), pemikiran sudut pandang ilmuan dahulu dan kaitannya dengan masa yang menghukum ini,

rajah ini saya lukiskan sendiri.

Buat masa ini saya tidak berminat untuk membicara soal yang mana yang lebih baik dan selamat untuk dipegang, kerana para ilmuan telah banyak membicara soal tersebut. Saya cuma ingin berkongsi bagaimana perselisihan boleh berlaku oleh golongan yang melatah, disebabkan perselisih tidak kembali kepada jarak berbezaan sebenar.

Mafhum semua maklum bahawa setiap manhaj, pemikiran, mahupun pandangan, terikat dengan masa. Semakin jauh masa kita dengan sumber asal, semakin kabur pandangan mata kita dari pemandangan sumber tersebut. Hal ini disebabkan kematian para ulama, jarak ulama ulama tersebut telah menjauhkan kita dari capaian maksud sebenar.

Anggaplah perbezaan antara dua pemikiran (yang diterima syara') bezanya cuma 45 darjah. Ia dipisahkan melalui dua jejari (radius) dan ditemukan dengan satu titik. tiada titik persilangan.

Semakin panjang masa berlalu, semakin kelihatan jauh bezanya antara dua jejari tersebut. (rujuk gambar).

Cara melihat golongan yang belajar ialah kembali kepada darjah asal. atau lebih baik, mereka bermunasabah kepada titik asal. oh kita dari titik yang sama!

Cara melihat golongan yang melatah ialah jauh nya 'jejari' dan cuba bertelangah dari sudut pandang yang jauh dan membosankan. Hakikatnya mereka hanya berbeza 45 darjah dari 360 darjah yang maha luas. oleh itu bersederhanalah.

Saya sedang melatih diri untuk diam dikala kita tidak tahu, berkadaran apabila mahu menerima sesuatu pandangan dan menerima pandangan lainnya selagi mana titik yang sama tidak menunjukkan persilangan yang ketara dengan nas alquran dan alhadith.

Termasuklah isu nabi berkhatan atau tidak sejak dari alam rahim, mahupun rambut yang dikatakan empunya nabi tersebar melata dunia. Ah! cukuplah untuk saya membincangkan tentang apa yang nabi tinggalkan dari kerangka alquran dan sunnah. Nabi suruh menekuni hadith bukannya rambut.


Tutup sahaja masjid

Tercatat sebuah kisah di Mesir, diceritakan oleh guru kami, satu hari Ramadhan menjelma dan seisi kampung bergembira menyambut 1 ramadhan tersenbut. Pada malam itu berlaku pertelingkahan di dalam masjid.

"kita mahu solat tarawih berapa rakaat?!"

Sebahagian menjawab 8 dan sebahagian menjawab 20. masing masing bersama rujukan guru masing masing dan terjadilah satu pertelingkahan yang serius.

"esok kita ketemu seorang alim di hujung kampung. bukan guruku dan bukan juga gurumu, kita bertanya yang mana lebih afdhal untuk di jemaahkan bagi menunaikan solat tarawikh kita.

Pada petang tersebut meraka bertemu dengan syekh tersebut dan menceritakan prihal masalah yang mereka hadapi. Mengejutkan hasilnya, syekh tersebut menyuruh untuk mengunci pintu masjid selepas solat isya'.

"kunci sahaja pintu masjid selepas solat isya'. Tidak perlu solat tarawikh! sesungguhnya kesatuan ummat Islam itu lebih penting dari lapan atau dua puluh rakaat tarawikh yang kamu balahkan!"


doakan agar tulisan saya istiqamah.
kerana umur saya makin dimamah.
perlu untuk saya sediakan kitabah,
agar kubur terang melimpah ruah.





muadz,
jamiah alalbayt
mafraq

Sunday, June 29, 2014

Kembalilah kepada Tuhanmu

Sekitar jun hingga ogos musim perlahan-lahan berubah. Ia merupakan sunnatullah alam yang mengajar kita dengan sunnah manusia akan berubah mengikut umurnya. Putaran ini memberikan suhu yang berbeza, perubahan manusia akan membuahkan perasaan dan tindakan yang berbeza.

Sepanas bahang soifi sehangat semangat miqdad.

Cuaca terik. Hangat pijar. Kepala perit. Belum pernah saya merasai panas membahang seperti ini. Cuaca menunjukkan 44 darjah celcius. Kami mengaduh. Dahulu, ketika musim sejuk di Mafraq, saya di sapa teman sepengajian ketika mereka menziarahi bilik lama saya tanpa tingkap. "ohh kenapa bilik mu ni sejuk sangat. serupa bilik mayat ni!". Saya menjawab nada gurauan, "bilik ahli-ahli syurga biasanya memang sejuk akhi...".

perbualan kami didengari seorang ustaz pengajian Master.

Lalu, perbualan kami disapa Ustaz, "bilik ana panas suam sikit musim syita' ni... dah ana ahli apa akhi?".

"kasorr ustazz!" Kami ketawa bersama.

Hari ini panas.

Kalau boleh mata tidak mahu dibuka ketika jalan di tengah hari buta dalam perjalanan ke kelas pengajian.

Di tengah panas 8 ramadan tahun ke-dua hijrah...

Sahabat dikalangan Ansar memberi buah fikiran untuk bertempur di luar kota Madinah. Meskipun Nabi punyai pancaindera kenabian, namun baginda tetap merasakan bahawa sesuatu yang besar akan berlaku atas keputusan yang penting ini. sama ada berkubu dari dalam atau bertempur di luar kota. Badar-al-kubra hampir bermula.  Rasulallah masih memerlukan buah fikiran sahabat-sahabatnya hingga ditanya beberapa kali kepada beberapa sahabat yang berbeza. Maka bangun Abu Bakar, kemudian Umar al khattab. Dia sahabat disayangi nabi ini menurut perintah sepenuhnya. "ahsan ya rasulallah!".

Lalu berteriak Miqdad bin amru memberikan semangat buat sayyidi nabi.

"Wahai Rasulallah, jika kesakitan yang akan kami dapati kerana Allah, maka kami bersama engkau. Demi Allah tidak akan kami sebut pada engkau seperti mana kaum israel berkata kepada nabi mereka Musa!"


"....... pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka.
 Sebenarnya kami di sini hanya mahu duduk menunggu".
Miqdad menyebut potongan surah almaidah ayat 24. sambung Miqdad, "kami tidak akan berkata begitu, akan tetapi kami akan berkata, pergilah engkau bersama Tuhanmu, dan perangilah mereka. Sebenarnya kami juga akan bersama kamu menentang mereka! walaupun ke bagh ghamad di yaman mahupun hingga ke hujung jazirah alaqsa pun kami akan bersama kamu..."

Baju pertempuran disarungkan. Tiada lagi berundur setelah semua telah di rencanakan. Peristiwa besar ini berlaku di sekitar suhu yang mencecah 45 darjah celcius. Mereka sememangnya punyai mental yang terbaik dan psikologi yang belum tentu hidup pada akal manusia zaman ini.

panas begini lah saya mula merindui sungai di tanah air.

Malaysia juga mengalami el-nino. El-nino berasal dari perkataan spanyol yang berkaitan dengan lencongan udara panas dan perubahan cuaca tinggi yang mendadak dari lautan pasifik. Cuaca di tanah air Malaysia juga berubah. Panas bukan seperti biasa, bahang nyaa tercatat di facebook twitter.

