Wednesday, November 20, 2013

yang terpuji. yang teruji.


tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, 
penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang dan derita 
sehingga jika sebatang duri menikamnya kecuali ALLAH
 memadamkannya dengan itu semua dosanya.
-riwayat al bukhari.


Masa terus berputar meninggalkan manusia yang ralit dalam dunianya. Bulan terus beredar dengan setiap rupa parasnya. Musim terus berubah suhunya. 

Ruang Fikir: Buka mata sebelum mata

Tanah kering Mafraq ketika saya tiba di sini panas berbahang. Lokasinya di tengah sahara sering kali dianggap 'underdog' walaupun dikalangan arab sendiri. Namun saya masih mampu senyum sendiri betapa nikmatnya dan hikmahnya Tuhan yang maha tahu meletakkan saya di sini. Saya seorang berjiwa kembara. Pantang diam seminggu, kaki sudah terasa 'gatal-gatal' untuk keluar merenung alam. melihat ragam. Seminggu sekali ke Amman, Irbid kadang kala bersendiri hingga ke Salt terus ke Muktah.

Lokasi Mafraq terletak diantara dua bandar besar, Amman dan Irbid. 40 minit ke Irbid sejam pula ke Amman. Stratergik bagi saya. Untuk 'berderak' ke mana-mana berbanding jika menetap kekal di bandar mahupun di hujung dunia Jordan, Muktah. Sesekali terfikir sebenarnya apa yang Allah rancang untuk kita kadang kala lebih baik dari perancangan kita sendiri.


pemandangan perjalanan irbid-amman


Kini panas berbahang kian surut dengan kehadiran musim sejuk mendingin.

Begitu juga pandangan yang terzahir kepada saya baru-baru ini. Hubungan jenama 'assalafy' dengan 'alkhalafy' masih dalam kepanasan hujah cacian di laman sosial, masih dingin dalam perhubungan persaudaraan muslimnya. 

Kadangkala jauh di benak saya adakah hal ini akan terus menjadi persoalan tanpa noktah, apakah isu ini akan terus bergenerasi sehingga kiamat membatasi.

Jasad kita memerlukan keseimbangan rohani dan akal. Manusia tidak mampu menipu atas nilai emosional dalam beragama. Selain majlis bersalawat, berdzikir mengingati perjuangan nabi sahabat dan para salafussoleh, nilai rasional juga perlu atas penyeimbangan tugas kehidupan diatas muka bumi ini. 

Nabi tidak diutus untuk meratib ke gua. Nabi juga tidak dutus untuk umatnya hanya boleh pilih satu antara dua, jalan menuju tuhannya.

Begitu diatas hujah-hujah panas, copy dan paste hadith dan ayat alquran, di laman sosial saya kira tidak sesuai untuk dijadikan pentas hujah para ilmuan. Bagaimana jika orang awam berpemikiran awam membaca cemuh-cemuh orang berilmu? Apalah salah untuk berhujah di atas meja bersama rujukkannya, bertentang mata, meluah rasa, berkongsi persamaan. Melerai perbezaan.

Buka mata sebelum mata.

" dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak punyai pengetahuan terhadapnya
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan fu-aad, kesemua itu
akan diminta pertanggungjawabannya" (al-Isra' : 36)


Kalimah al-fuaad, telah banyak diperbahas dikalangan ulama. Perbincangan dikalangan ilmuan dimanakah letaknya akal. Adakah di otak ataupun di hati:jantung sudah cukup rumit untuk diperbahas. Cukup untuk kita kata secara 'atas permukaan' airnya, berfikir dan mempertimbangkan secara mendalam. atas rasional akal, atas kejernihan hati.

Betapa spesifiknya Tuhan melarang kita mengikuti suatu hal tanpa proses pengetahuan dan penelitian, atas semua pancaindera. Mata melihat, telinga mendengar, dan fu-ad (mata hati) untuk menilai segala proses pemilihan dalam hidup. Dan ia akan dipertangungjawab!

Apa yang akan terjadi jika hanya mata melihat, sementara fu-ad (mata hati), dan pendengaran tidak berfungsi? Tentu sahaja hanya yang cantik di pandangan mata yang akan dipilih.

Apa pula jika hanya mendengar? Hanya yang sedap didengar mungkin akan dituruti. Begitu juga dengan mata hati (fu-aad) tanpa rasionalnya penglihatan dan pendengaran jua boleh membawa binasa.