"ohh bagaikan dipanggang" membayangkan seperti ayam dipanggang. "oh berasa bagaikan di neraka" meskipun belum pernah merasai  walau sekelumit asap neraka.

Jangan melebihi Tuhan

"Cuaca panas ini, besar tangkapan kita ni" dengus pegawai majlis agama. Maklumlah ibadah puasa sudah bermula. Ustaz-ustaz membacakan ayat quran modal tazkirah di masjid... "wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa...sebagaimana orang yang terdahulu daripada kamu...agar kamu bertaqwa". Tazkirah yang menjadi azimat untuk mencari mangsa.

"hah! kamu tak puasa?! tangkap! kita bawa ke lokap!" mengacah sambil mengharap wang kopi akan disua.

"hoi kau tak tahu ke ni bulan puasa. tak reti nak hormat ke?" sambil menunjukan muka bengis.

"tak puasa? kau ni nak jadi apa?" bertanya sambil menyusun kotak rokok di kedai.


Tuhan mendahulukan ungkapan berpuasa dengan seruan kepada mereka yang beriman. "Wahai orang yang beriman...." . Jangan pula kita melebihi tuhan. Sepatutnya dahulukan pertanyaan "adakah kamu beriman?" adakah kamu faham apa itu iman?" jika terlihat seseorang tidak berpuasa.

Sebelum pergi kepada persoalan sebenar yang mahu diajukan.

Begitu juga sangat menegcewakan apabila mendengarkan ucapan sesetengah orang menyebut "dosa-dosa si polan tidak akan diampunkan Allah"

Semua ini ringan di lidah, namun berat kesalahannya disisi Allah. Menjadi wakil tuhan untuk memutuskan rahmat dalam kalangan hambanya. Kita menolak manusia yang mahu kembali kepada Tuhannya kerana emosi kita, sedangkan keluasan rahmat itu dijanjikan Tuhan sehingga kiamat.

Bersemperna dengan bulan mulia ini. Marilah kita berkempen untuk manusia kembali dalam rahmat kasih Tuhan. Dari pemuda masjid hingga ke muda mudi jalanan, dari gelanggang politik kopiah serban hingga ke politikus cemuhan. Semuanya layak menerima rahmat Tuhan. Selagi roh masih di jasadnya. Hukuman Tuhan pun kita tidak tahu apatah lagi pengakhiran manusia.

Atas kempen mari kembali kepada Tuhan ini, saya muatkan hadith daripada baginda rasulallah yang mulia, riwayat muslim,

إذا قال رجل هلك الناس فهو أهلكهم
"jika seorang berkata, binasalah manusia (tiada harapan), maka dialah paling binasa"

Hadith ini apabila seorang berkata dengan tujuan membangga diri seakan akan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah yang akan dibinasakan tuhan. Ingatlah bahawa ungkapan ungkapan agama dan bertuhan ini sepanjang masa adalah memberikan harapan bukan menimbulkan kekecewaan.

Maka marilah. Kembalilah.

kembalilah ke pangkuan Tuhanmu

Apabila sorang yang bekerja mencari rezeki, kembali ke rumahnya. Ketenangan akan menyapa dirinya. Segala resah gelisah dilupainya. Kepenatan bekerja akan di lupa.

Burung terbang di pagi hari mencari secicip makanan meninggalkan anak mereka yang gelisah lapar dan dahaga. Lalu kembali ke sarang membawa rezeki memberi ketenangan buat anak-anaknya.

Seorang anak kecil menangis, pasti akan berasa tenang apabila kembali ke pangkuan ibunya.

Seorang perantau walaupun sejauh mana dia merantau dan selama mana ia keluar. Pasti akan merindui kampung halamannya dan akan berasa tenang juga jika pulang akhirnya.

Begitu juga seorang hamba kepada tuhannya. Jika dia kembali kepada tuhannya, dia akan merasai ketenangan yang tidak dapat pada orang lain. Kerana ketenangan hakiki ialah bertemu tuhannya dalam keluasan rahmatnya.

Semperna kedatangan ramadan ini, berazamlah untuk tidak membiarkan hati keras hingga ramadan pun gagal mengubah kita.

Mujahadahlah semoga bulan ini menjadi garisan mula untuk kita kembali kepada Tuhan kita bersama. Kerana siapa pun kita, sebesar mana pun dosa, kembali lah. Dakapan kasih Tuhan lebih besar dari dosa hambaNya. dan Takwa akan menyusul bukti pengabdian ikhlas di bulan ini.

Ber-Taubat.

"wahai jiwa yang tenang. 
kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan puas dan diredhai. 
Masuklah dalam dakapan hambaku yang berbahagia. 
Dan masuklah ke dalam syurga-ku!"

[alfajr: 27-30]




Mafraq.
1 ramadhan 1435h.


-sumber sejarah buku 'mausu'ah mu'assiroh li ttarikh islami'
cetakan kaherah, mesir.

Monday, June 9, 2014

Peristiwa 35 hijrah, gambaran generasi hari ini

Telah tertulis dalam lipatan sejarah islam, berlakunya suatu peristiwa hitam merobek hati orang-orang beriman. Kerana pedihnya fitnah yang ditanggung. Peristiwa itu adalah pembunuhan Saidina Uthman r.a. Rentetan peristiwa tersebut, menyebabkan berlakunya fitnah besar iaitu pertelingkahan para sahabat, termasuk peperangan Jamal dan Siffin.

Semasa berlakunya pembunuhan Uthman r.a pada tahun 35 hijrah, terdapat bayak khabar-khabar palsu yang berlaku. Benarlah bahawa Umar al khattab adalah pintu menutup fitnah, dan apabila pintu fitnah telah tiada, maka berlakulah satu gelombang fitnah yang besar sebagaimana yang tercatat dalam hadith dari Sayyidina Hudzaifah dalam soheh bukhari dan muslim.

Surat palsu dan cakap-cakap belakang.

Uthman affan r.a dibunuh. Tidak pernah berlaku di zaman itu, satu peristiwa aneh dimana seorang khalifah dibunuh setelah dikepung rumahnya, pada masa para sahabat kebanyakkan menunaikan haji. Dihentak kepalanya oleh para pemberontak, hingga terpercik darahnya pada mushaf quran yang mulia.

Maka berlakulah satu peristiwa besar, Pembunuhan Khalifah.

perang jamal dan siffin adalah rentetan dari peristiwa ini.


Dalam kitab albidayah wa nihayah, karya alimam ibnu kathir, uthman yang pemalu diketika itu berpuasa bergegas memakai seluar kerana merasakan akan dibunuh, dan beliau bermimpi berbuka puasa bersama Rasulallah s.a.w.

Sebelum kejadian berlaku, surat palsu ditulis untuk memberikan pengaruh kepada pemberontak dengan menggunakan nama Saiyidina Ali, Talhah, dan Zubair radhiyallahu 'anhu ajmaeen. Surat itu mengajak memberontak menentang Uthman r.a. Dengan adanya surat palsu tersebut, menyebabkan kebencian terhadap khalifah berkobar-kobar diseluruh wilayah islam.

Dalam keadaan beribu-ribu pemberontak hadir ke tanah haram, Saidina Ali menjadi Khalifah pada saat yang sungguh getir. Berlakulah pengulas-pengulas politik 'kedai kopi' pada zaman tersebut. Saidina Ali r.a di permainankan penceritaannya dan peribadinya kerana dilantik sebagai Khalifah. Seolah-olah menampakkan bahawa berlakunya satu konspirasi dalam peristiwa pembunuhan seorang sahabat oleh sahabat sendiri!