Ternyata begitu sekali Allah memberi option untuk kita memilih berdasarkan penilaian yang terbaik atas pancaindera yang dikurniakan. Umat yang berpegang pada kitab Tuhan tidak harus untuk mengikut ekor buta-buta. Mahasiswa baru kebiasaannya akan terperangakap atas hal ini. Memilih 'jalan' mana yang dirasakan terbaik untuk akhirat-dunianya.

Drama dan movie: sisi bengkok dan lurus.

Prof.Dr Yaasin menerangkan tentang psikologi gender: lelaki perempuan
(men are from mars woman are from venus) dalam subjek undang-undang keluarga dan perkahwinan Jordan.

"ini ialah norma kehidupan. Bagaimana wanita selama-lamanya tidak akan sama dengan lelaki, dari sudut daya pemikiran, dan perwatakkan. Penting untuk kalian bersyukur atas apa yang Allah beri. Bacalah buku John Grey, 'men are from mars, woman are from venus'. Kamu mahu melengkapkan agama dalam perkahwinan, perlu jua kamu melengkapkan dalam fikiran bagaimana mahu menghadapi hidup bersama...orang yang bukan...sama spesis dengan anda..." ulas Prof.Dr. Yaseen dalam kuliah 'Qanun Keluarga'. 

Saya bersama sekelas bergelak-tawa.

Dalam perilaku terpuji akan ada yang menguji. Hidup mahupun perhubungan, bukan semudah dan seindah drama televisyen. Pengarah movie dan drama, menyusun plot cerita berdasarkan kepuasan penonton, genre dan trend penonton dalam sesebuah negara. Sedangkan kehidupan adalah penyusunan tuhan.

Drama kurang mendidik telah membawa 'bah' besar. Mr. Arrogant, Suami aku seorang Playboy menjadi keghairahan manusia mencari plot kehidupan bahagia mereka. Silap langkah berlakulah kekacauan keluarga dan rumahtangga, hanya kerana suamiku tidak seromantik suami dalam drama, isteriku tak semanja dalam movie. Benar-benar teruji. Bala manusia mencari kebahagiaan tanpa pancaindera.

Moga bahana skrin ini bagaikan bicara atau sapaan Allah agar kita ingat apa yang kita lupa, ubah apa yang salah, tambahkan pahala dan padamkan dosa. Artis yang telah 'berhijrah' itu perlu terus bersama dalam pembikinan karya yang jujur mendidik luhur manusia supaya mencari kunci bahagia mereka. Kita tidak perlu membuang apa yang menjadi hiburan. Tapi kita masih berpeluang membina, melalui hiburan.

Yang terpuji, yang teruji

Tanah Mafraq yang sedang saya injak ini punyai banyak cerita yang terpuji. Kenangan kembali ke zaman sekolah rendah, menaiki bas ke kuliah. Punyai kenalan yang berbudi terutamanya dari Palestin dan Turki, Suasana ilmu, perbincangan turath agak subur, dan pensyarah yang supportive kepada ajnabi. Namun tidak sunyi juga dari ujian.

Begitu juga keadaannya baginda Rasullallah dalam menjadi orang yang terpuji, baginda 'alayhi solatu wassalam tidak sunyi diuji.

Dalam Kayuhan perjalanan kehidupan ini sebenarnya telah membawa kita ke sebuah daerah untuk kita berfikir dan meneliti, sejauh mana kekuatan kita untuk berada di setiap tempat yang Tuhan utuskan. 

Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Melihat manusia yang terpuji menjadikan kita berasa mahu terus maju dengan ilmu dan kehidupan.

Melihat saudaraku pelarian syria yang kesempitan dan derita dizalimi, di tepian jalan meminta-minta bekalan makanan, menyebabkan terlintas segera dalam perasaan "disisi Allah mungkin dia lebih baik dari diriku ini".

Terperanjant dengan wayar pam air, yang membekalkan air di rumah digunting tetangga arab. Hanya kerana ketidak-puasan hati bekalan airnya lewat dipam. Dalam kemarahan saya yang meluap, terlintas di fikiran "mungkin ini kafarah Allah beri atas perbuatan jahatku dahulu. Tuhan ampunkan aku."

Kita semua akan melalui bicara dan didikan Tuhan melalui pentas ini. Kita mengharapkan ujian akan membawa kepada sesuatu yang baik, seperti membawa Musa alayhissalam kepada pelbagai kurniaan. Seperti doa Musa 'alaihissaalam...


"wahai tuhanku sesungguhnya aku ini fakir kepada apa sahaja yang engkau turunkan". 



20 november. 1512.
Mafraq.

*tajuk diinspirasi dari blog penulis Indonesia, Sallim a. fillah.

Sunday, September 22, 2013

“wahai penuntut ilmu. Bercahayalah seperti bulan.”

“Wahai penuntut ilmu…jadilah kalian...”

Doktor, Pres. Kulliah Syariah Al-albayt University sedang menyampaikan ucapan.

Majlis penutup minggu taaruf siswa. Saya di orientasikan buat kali ke-3 di ipt selepas matrikulasi dan UniSZA. Meskipun umur masih mahasiswa, terasa seperti mahasitua. Kebanyakan pelajar baru di sini baru selesai spm, sudah merantau ke negara orang. Saya yang seusia dengan pelajar tahun tiga bagai rusa masuk kampung tercengang-cengang. Itulah hakikat kehidupan, setelah berada di persimpangan, kembali mula di garisan awal.

8 dzulqa’edah 1434 hijri, persiapan ala kadar bersama expectation yang biasa. Saya sudah serik memasang expectation yang tinggi dalam bidang ini, kerana ‘expect the unexpected’ telah menjadi inzar penting  sejak di UniSZA lagi. Tambah pula rasa tawarnya apabila perjalanan ini tanpa sahabat yang direncanai bersama.  Semangat masih memberi nafas. mungkin babak baru ini, babak paling berharga dalam hidup.  Jam 0315 saya terbang ke Kuwait. Lalu terus ke Amman bagi menyambung nafar ilmu yang tak pernah sudah.

Pagi itu membelek kembali sebuah buku yang dibeli sewaktu darjah 6 (2004). Siap tertera tarikhnya. Ogos 2004. Berhabuk. Buku prof sidek baba, berjudul "Seteguh Tekad". Kembali membelek beberapa kali. Melihat semula sebuah lukiskan seorang budak darjah enam di muka surat paling belakang. tergambar wajah seorang yang sedang memakai kot, bersongkok dan berlatar belakang sebuah kereta. Tertulis nama di bawah lukisan itu “Dr.Muadz phd syariah dan usuluddin di universiti Jorden”. Masa itu, entah tau entah tidak usuluddin tu apa, entah tau entah tidak tempat itu di mana. Lucu.

ber-bola depan kuliah.

Satu hari pada zaman anak-anak pernah bersoreh bersama emak.

“nanti kamu masuk ke sekolah asrama penuh ye, nanti boleh kenai ramai kawan-kawan negeri-negeri lain, kan seronok”
“lepah asrama, mak nak suruh belajo kat  mana pulak mak?”
“lepas tu belajo le ke luor negara pula. Boleh kenai orang luar negara pulak. nanti kamu belajar di….”

Makbul kata-kata ibu saya berada di sini. Doa sebuah lukisan juga boleh jadi saya ke sini. Doa rakan sahabat juga boleh jadi saya memijak bumi ini. Hanya Allah mengetahui rencananya yang tersembunyi.

Meminjak tanah syam  pernah dilalui nabi. Berjiran dengan Palestin, Syira, Haramain, bumi kinanah Mesir. Bahu saya di siku orang sebelah. 

“ustaz..oo ustaz.. tersenyum termenungkan siapa tu? haishh teringatkan siapa tu? Haaa”.
Saya membalas dengan senyuman.

Duktur masih berucap. Penting isinya.

Malizi: Bulan yang segan.

Duktur seolah memandang tepat beberapa kali ke wajah saya yang mengangguk-angguk.

“jadilah kalian yang menuntut ilmu ini seperti bulan. Menerangi kegelapan malam yang kelam. Bulan yang menyejukkan pandangan mata masyarakat. Bulan yang cantik dipandangan seperti  yang termaktub dalam syair-syair yang memuji keindahan bulan. Bukan jadi matahari yang menyilau dan menyakitkan mata memandang. Bukan jadi matahari yang meski cahaya namun bersama bahang panasnya kepada masyarakat. Kerana kamu akan menjadi penyampai ilmu ini apabila kamu tamat pengajian nanti. Jangan menyusah-nyusahkan, mudahkan. Berikan khabar gembira bukan khabar duka.”