Generasi media maya

Media sosial digambarkan seribu keindahan. Melalui facebook, kita dapat mengerat silaturrahmi rakan yang sudah lama tidak berjumpa. Dakwah akan mudah tercapai dihujung jari. Yang banyak 'Like'nya maka ungkapanya terasa menjunjung kebenaran. Ilmu yang disampaikan semudah scrol-on-screen pada smart-phone. 

Tapi bukanlah seindah yang digambarkan. Dikala 'ilmu' menjadi mudah dihujung jari, maka buku-buku di almari dipandang sepi. Di kala dakwah mudah dicapai, berlaku campur aduk antara benar dan yang salah. Apabila 'like' tidak lagi menjadi isu setuju, bahkan menarik perhatian supaya 'dirasakan kehadirannya'. Semua ini telah menjadi tabaruj solekan indah untuk mengagguk bahawa inilah roh zaman kini. Tanpa roh jasad tiada hidup, tanpa laman sosial hidup kan menjadi gundah-gulana seharian.

Talbis Iblis.

Saya berasa risau bahawa media ini telah menjadi tuhan kepada pengetahuan. Datang sahaja satu berita, bersama poster yang menarik perhatian, maka inilah kebenaran. Bercakap sahaja selebriti televisyen memberi buah fikiran, maka inilah jalan. Isu sudah jauh dari ilmiah ketika perbahasan berkembang dalam dunia tanpa nada. Lebih parah ahli ilmu dicerca kerana pandangan yang tidak bersama. Maka wujudlah kambing hitam pemberontak dizaman sahabat versi alam maya.

Tidak kurang kebimbangan saya bahawa maruah muslimah yang mahal sudah-seakan terselak. Akhirnya medium ini menjadi tempat stalk-stalk gambar mereka. Bebalas-balas comment dan like untuk menarik perhatian bersama. Private messages dalam keadaan hanya tuhan sahaja melihat mereka. Dakwah menjadi solekan utama. Apa kata ummu mukminin 'Aisyah jika dia melihat anak-anak perempuannya?

Keluarga dibina mampu runtuh kerana penangan media sosial yang membuka pintu rumah tanpa sedar. Syaitan meniupkan cara mereka yang halus mengatur langkah untuk memecahkan keluarga. Lalu capaian laman sosial maya menjadi sebab di kebanyakkan permohonan penceraian di mahkamah syariah. perkara harus yang dikeji sudah menjadi biasa.

Juga melucukan, apabila lahir sesuatu isu, maka hanya di laman sosial akan jadi rujukan utama. Benarlah, bahawa surat palsu dan pengulas belakang tabir pada zaman fitnah para sahabat itu, juga berlaku pada zaman ini. Keadaan ni secara peribadinya saya tidak sukai, namun pandangan saya, mana mungkin dunia maya ini mampu dipisahkan dalam roh umat sekarang, melainkan dengan mengawal kejahilan ia daripada menjadi barah yang menular. 

Tuhan telah mengingatkan (secara umumnya) bahawa;

Wahai orang-orang yang beriman!  Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Resolusi mengurus info maya

Para sahabat tidak pernah bercita-cita untuk membunuh antara satu sama lain. Bahkan mereka menyanyangi atas satu ikatan bersama Rasulallah s.a.w. Peristiwa sedih ini berlaku atas pemberontak yang membawa berita-berita palsu bersama solekan-solekan untuk menampakkan seolah-olah mereka bersama perjuangan Nabi dan Para Sahabat yang mulia.

Demikian solekan berita-khabaran yang dibawa di media sosial sudah tentu perlu di teliti secara mendalam. Lebih lagi isu yang melibatkan fiqh dan permasalahan yang melibatkan agama.

Adakah sesuatu berita yang disampaikan itu sesahih dalil yang digunakan? Riwayat sudah tepat namun adakah cara pemahaman itu tepat mengikut dalil tersebut? atau hanya ijtihat nya sahaja? dan adakah berita-berita dalam media sosial maya ini benar terpelihara dari campur aduk?

bertaqwalah!

Uruskanlah dengan sebaiknya setiap isu yang dicanaikan di media sosial agar kita tidak terikut dengan bawaan perasaan hingga membunuh capaian pengetahuan yang sebenar. Selidikilah supaya ia tidak melibatkan kemudharatan dimasa akan datang. Berbicaralah setelah mendapat gambaran sebenar.

Abu Bakar di syurga. Umar di syurga. Uthman di syurga. Ali di syurga radhiyallahu ahhum ajmaeen. 
Dikala peristiwa itu berlaku, tiada media sosial. Namun modus operandinya tetap sama berlaku dalam media sosial.

Moga kita dapat bertemu mereka nanti. Generasi Para Sahabat radhiyallahu anhu ajmaeen.


Muad'z Abdul Wahab.
Mafraq. 5 syaaban.

Thursday, January 30, 2014

"Usah berbuah sebelum ranum"

"Jika Allah ambil dari kedua mataku cahaya terang, maka dalam hati dan fikiranku masih bersinar cemerlang. Jiwaku cerdas akalku lempang, dan lidahku tajam seperti sebaik pedang"  - Ibnu Abbas, Radhiyallahu 'Anhu

Kehebatan mata dan anugrah penglihatan adalah sebuah nikmat yang besar. Kehilangannya pula membawa sebuah musibah yang besar. Tidak dapat dibayangkan, langit nan biru, daun nan hijau dan sekitarnya yang mewarna-warni berubah menjadi gelap. Siang dan malam menjadi serupa. Terang tak nyata, gelap pula gempita. Kita tidak mampu membezakan wajah-wajah manusia yang berseni ciptaan tuhan.

Ibnu 'Abbas radiyallahu 'anhu kelihatan penglihatan kerana banyak menagis kerana pengharapannya kepada Allah. Sehinggakan sahabat yang sedemikian hebat ini menuturkan kata-kata tersebut.

Kehilangan penglihatan mata sebuah musibah yang besar, tetapi ada yang jauh lebih besar dan menyedihkan, apabila buta yang menyebabkan kita terhijab dari kebenaran. Buta yang menjadikan arah dan tujuan menjadi tidak menentu.

Bahkan lebih buruk lagi musibah tersebut tatkala kita buta dari kebenaran, lalu menepis pula tangan tangan yang menghulur untuk memimpin jalan yang sebenar.

Kembali bersila di tikar mabadi'

Satu pertemuan saya aturkan sendiri di kalangan sahabat sepengajian saya, sebatch kemasukan penghujung 2013. Menikmati nasi maqlubah di kedai ammu mesir terkadang seronok juga untuk mengisi perut dengan juadah yang murah dan berbaloi. Persoalan demi persoalan ditimbulkan.

"kita sudah hampir empat bulan di sini rasanya apa yang kita dapat?"

Lidah bertutur arab mungkin boleh, tetapi bagi yang bergaul dengan arab.

"kebiasaannya apa yang dibuat dikala kelas lapang?"

"masa cuti apa yang diisi selain tidur, internet dan.. dan makan..?"

"dimana kita berada dikala talaqqi berlangsung? duduk mengkaji atau berselubung?"

dan persoalan itu dimainkan lalu ditamatkan dengan,

"Seandainya kita ditahun akhir, mahukah diantara kita sama pengetahuan kita ditahun awal?"

Mereka ternganga. Berpandangan antara satu satu sama lain.

Saya lihat mereka memahami apa yang saya canang-canangkan. Masa lapang sebenarnya membunuh pemuda dan penuntut. Ia jua permulaan kepada maksiat. Bukan hanya maksiat secara berbuat dosa, bahkan maksiat meringankan amanah di bumi menuntut ilmu.

Ralit.

Ilmu alat kebiasaannya dilihat konservatif, lapuk dan kekampungan. Lalu nafsu 'hendak cepat' yang dipilih untuk terus berada dalam lingkungan pengkajian ilmu yang diminati. Ia tidak menjadi masalah, jika telah mampu menguasai ilmu yang pertama supaya 'apa yang dikejar dapat, apa yang dikendong tidak pula tercicir'. Sungguhpun begitu, untuk memahami ilmu yang ditinggalkan oleh Rasulallah s.a.w semestinya mempunyai peralatan untuk menguasainya. Untuk menguasai ilmu yang basis.

Bagi golongan yang hendak menjaga disiplin ilmu maka perlu untuk bersama-sama mengukuhkan ilmu kunci bagi membuka pintu-pintu ilmu yang lain.

Sesetengah ulama membahagikan ilmu kepada dua bahagian, pertama Ilmu mabadi' dan yang kedua Ilmu Maqasid. Antara ilmu mabadi' ialah ilmu bahasa (ilmu nahu), ilmu aqli, mantiq, usul fiqih, usul tafsir . Ia juga termasuk dalam kaedah fiqih, "sesuatu yang tidak sempurna yang wajib kecuali dengannya maka ia menjadi wajib". Hal ini bukan dipakai hanya dalam lingkungan politik, namun ia juga termasuk dalam disiplin ilmu.

Sangat tercela apabila mahu mengajarkan ilmu, lebih lagi ilmu yang berkaitan dengan agama, jika tiada peralatannya. Ilmu kedua ilmu Maqasid adalah ilmu matlamat dari ilmu pertama.

pahatan mereka terpahat di jiwa saya. hebat mereka dalam berusaha...

Izinkan saya memberi buah fikir, bagi setiap daripada kita yang mahu mempelajari di penghujung cabangan bidang fiqh mahupun maqasid agar kembali menyelesaikan hutang tapak. Agar segala yang dituturkan akan bertapak ke bumi tidak pula merewang ke langit, dekat didarat tidak pula jauh kelaut.

Visi yang panjang Misi nan berbilang

maka sungguh beserta kesulitan ada kemudahan. Sungguh beserta kesusahan ada kemudahan. Apabila kamu selesai dari sesuatu urusan, kerjakan dengan sungguh-sungguh urusan yang lain. dan kepada tuhan hendaknya kamu berharap 
(al-insyirah: 5-8) 
Orang yang mengatakan "boleh tapi susah.." cendrung kepada membesarkan penghalang dan cabaran sehingga akhirnya tidak jadi untuk bertindak. Kebiasaannya ketakutan, kekhuatiran untuk terus kehadapan terhijab dengan ketakutan. Kemampuannya untuk melangkah hanya dihalang oleh 'angin risau'.

Bagi yang sudah biasa tinggal dalam kegelapan, disuluh sedikit cahaya pun terasa menyakitkan.

Mengapa harus memilih diri?

kalau bukan engkau siapa lagi.

Saya beranikan diri untuk kembali ke tikar mabadi'. Meneliti dan memahami semula ilmu kunci yang belum dikuasai. Saya beranikan diri untuk senyap seketika. Senyap dalam berkata-kata, senyap dalam memberi ulasan tertentu. Atas diri terdorong motivasi bahawa selepas ini saya akan berbunyi yang berisi.

Teringat suatu hari saya bersama di meja Dr.Wan Yusuf pensyarah yang bersifat bapa.

"enta nak jadi apa pun enta jadilah, apa yang enta minat, apa yang enta cenderung bidang perundangan atau perbandingan selepas ini, mahupun sejarah atau pemikiran. tapi peruntukkan dua tiga tahun untuk fokus dalam tapak ilmu asas. memang tidak mampu untuk jadi faqeh, asalkan basis ada"

kemudian beliau senyum lalu menambah,

"ingat, jangan berbuah sebelum ranum. Ini nasihat saya"

Saya akur dengan nasihat itu.

Memikirkan tentang visi yang panjang dan misi yang berbilang-bilang. Moga tuhan ganjarkan atasnya ibadah dan pahala berterusan. Kita dipilih Tuhan untuk lahir ke dunia membawa suatu visi memakmurkan bumi. Kita menjadi manusia memikul beribu misi. Bukan semudah bertutur "kita adalah khalifah!!" tanpa sedar diri sedang khianah dengan amanah.

sehebat mana pun kita berasa mampu menawan sebuah bukit, akhirnya
kita perhatikan banyak lagi bukit yang lebih tinggi dari bukit yang didaki.
itulah resam menuntut ilmu.- di bukit madaba' petra, Jordan.

Bukit tidak berpokok gah memasak bumi. Padang pasir di musim dingin disinari cahaya matahari pagi. Membawa hari yang baru. Angin dingin pagi memberi nafas buat penuntut ilmu di bumi syam. Terasa rindu pula pada hawa kehangatan kampung halaman. Apa yang pasti saya pernah berbicara dengan sahabat saya di UniSZA,

kena mengembara dalam mencari apa yang kita tiada.
kerana dalam perjuangan menuntut kesetiaan dalam mencari menuntut pengembaraan.
perlu gagah menepis kebosanan dalam makanan yang tiada variasi.
satu hari nanti ia kan kekal di memori.

Baharu bersembang sakan dengan peniaga muda.

"Muadz, kediaman kau bukan nya jauh dari kedai kain aku ini, belakang itu je. marilah datang setiap hari, aku akan ajar kamu cakap tempatan di sini, dan kau boleh ajar aku bahasa inggeris aku nak peperiksaan speaking nanti." ujar mustofa seorang anak muda berusia 19 berniaga menolong ayahnya.

"boleh cuma aku mahu satu lagi tambahan, bahasa cinta..."

"lughah hubb?? kau nak guna untuk siapa hah!!"

Terus kami tertawa bersama-sama. Sambil berlaga telapak tangan. papp!





Dengan Nama Tuhan yang menciptakan. Moga dipermudah segala urusan.



0019, 30 Januari 
al Mafraq.

Saturday, January 25, 2014

buat mu cikgu

Sebelum saya berangkat ke Jordan, empat bulan yang lalu, saya sempat singgah di Kuala Terengganu. 

Menaiki kereta dari Kedah terus ke Kuala Terengganu bersama dua orang teman, Arif Afifi dan 'Affan. Segala pertemuan bersama para pensyarah minta nasihat, sudah diatur sebelum kami meneruskan perjalanan ilmu di tempat lain. Hingga lah hari terakhir kami di Kuala Terengganu, bertandang di Kubang Lembek, untuk bertemu ustaz.

Tiba di perkarangan rumah ustaz, kelihatan sekolah rendah bersebelahan kolej serba sederhana dalam kawasan pagar rumahnya.

"eh, ustaz tak sihat kan? kau rase dia boleh terima tetamu ke time ni?" tanya 'Affan.

"entah, aku pun tak pasti lah fan, kita call ustaz Hamdi dulu. Kalau dapat rezeki, kalau tak dapat maknanya lain kali..."

"Kira last kita jumpa yang dua bulan lepas la kan, yang haritu ramai-ramai tu...?"