Begitulah yang diharapkan. Bulan yang memberi kelembutan dalam menyampaikan dan mengislah. Bulan bukan sekadar menerangi, juga cantik di mata. Sudah tiba masanya pelajar pengajian islam kini perlu menjadi pandangan orang cantik dari segala segi. Bukan hanya bisa menyampaikan kuliah, boleh juga menganalisis ekonomi, bertutur dalam bahasa inggeris, cekap handle teknologi maklumat.

Ucapannya disambung dengan teguran,

“kebiasaan pelajar Malaysia, adalah pendengar yang sangat baik… Namun kebaikannya yang tiada respon. Kamu sangat pemalu. Sangat pemalu dalam bertanya sangat pemalu dalam memberi respon. Ini seperti mesin. Ini bukan yang kita mahukan. Saya berharap intake ini tidak begitu. Supaya lebih hidup suasana ilmu yang diidami”

Sesekali dalam menilai perilaku hodoh arab. Perlu juga menilai sisi bodoh sombong kita.


“sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa-apa yang ada pada jiwa mereka…” (arra’d :11)

Saya termakan dengan kata-katanya. Ucapannya ditutup dengan meyakinkan bahawa syurga menanti bagi penuntut ilmu. Istighfar dari segenap makhluk langit bumi juga buat penuntut ilmu ilahi.

Kembara ilmu di bumi syam

Tetamu di dataran syam, jalan cinta sang pejuang. Memahami wahyu, agar perjalanan hidup ini atas dasar cinta. Cinta bekalan untuk memenuhi tugas sebagai hamba Allah. Cinta untuk beribadah dan mengelolai karunianya yang maha banyak. Cinta untuk menyatukan, bukan menyempitkan. Cinta untuk memberi, bukan memaki. Cinta untuk ummah bukan centric.

Kata imam assayfie, 
tinggalkan negeri itu dan merantaulah ke negeri orang,
Merantaulah kau akan dapati pengganti kerabat dan kawan. Berlelahlah, kerana manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang.

Tetamu di Dataran Syam ini,
Harus gagah seperti Abu Ubaidah,
Tanah yang gersang disuburkan
Dengan darah jihad dan jiwa pahlawan

Di celah pohon yang zaitun yang rendang,
Bersemadi syuhada’ pahlawan Islam,
Menanti dan terus menanti,
Hadirnya barisan waris perjuangan.

Lagu / Lirik / Nyanyian : Hasrizal Abdul Jamil


Saya tahu. Saya bukan sehebat generasi penuntut dahulu yang berada di sini. Izinkan saya menumpang teduh, mencari damai, dengan kesibukan ilmu.

Bismillah
Allahumma solli 'ala sayyidina muhammad.




21 september
albayt. Mafraq.

“wal fadang fasiru”

Tuesday, September 10, 2013

perjalanan hidup ini. kadangkala kita lupa.

Dalam kita menjalani satu demi satu bab dalam kehidupan seharian. Jarang kita fikir untuk kembali semula kepada nilai apa yang mahu kita bawa. Adakah ia hanya ghairah atau kita dapat melaluinya dengan fitrah.

Nabi pernah mengingatkan, prihal kehidupan ini,

"Saya di dunia ini bagaikan penunggang kenderaan yang berehat di sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya." (attarmizi)


kita sering lupa tentang hakikat itu. Kita sedang bermusafir menuju ke satu destinasi. Perjalanan dunia ini terlalu pantas. Anak kecil telah menginjak dewasa. Dewasa sudah berubah tua. Si tua sudah berbatu nisan.

Kata Abdullah bin Umar,

Rasulallah memegang bahuku lalu berkata,  
"Jadilah kamu di dunia ini bagaikan orang asing, ataupun seorang musafir"

Kita sering dilalaikan atau terlalai, dengan hal mengejar ijazah, politik, kuasa, harta, keluarga, persatuan, masayarakat, parti hingga terkadang kita lupa apa tujuan keberadaan kita dalam semua itu.

sebagai bekalan perjalanan atau sebagai beban dalam perjalanan?

Syurga kompas kita. Bagaimana kita menggunakan kompas hidup ini, agar tidak terlajak jauh. Bagaimana jiwa dan perasaan kita perlu dikawal, sehingga kita dapat melihat kekerdilan dunia dan keraksasaan akhirat. Justeru hati akan reda dengan segala ombak duka ataupun keserabutan jiwa.

Apa yang mahu dikejarkan? Untuk apa kita terlibat dalam semua ini?

think.


Moga setiap perjalanan kita atas suci fitrah manusia. Moga kita tahu apa yang kita tuju dalam kembara kehidupan ini.

Kembara Ilmu.


uniSZA. pernah mengaji sini dulu. 3 tahun.

Kembara ilmu selaut cahaya.
Milik tuhan tiada bertepi.
Diselam tak jejak ke dasar.
Ditimba tak luak setitis.

Pesan murobbi, guru, sahabat dan teman,
Menjadi bekalan dalam kembara ilmu berpanjangan.
Suka duka resah gelisah,
akan ku ubatinya dengan kalam mereka,
"sirru 'ala barokatillah"


Tuesday, August 6, 2013

"Eli, moga ketemu lagi."

Kesedihan meresap ke setiap nafas. terus mengalir dalam darah hingga rasa pedih sebak di dada. Saya tergamam menerima panggilan selepas sahur pagi jumaat, dari rakan menyatakan Eli Izran koma dan berada dalam keadaan kritikal. Saya yang kebetulan mahu ke Kuala Lumpur untuk majlis bersama rakan sesekolah, bersiap menyusun plan untuk menziarahinya di wad ICU Hospital Putrajaya. Sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur, terbayang gurauan dan karutan, usikkan, kesungguhan berceritanya dan bebelannya.


eli yang sedang berceloteh pada saya. Gambar diambil dari hp saya dalam biliknya.
(Ely Izran 1992-2013)

Kami tidak berkesempatan sekelas, dia dalam bidang Dakwah, dan saya bidang Syariah di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA. Namun pernah menetap searas di blok C kolej kediaman sewaktu tahun dua, memberikan keterikatan seperti keluarga. Berkongsi cerita suka dan duka. 


Demikianlah, bahawa setiap kehidupan ada pengakhiran. Setiap dari kita akan melalui babak yang sama. Kalau hari ini kita terkejut dengan kematian orang yang kita kasihi. Esok lusa orang lain pula akan terkejut dengan kematian kita. Setiap dari kita menunggu giliran, dan alam, waktu, masa terus berjalan bersama usia kita yang menjadi rahsia.


Ely Izran yang saya kenali


Saya mula mengenali Eli seroang yang peramah ketika mendaftar sebagai seorang pelajar baru di UniSZA, Terengganu. Sewaktu di tahun satu dan tahun dua, biliknya lah menjadi 'port' kegemaran saya bersama roomate nya Wafi. Rumah kami searas. Saya seronok untuk 'melepak' mendengar bebelan nya. Kadang-kadang menghiburkan. Makan tengahhari bersama projek masak banyak berlaku di biliknya.


Sahabat bekas pelajar maahad mahmud Alor Star ini, bercita-cita tinggi. Aktif dalam berpersatuan, berdebat. Mudah didekati dan segar buah fikirannya. Rakan baiknya selalu bersama, Wafi, Saiful, rakan 'se-suksis' dan rakan sekelasnya terhibur apabila bersamanya. Benarlah kehilangannya dirasai oleh sahabat-sahabat seperjuangan dalam menuntut ilmu.


Saya masih ingat sewaktu masak dengannya, meng'kerabat'kan kerepek-kerepek nya yang ada. Makan bersama masakkan bujang yang rasanya entah apa-apa. Lalu ketawa bersama merasa masakan yang rare rasanya. Terbayang ajakan makan darinya.


Dia suka mengusik saya dengan panggilan "ustaz-ustazah.."

"weii 'ustazah'... jom lah mai sini makan sekali.."