Saya mengangguk kata-kata tersebut sambil duduk menunggu di ruang kantin bawah rumah ustaz. Gusar perasaan kemungkinan besar tiada rezeki bertemu kali ini.

Pertemuan Terakhir

Pada suatu Hari itu,
"kita semua ini hendakkan berjuang. perjuangan perlu kepada ilmu. jika tiada ilmu perjuangan menjadi lesu.. .apabila ada ilmu kita akan faham apa yang kita perjuangkan, dan apabila kita faham, kita akan yakin dengan apa yang kita bawa..." kata Ustaz Harun.
Pertemuan diatur pada petang itu. Mungkin pertemuan pertama bagi rakan yang lain, namun pertemuan yang ke sekian kalinya bagi saya. Ustaz yang uzur bertongkat memaksa diri untuk memberi nasihat dan berkongsi pengalaman sambil berdiri.
" jangan gopoh, anak mude kuat sangat gopohnya, dalam perjuangan ini bukan mudah untuk kita kecapi kemenangan. kalau bukan zaman ana zaman entum...dan selepasnya..."
Ustaz seorang yang sungguh teguh dan tegas dengan prinsipnya. Pelbagai nasihat yang diberi, pada saat itu juga saya membayangkan bila lagi mampu bersua sekali lagi. Entahkan dapat entahkan tidak...
"Harakah Islamiyyah ini ibarat sebuah bangunan hospital yg besar, dan peranannya ibarat doktor yg memberikan ubat pada para pesakit. Kita menerima mereka tanpa memilih-milih. Biasalah, kadang-kadang pasti ada pesakit yg degil tidak mendengar nasihat..."
Tangannya saya papah untuk duduk. Selesai majlis, ustaz bacakan doa yang panjang buat kami. Sungguh saya yang berada bersebelahan, melihat air matanya berlinangan, hingga jatuh menitis di tongkatnya. Sambil beliau memerhati kesemua hadirin...

"Istiqamahlah...ana bangga dengan semua..."

"ustaz bersama tongkatnya"
sepanjang beberapa pertemuan saya denga ustaz, saya tidak pernah menangkap gambar.
entah mengapa, biarlah memori yang masih tuhan beri merakamkan segalanya.
ini gambar yang saya ambil sendiri dari kamera handphone saya di muktamar PAS pusat 2011, Gombak. 

Saya memilih untuk menjadi orang yang terakhir bersalaman dengan ustaz. Tangan saya ditarik rapat lalu saya merapatkan telinga pada ustaz. beliau berpesan sesuatu...

Kelopak mata saya pula yang terasa basah-suam-suam kuku selepas itu.

Perginya seorang pejuang

Sementara menunggu di ruang kantin bawah, kelihatan Ustaz Hilmi Harun (kini YB dun. Manir) turun memanggil lalu bersalaman dengan saya.

"maaf syeikh, ayahanda ana memang tak larat sangat untuk bertemu, dia sampaikan salam kepada semua. Nah, ini ada buah tangan sedikit dari ustaz harun."

"eh takpa ustaz, kirim salam ana dan kawan-kawan kepada Ustaz Harun, terima kasih buah tangan ini".

Hari ini 24 Januari jam 8 malam waktu Jordan, saya di khabarkan tentang kembalinya ustaz ke pangkuan Tuhan. Malam ini saya tidak mampu lena. Bagi saya, ini adalah sebuah kehilangan besar. Beliau sebagai tokoh silent struggle yang jasanya banyak dibelakang tabir khususnya dalam menggerakkan pendidikan dan pentarbiyyahan, serta Majlis Syura' (majlis mesyuarat tertinggi) Parti Islam Se-Malaysia (PAS). 

Beliau merupakan Ketua Dewan Ulama (PAS) Pusat, salah satu biro dalam Parti Islam tersebut. Juga ahli majlis syura (majlis mesyuarat).

Namun bagi saya, beliau lebih dari itu. Peranannya lebih daripada lingkungan gerakan politik. Beliau merupakan seorang guru, yang lembut dalam menasihati. Tegas dalam memberi tahu bahawa prinsip dan asas perjuangan bukan boleh digadai sewenang.

Beliau seorang guru yang menyuruh anak muridnya menekuni ilmu. Beliau seorang cikgu yang berkata 'jangan gopoh, perjalananmu masih panjang'. Beliau seorang bapa yang memahami naluri seorang anak muda. Beliau seorang tempat rujuk kepada salah sebuah bahtera perjuangan Islam di Malaysia.

Kebiasaannya kalamnya akan kupasan ayat ini, kepada anak muridnya;


Dan tidaklah  orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). attaubah:122

Buat seorang cikgu, yang banyak memberi nasihat dan tunjuk ajarnya. Buat seorang cikgu, yang sangat teguh nilai prinsipnya. Buat seroang cikgu yg bertongkat di kaki, mendoakan kami, sambil meleleh air matanya. Buat seorang cikgu yang berkata perjuangan ini akan berterusan hingga ke akhirnya.

Buat seorang cikgu, rupanya hari itu, hari terakhir kita bersua.



Aku titipkan doa, moga rohmu dicucuri rahmat dan tergolong dalam golongan orang yang beriman, beramal soleh serta bersama para pejuang yang berjuang di jalan-Nya.

Selamat berehat ustaz. Berehatlah. Moga kita direzekikan bertemu di sana.





اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه


0117 @ 25 Januari 2014
Mafraq, Jordan.

Wednesday, November 20, 2013

yang terpuji. yang teruji.


tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, 
penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang dan derita 
sehingga jika sebatang duri menikamnya kecuali ALLAH
 memadamkannya dengan itu semua dosanya.
-riwayat al bukhari.


Masa terus berputar meninggalkan manusia yang ralit dalam dunianya. Bulan terus beredar dengan setiap rupa parasnya. Musim terus berubah suhunya. 

Ruang Fikir: Buka mata sebelum mata

Tanah kering Mafraq ketika saya tiba di sini panas berbahang. Lokasinya di tengah sahara sering kali dianggap 'underdog' walaupun dikalangan arab sendiri. Namun saya masih mampu senyum sendiri betapa nikmatnya dan hikmahnya Tuhan yang maha tahu meletakkan saya di sini. Saya seorang berjiwa kembara. Pantang diam seminggu, kaki sudah terasa 'gatal-gatal' untuk keluar merenung alam. melihat ragam. Seminggu sekali ke Amman, Irbid kadang kala bersendiri hingga ke Salt terus ke Muktah.

Lokasi Mafraq terletak diantara dua bandar besar, Amman dan Irbid. 40 minit ke Irbid sejam pula ke Amman. Stratergik bagi saya. Untuk 'berderak' ke mana-mana berbanding jika menetap kekal di bandar mahupun di hujung dunia Jordan, Muktah. Sesekali terfikir sebenarnya apa yang Allah rancang untuk kita kadang kala lebih baik dari perancangan kita sendiri.


pemandangan perjalanan irbid-amman


Kini panas berbahang kian surut dengan kehadiran musim sejuk mendingin.

Begitu juga pandangan yang terzahir kepada saya baru-baru ini. Hubungan jenama 'assalafy' dengan 'alkhalafy' masih dalam kepanasan hujah cacian di laman sosial, masih dingin dalam perhubungan persaudaraan muslimnya. 

Kadangkala jauh di benak saya adakah hal ini akan terus menjadi persoalan tanpa noktah, apakah isu ini akan terus bergenerasi sehingga kiamat membatasi.