Buat kali terakhirnya

Saya tiba di Kuala Lumpur menerima sms bertalu talu dari sahabat rakan tentang perkembangan kesihatannya. Kritikal. Saya menghubungi sahabat-sahabat untauk menyusun aturan ke sana esok. Alhamdulillah saya dapat menziarahi Ely. Namun, dalam keadaan dia tidak sedarkan diri. Koma, menghidapi jangkitan kuman.



bilik Eli terakhir di dunia sebelum ke bilik 'sana'
Saya tiba di wad ICU, lalu saya mengusap dahinya beberapa kali, memegang bahunya,dan dadanya sambil membaca beberapa potongan ayat syifa' yang saya ingati. Memberi semangat agar dia kuat untuk menghadapi ujian ini. Wajahnya tetap tenang tanpa kerut kesah di dahi, menghadapi penyakit yang perit. Saya perhatikan dia bersama mesin-mesin perubatan yang galak berfungsi, sambil mendengar alunan ayat quran bacaan syekh mishary yang dimainkan. Lalu saya berpesan dengan suara yang jelas,

"Eli, abang suksis, ko kedet polis, mesti tough, bangun syekh, lawan... penyakit ni kau boleh lawan. InsyaAllah boleh baik, kita leh keluar mcm biasa"


"aku mintak maaf tak sempat roger kau bila turun KL, tak sempat kita nak ke Alamanda, masa call hari tu"



Pesanan akhir, beliau ingin
bertemu saya sebelum bertemu ilahi..

Saya berdoa dan bersedih atas kehilangan rakan, sahabat, teman antara manusia daripada sebilangan manusia yang pernah mewarnai kehidupan saya sewaktu zaman universiti. Mahu bersama seperti dahulu mungkin susah, Moga pertemuan abadi di syurga Allah.


Sebelum ini saya mendapat sms fwd menyatakan dia sempat berpesan, mohon maaf kepada sahabat, guru dan rakan yang dikenali, minta halal makan dan minum, dan minta jika dia ada hutang minta supaya tuntut pada bapanya. Dia berpesan sebelum koma dan pergi menghadap Ilahi.


Tiada apa yang Eli hutang pada saya, melainkan perasaan segan dan kagum saya pada almarhum. Beliau yang saya kenali diwafatkan Ilahi pada Isnin, 27 Ramadhan pada waktu dhuha (8.09 pagi) diwaktu cahaya cerah putih pagi di akhir bulan mulia. InsyaAllah pengakhirannya hidupnya baik. Dia yang bujang akan dikahwinkan Allah di sana dan mendapat syafaat baginda Rasulallah s.a.w.

Sepeninggalan rakan baik, sebaya, sekuliah fakulti, mengingatkan kepada saya tantang kematian yang menghampiri. Dunia ini hanya tempat teduhan musafir. Berteduh sebentar mencicip bekalan, lalu meneruskan perjalanan yang panjang, kehidupan selamanya di alam sana. Kita bersahabat, berkenalan di muka bumi ini, moga Allah perkenankan semangat berkawan itu di sana.

Kita berpisah, tapi tidak selamanya. Akan ada harinya kita kita akan berjumpa dengan izin Allah. Moga kita direzekikan untuk bertemu di tempat yang baik, dan yang terbaik di negeri sana.
 


-moga ketemu lagi eli. disana.-


-Alfatihah-
Allahumma 'ghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu







 

Fajar 28 Ramadhan.
Lake View, Taiping

Friday, July 19, 2013

Rindu tertinggal di Terengganu

"if you not be forgotten, as soon as you are dead and rotten, either write things worth reading, or do things worth writing." Benjamin Franklin
Perjalanan menghantar buku-buku, barang-barang besar selesai minggu lalu. Hari itu saya mempersiap diri bersama motorsikal 'himarputeh' dalam kembara pulang ke kampung setelah tamat pengajian syariah di sini. Perjalanan amat besar maknanya. Pastinya saya akan merindui medan perjuangan di negeri ini. Tamatlah permastautinan saya di negeri Terengganu. Selepas ini, hadir sebagai seorang musafir.

Tepat jam 0400 saya berangkat ke kampung dengan perasaan yang berbaur. Sebaur dakapan akhi Hamid yang menghantar ke pagar rumah. Berat, sedih, berasa misi masih belum selesai, banyak lagi pensyarah yang belum disantuni, banyak lagi ilmu belum di jamah, berapa ramai sahabat yang belum dimuliakan...

Perjalanan 10 jam menaiki motorsikal, mengimbau kenangan 3 tahun lalu. Bekas apa yang saya tinggalkan di bumi itu?