Jasad kita memerlukan keseimbangan rohani dan akal. Manusia tidak mampu menipu atas nilai emosional dalam beragama. Selain majlis bersalawat, berdzikir mengingati perjuangan nabi sahabat dan para salafussoleh, nilai rasional juga perlu atas penyeimbangan tugas kehidupan diatas muka bumi ini. 

Nabi tidak diutus untuk meratib ke gua. Nabi juga tidak dutus untuk umatnya hanya boleh pilih satu antara dua, jalan menuju tuhannya.

Begitu diatas hujah-hujah panas, copy dan paste hadith dan ayat alquran, di laman sosial saya kira tidak sesuai untuk dijadikan pentas hujah para ilmuan. Bagaimana jika orang awam berpemikiran awam membaca cemuh-cemuh orang berilmu? Apalah salah untuk berhujah di atas meja bersama rujukkannya, bertentang mata, meluah rasa, berkongsi persamaan. Melerai perbezaan.

Buka mata sebelum mata.

" dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak punyai pengetahuan terhadapnya
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan fu-aad, kesemua itu
akan diminta pertanggungjawabannya" (al-Isra' : 36)


Kalimah al-fuaad, telah banyak diperbahas dikalangan ulama. Perbincangan dikalangan ilmuan dimanakah letaknya akal. Adakah di otak ataupun di hati:jantung sudah cukup rumit untuk diperbahas. Cukup untuk kita kata secara 'atas permukaan' airnya, berfikir dan mempertimbangkan secara mendalam. atas rasional akal, atas kejernihan hati.

Betapa spesifiknya Tuhan melarang kita mengikuti suatu hal tanpa proses pengetahuan dan penelitian, atas semua pancaindera. Mata melihat, telinga mendengar, dan fu-ad (mata hati) untuk menilai segala proses pemilihan dalam hidup. Dan ia akan dipertangungjawab!

Apa yang akan terjadi jika hanya mata melihat, sementara fu-ad (mata hati), dan pendengaran tidak berfungsi? Tentu sahaja hanya yang cantik di pandangan mata yang akan dipilih.

Apa pula jika hanya mendengar? Hanya yang sedap didengar mungkin akan dituruti. Begitu juga dengan mata hati (fu-aad) tanpa rasionalnya penglihatan dan pendengaran jua boleh membawa binasa.

Ternyata begitu sekali Allah memberi option untuk kita memilih berdasarkan penilaian yang terbaik atas pancaindera yang dikurniakan. Umat yang berpegang pada kitab Tuhan tidak harus untuk mengikut ekor buta-buta. Mahasiswa baru kebiasaannya akan terperangakap atas hal ini. Memilih 'jalan' mana yang dirasakan terbaik untuk akhirat-dunianya.

Drama dan movie: sisi bengkok dan lurus.

Prof.Dr Yaasin menerangkan tentang psikologi gender: lelaki perempuan
(men are from mars woman are from venus) dalam subjek undang-undang keluarga dan perkahwinan Jordan.

"ini ialah norma kehidupan. Bagaimana wanita selama-lamanya tidak akan sama dengan lelaki, dari sudut daya pemikiran, dan perwatakkan. Penting untuk kalian bersyukur atas apa yang Allah beri. Bacalah buku John Grey, 'men are from mars, woman are from venus'. Kamu mahu melengkapkan agama dalam perkahwinan, perlu jua kamu melengkapkan dalam fikiran bagaimana mahu menghadapi hidup bersama...orang yang bukan...sama spesis dengan anda..." ulas Prof.Dr. Yaseen dalam kuliah 'Qanun Keluarga'. 

Saya bersama sekelas bergelak-tawa.

Dalam perilaku terpuji akan ada yang menguji. Hidup mahupun perhubungan, bukan semudah dan seindah drama televisyen. Pengarah movie dan drama, menyusun plot cerita berdasarkan kepuasan penonton, genre dan trend penonton dalam sesebuah negara. Sedangkan kehidupan adalah penyusunan tuhan.

Drama kurang mendidik telah membawa 'bah' besar. Mr. Arrogant, Suami aku seorang Playboy menjadi keghairahan manusia mencari plot kehidupan bahagia mereka. Silap langkah berlakulah kekacauan keluarga dan rumahtangga, hanya kerana suamiku tidak seromantik suami dalam drama, isteriku tak semanja dalam movie. Benar-benar teruji. Bala manusia mencari kebahagiaan tanpa pancaindera.

Moga bahana skrin ini bagaikan bicara atau sapaan Allah agar kita ingat apa yang kita lupa, ubah apa yang salah, tambahkan pahala dan padamkan dosa. Artis yang telah 'berhijrah' itu perlu terus bersama dalam pembikinan karya yang jujur mendidik luhur manusia supaya mencari kunci bahagia mereka. Kita tidak perlu membuang apa yang menjadi hiburan. Tapi kita masih berpeluang membina, melalui hiburan.

Yang terpuji, yang teruji

Tanah Mafraq yang sedang saya injak ini punyai banyak cerita yang terpuji. Kenangan kembali ke zaman sekolah rendah, menaiki bas ke kuliah. Punyai kenalan yang berbudi terutamanya dari Palestin dan Turki, Suasana ilmu, perbincangan turath agak subur, dan pensyarah yang supportive kepada ajnabi. Namun tidak sunyi juga dari ujian.

Begitu juga keadaannya baginda Rasullallah dalam menjadi orang yang terpuji, baginda 'alayhi solatu wassalam tidak sunyi diuji.

Dalam Kayuhan perjalanan kehidupan ini sebenarnya telah membawa kita ke sebuah daerah untuk kita berfikir dan meneliti, sejauh mana kekuatan kita untuk berada di setiap tempat yang Tuhan utuskan. 

Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Melihat manusia yang terpuji menjadikan kita berasa mahu terus maju dengan ilmu dan kehidupan.

Melihat saudaraku pelarian syria yang kesempitan dan derita dizalimi, di tepian jalan meminta-minta bekalan makanan, menyebabkan terlintas segera dalam perasaan "disisi Allah mungkin dia lebih baik dari diriku ini".

Terperanjant dengan wayar pam air, yang membekalkan air di rumah digunting tetangga arab. Hanya kerana ketidak-puasan hati bekalan airnya lewat dipam. Dalam kemarahan saya yang meluap, terlintas di fikiran "mungkin ini kafarah Allah beri atas perbuatan jahatku dahulu. Tuhan ampunkan aku."

Kita semua akan melalui bicara dan didikan Tuhan melalui pentas ini. Kita mengharapkan ujian akan membawa kepada sesuatu yang baik, seperti membawa Musa alayhissalam kepada pelbagai kurniaan. Seperti doa Musa 'alaihissaalam...


"wahai tuhanku sesungguhnya aku ini fakir kepada apa sahaja yang engkau turunkan". 



20 november. 1512.
Mafraq.

*tajuk diinspirasi dari blog penulis Indonesia, Sallim a. fillah.

Sunday, September 22, 2013

“wahai penuntut ilmu. Bercahayalah seperti bulan.”

“Wahai penuntut ilmu…jadilah kalian...”

Doktor, Pres. Kulliah Syariah Al-albayt University sedang menyampaikan ucapan.

Majlis penutup minggu taaruf siswa. Saya di orientasikan buat kali ke-3 di ipt selepas matrikulasi dan UniSZA. Meskipun umur masih mahasiswa, terasa seperti mahasitua. Kebanyakan pelajar baru di sini baru selesai spm, sudah merantau ke negara orang. Saya yang seusia dengan pelajar tahun tiga bagai rusa masuk kampung tercengang-cengang. Itulah hakikat kehidupan, setelah berada di persimpangan, kembali mula di garisan awal.

8 dzulqa’edah 1434 hijri, persiapan ala kadar bersama expectation yang biasa. Saya sudah serik memasang expectation yang tinggi dalam bidang ini, kerana ‘expect the unexpected’ telah menjadi inzar penting  sejak di UniSZA lagi. Tambah pula rasa tawarnya apabila perjalanan ini tanpa sahabat yang direncanai bersama.  Semangat masih memberi nafas. mungkin babak baru ini, babak paling berharga dalam hidup.  Jam 0315 saya terbang ke Kuwait. Lalu terus ke Amman bagi menyambung nafar ilmu yang tak pernah sudah.

Pagi itu membelek kembali sebuah buku yang dibeli sewaktu darjah 6 (2004). Siap tertera tarikhnya. Ogos 2004. Berhabuk. Buku prof sidek baba, berjudul "Seteguh Tekad". Kembali membelek beberapa kali. Melihat semula sebuah lukiskan seorang budak darjah enam di muka surat paling belakang. tergambar wajah seorang yang sedang memakai kot, bersongkok dan berlatar belakang sebuah kereta. Tertulis nama di bawah lukisan itu “Dr.Muadz phd syariah dan usuluddin di universiti Jorden”. Masa itu, entah tau entah tidak usuluddin tu apa, entah tau entah tidak tempat itu di mana. Lucu.

ber-bola depan kuliah.

Satu hari pada zaman anak-anak pernah bersoreh bersama emak.

“nanti kamu masuk ke sekolah asrama penuh ye, nanti boleh kenai ramai kawan-kawan negeri-negeri lain, kan seronok”
“lepah asrama, mak nak suruh belajo kat  mana pulak mak?”
“lepas tu belajo le ke luor negara pula. Boleh kenai orang luar negara pulak. nanti kamu belajar di….”

Makbul kata-kata ibu saya berada di sini. Doa sebuah lukisan juga boleh jadi saya ke sini. Doa rakan sahabat juga boleh jadi saya memijak bumi ini. Hanya Allah mengetahui rencananya yang tersembunyi.

Meminjak tanah syam  pernah dilalui nabi. Berjiran dengan Palestin, Syira, Haramain, bumi kinanah Mesir. Bahu saya di siku orang sebelah. 

“ustaz..oo ustaz.. tersenyum termenungkan siapa tu? haishh teringatkan siapa tu? Haaa”.
Saya membalas dengan senyuman.

Duktur masih berucap. Penting isinya.

Malizi: Bulan yang segan.

Duktur seolah memandang tepat beberapa kali ke wajah saya yang mengangguk-angguk.

“jadilah kalian yang menuntut ilmu ini seperti bulan. Menerangi kegelapan malam yang kelam. Bulan yang menyejukkan pandangan mata masyarakat. Bulan yang cantik dipandangan seperti  yang termaktub dalam syair-syair yang memuji keindahan bulan. Bukan jadi matahari yang menyilau dan menyakitkan mata memandang. Bukan jadi matahari yang meski cahaya namun bersama bahang panasnya kepada masyarakat. Kerana kamu akan menjadi penyampai ilmu ini apabila kamu tamat pengajian nanti. Jangan menyusah-nyusahkan, mudahkan. Berikan khabar gembira bukan khabar duka.”

Begitulah yang diharapkan. Bulan yang memberi kelembutan dalam menyampaikan dan mengislah. Bulan bukan sekadar menerangi, juga cantik di mata. Sudah tiba masanya pelajar pengajian islam kini perlu menjadi pandangan orang cantik dari segala segi. Bukan hanya bisa menyampaikan kuliah, boleh juga menganalisis ekonomi, bertutur dalam bahasa inggeris, cekap handle teknologi maklumat.

Ucapannya disambung dengan teguran,

“kebiasaan pelajar Malaysia, adalah pendengar yang sangat baik… Namun kebaikannya yang tiada respon. Kamu sangat pemalu. Sangat pemalu dalam bertanya sangat pemalu dalam memberi respon. Ini seperti mesin. Ini bukan yang kita mahukan. Saya berharap intake ini tidak begitu. Supaya lebih hidup suasana ilmu yang diidami”

Sesekali dalam menilai perilaku hodoh arab. Perlu juga menilai sisi bodoh sombong kita.


“sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa-apa yang ada pada jiwa mereka…” (arra’d :11)

Saya termakan dengan kata-katanya. Ucapannya ditutup dengan meyakinkan bahawa syurga menanti bagi penuntut ilmu. Istighfar dari segenap makhluk langit bumi juga buat penuntut ilmu ilahi.

Kembara ilmu di bumi syam

Tetamu di dataran syam, jalan cinta sang pejuang. Memahami wahyu, agar perjalanan hidup ini atas dasar cinta. Cinta bekalan untuk memenuhi tugas sebagai hamba Allah. Cinta untuk beribadah dan mengelolai karunianya yang maha banyak. Cinta untuk menyatukan, bukan menyempitkan. Cinta untuk memberi, bukan memaki. Cinta untuk ummah bukan centric.

Kata imam assayfie, 
tinggalkan negeri itu dan merantaulah ke negeri orang,
Merantaulah kau akan dapati pengganti kerabat dan kawan. Berlelahlah, kerana manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang.

Tetamu di Dataran Syam ini,
Harus gagah seperti Abu Ubaidah,
Tanah yang gersang disuburkan
Dengan darah jihad dan jiwa pahlawan

Di celah pohon yang zaitun yang rendang,
Bersemadi syuhada’ pahlawan Islam,
Menanti dan terus menanti,
Hadirnya barisan waris perjuangan.

Lagu / Lirik / Nyanyian : Hasrizal Abdul Jamil


Saya tahu. Saya bukan sehebat generasi penuntut dahulu yang berada di sini. Izinkan saya menumpang teduh, mencari damai, dengan kesibukan ilmu.

Bismillah
Allahumma solli 'ala sayyidina muhammad.




21 september
albayt. Mafraq.

“wal fadang fasiru”

Tuesday, September 10, 2013

perjalanan hidup ini. kadangkala kita lupa.

Dalam kita menjalani satu demi satu bab dalam kehidupan seharian. Jarang kita fikir untuk kembali semula kepada nilai apa yang mahu kita bawa. Adakah ia hanya ghairah atau kita dapat melaluinya dengan fitrah.

Nabi pernah mengingatkan, prihal kehidupan ini,

"Saya di dunia ini bagaikan penunggang kenderaan yang berehat di sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya." (attarmizi)


kita sering lupa tentang hakikat itu. Kita sedang bermusafir menuju ke satu destinasi. Perjalanan dunia ini terlalu pantas. Anak kecil telah menginjak dewasa. Dewasa sudah berubah tua. Si tua sudah berbatu nisan.

Kata Abdullah bin Umar,

Rasulallah memegang bahuku lalu berkata,  
"Jadilah kamu di dunia ini bagaikan orang asing, ataupun seorang musafir"

Kita sering dilalaikan atau terlalai, dengan hal mengejar ijazah, politik, kuasa, harta, keluarga, persatuan, masayarakat, parti hingga terkadang kita lupa apa tujuan keberadaan kita dalam semua itu.

sebagai bekalan perjalanan atau sebagai beban dalam perjalanan?

Syurga kompas kita. Bagaimana kita menggunakan kompas hidup ini, agar tidak terlajak jauh. Bagaimana jiwa dan perasaan kita perlu dikawal, sehingga kita dapat melihat kekerdilan dunia dan keraksasaan akhirat. Justeru hati akan reda dengan segala ombak duka ataupun keserabutan jiwa.

Apa yang mahu dikejarkan? Untuk apa kita terlibat dalam semua ini?

think.


Moga setiap perjalanan kita atas suci fitrah manusia. Moga kita tahu apa yang kita tuju dalam kembara kehidupan ini.

Kembara Ilmu.


uniSZA. pernah mengaji sini dulu. 3 tahun.

Kembara ilmu selaut cahaya.
Milik tuhan tiada bertepi.
Diselam tak jejak ke dasar.
Ditimba tak luak setitis.

Pesan murobbi, guru, sahabat dan teman,
Menjadi bekalan dalam kembara ilmu berpanjangan.
Suka duka resah gelisah,
akan ku ubatinya dengan kalam mereka,
"sirru 'ala barokatillah"


Tuesday, August 6, 2013

"Eli, moga ketemu lagi."

Kesedihan meresap ke setiap nafas. terus mengalir dalam darah hingga rasa pedih sebak di dada. Saya tergamam menerima panggilan selepas sahur pagi jumaat, dari rakan menyatakan Eli Izran koma dan berada dalam keadaan kritikal. Saya yang kebetulan mahu ke Kuala Lumpur untuk majlis bersama rakan sesekolah, bersiap menyusun plan untuk menziarahinya di wad ICU Hospital Putrajaya. Sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur, terbayang gurauan dan karutan, usikkan, kesungguhan berceritanya dan bebelannya.


eli yang sedang berceloteh pada saya. Gambar diambil dari hp saya dalam biliknya.
(Ely Izran 1992-2013)

Kami tidak berkesempatan sekelas, dia dalam bidang Dakwah, dan saya bidang Syariah di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA. Namun pernah menetap searas di blok C kolej kediaman sewaktu tahun dua, memberikan keterikatan seperti keluarga. Berkongsi cerita suka dan duka. 


Demikianlah, bahawa setiap kehidupan ada pengakhiran. Setiap dari kita akan melalui babak yang sama. Kalau hari ini kita terkejut dengan kematian orang yang kita kasihi. Esok lusa orang lain pula akan terkejut dengan kematian kita. Setiap dari kita menunggu giliran, dan alam, waktu, masa terus berjalan bersama usia kita yang menjadi rahsia.


Ely Izran yang saya kenali


Saya mula mengenali Eli seroang yang peramah ketika mendaftar sebagai seorang pelajar baru di UniSZA, Terengganu. Sewaktu di tahun satu dan tahun dua, biliknya lah menjadi 'port' kegemaran saya bersama roomate nya Wafi. Rumah kami searas. Saya seronok untuk 'melepak' mendengar bebelan nya. Kadang-kadang menghiburkan. Makan tengahhari bersama projek masak banyak berlaku di biliknya.


Sahabat bekas pelajar maahad mahmud Alor Star ini, bercita-cita tinggi. Aktif dalam berpersatuan, berdebat. Mudah didekati dan segar buah fikirannya. Rakan baiknya selalu bersama, Wafi, Saiful, rakan 'se-suksis' dan rakan sekelasnya terhibur apabila bersamanya. Benarlah kehilangannya dirasai oleh sahabat-sahabat seperjuangan dalam menuntut ilmu.


Saya masih ingat sewaktu masak dengannya, meng'kerabat'kan kerepek-kerepek nya yang ada. Makan bersama masakkan bujang yang rasanya entah apa-apa. Lalu ketawa bersama merasa masakan yang rare rasanya. Terbayang ajakan makan darinya.


Dia suka mengusik saya dengan panggilan "ustaz-ustazah.."

"weii 'ustazah'... jom lah mai sini makan sekali.."


Buat kali terakhirnya

Saya tiba di Kuala Lumpur menerima sms bertalu talu dari sahabat rakan tentang perkembangan kesihatannya. Kritikal. Saya menghubungi sahabat-sahabat untauk menyusun aturan ke sana esok. Alhamdulillah saya dapat menziarahi Ely. Namun, dalam keadaan dia tidak sedarkan diri. Koma, menghidapi jangkitan kuman.



bilik Eli terakhir di dunia sebelum ke bilik 'sana'
Saya tiba di wad ICU, lalu saya mengusap dahinya beberapa kali, memegang bahunya,dan dadanya sambil membaca beberapa potongan ayat syifa' yang saya ingati. Memberi semangat agar dia kuat untuk menghadapi ujian ini. Wajahnya tetap tenang tanpa kerut kesah di dahi, menghadapi penyakit yang perit. Saya perhatikan dia bersama mesin-mesin perubatan yang galak berfungsi, sambil mendengar alunan ayat quran bacaan syekh mishary yang dimainkan. Lalu saya berpesan dengan suara yang jelas,

"Eli, abang suksis, ko kedet polis, mesti tough, bangun syekh, lawan... penyakit ni kau boleh lawan. InsyaAllah boleh baik, kita leh keluar mcm biasa"


"aku mintak maaf tak sempat roger kau bila turun KL, tak sempat kita nak ke Alamanda, masa call hari tu"



Pesanan akhir, beliau ingin
bertemu saya sebelum bertemu ilahi..

Saya berdoa dan bersedih atas kehilangan rakan, sahabat, teman antara manusia daripada sebilangan manusia yang pernah mewarnai kehidupan saya sewaktu zaman universiti. Mahu bersama seperti dahulu mungkin susah, Moga pertemuan abadi di syurga Allah.


Sebelum ini saya mendapat sms fwd menyatakan dia sempat berpesan, mohon maaf kepada sahabat, guru dan rakan yang dikenali, minta halal makan dan minum, dan minta jika dia ada hutang minta supaya tuntut pada bapanya. Dia berpesan sebelum koma dan pergi menghadap Ilahi.


Tiada apa yang Eli hutang pada saya, melainkan perasaan segan dan kagum saya pada almarhum. Beliau yang saya kenali diwafatkan Ilahi pada Isnin, 27 Ramadhan pada waktu dhuha (8.09 pagi) diwaktu cahaya cerah putih pagi di akhir bulan mulia. InsyaAllah pengakhirannya hidupnya baik. Dia yang bujang akan dikahwinkan Allah di sana dan mendapat syafaat baginda Rasulallah s.a.w.

Sepeninggalan rakan baik, sebaya, sekuliah fakulti, mengingatkan kepada saya tantang kematian yang menghampiri. Dunia ini hanya tempat teduhan musafir. Berteduh sebentar mencicip bekalan, lalu meneruskan perjalanan yang panjang, kehidupan selamanya di alam sana. Kita bersahabat, berkenalan di muka bumi ini, moga Allah perkenankan semangat berkawan itu di sana.

Kita berpisah, tapi tidak selamanya. Akan ada harinya kita kita akan berjumpa dengan izin Allah. Moga kita direzekikan untuk bertemu di tempat yang baik, dan yang terbaik di negeri sana.
 


-moga ketemu lagi eli. disana.-


-Alfatihah-
Allahumma 'ghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu







 

Fajar 28 Ramadhan.
Lake View, Taiping