Saya tiba di tengah banjaran titwangsa. duduk sebentar. Menghantar pesanan ringkas sms kepada orang yang saya kasihi. Tentang saya menekuni kejadian langit tidak runtuh, gunung yang pegun. "Maha suci Allah mengadun semua ini, adunilah perjalanan hidup kami selepas ini"

"Maha suci Allah mengadun semua ini, adunilah perjalanan hidup kami selepas ini"

Tidak saya nafikan, ramai individu yang saya jumpai di bumi yang membentuk diri ini, mengasah bakat, mengawal kehendak, memahami geri dan rasa, sebuah kehidupan bersahabat yang akan saya kenang sentiasa.

Kalau hari ini langkah saya sudah jauh beribu batu, saya akan tetap ingat mereka yang pernah bersama, beberapa bab dari hidup ini, mereka pernah mencoraknya, Mahu berliqa' seperti dahulu mungkin susah, Moga pertemuan abadi di syurga Allah.

Moga ukhuwwah itu tersemat sentiasa, dan saya doakan moga kita semua dirahmati Allah. 

Tuntutan dakwah dan ilmu: Perajurit di medan ilmu.

Apa pun sandaran pengajian seorang penuntut itu, mereka perajurit di medan ilmu.

"falau la nafara" dalam bait kalam Tuhan, surah attaubah ayat 122, ialah berkaitan dengan kalimah keluar menuntut ilmu. Lazimnya kalimah tersebut digunakan untuk keluar berjihad. Allah taala juga menggambarkan proses menuntut ilmu sebagai satu gerak tempur perjuangan medan. Penuntut ilmu perlu punyai pekej fizikal mental, jiwa dan emosi untuk mengharungi perjuangan itu. Jika tidak, sama ada pejuang itu kembali dengan tangan kosong, atau pulang ke gangang dengan sebukit sombong.

Saya mengambil keputusan ke negeri Terengganu 3 tahun lalu, berbaloi sebagai satu bab dari kelana saya dalam kehidupan ini. Saya memilih untuk meninggalkan pengajian tiga bulan di Kolej Matrikulasi Perak sebagai pelajar sains tulen. Pastinya keputusan ini akan membawa kepada perubahan sisi besar dalam hidup.

Saya mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar yang kosong. Saya memasang expectation yang tinggi kepada apa yang bakal saya lalui. Ternyata saya dibohongi dengan expectation saya sendiri. Kepelbagaian ragam dan rencam, melemparkan buah busuk terhadap bidang yang saya pelajari. Pengajian Islam.

Daripada yang hidup sentiasa mahu mewahabikan yang lain, mengkufurkan, membiddahkan, mengeluarkan statement tidak berasas, sehinggalah kepada pelajar yang memilih ke bidang ini, sebagai 'option akhir' kerana tidak layak ke program lain, tiada harapan ke bidang lain. Hanya mahu cukup syarat dapat sijil untuk kerja.


kenagan sem 3: diskusi bersama guruygmursyid ku, Dr.WanYusof hafizahullah,
anaknya yang chomell, dan akhi ana yang emsem.


Saya ingin berpesan, Pengajian Islam bukan 'tong sampah' untuk mengumpulkan pelajar yang tidak layak ke bidang lain. Ia juga bukan bidang untuk menyucikan anak-anak anda yang kurang ajar dan biadap untuk menjadi ahli ugama yang diiktiraf. Agama Islam kian dicabar dan dikelirukan oleh masyarakat, apatah lagi mahu dibebani dengan pemimpin agama yang jahil dan tiada keupayaan. Fikirkan sekali lagi.

Ini bakal menjadi fitnah kepada agama yang murni ini. Kerana ia bermula dengan satu jenayah, memandang remeh kepada proses pembelajaran mereka sendiri ketika dalam pengajian. mahu lahirkan musuh Allah berijazah syariah?

Saya takut.  Ketakutan terhadap fitnah, cabaran, dakwah, ragam masyarakat, ragam orang yang nifak dengan ilmu sememangnya menyeret saya ke lembah luka. Sesal tidak sekali, sekali saya memilih jalan ini, pasti cabarannya tidak sunyi.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar

Namun itu hanya sisi gelap yang menanti terang. Saya bersyukur ditempatkan tiga tahun di sini. Pengajian merangkumi kelas dan talaqqi. Banyak pengajian kitab yang dapat diperoleh, disamping kelas yang padat dan assignment full bahasa arab. Saya membayangkan suatu ketika, bagaimana saya mahu menulis thesis dalam bahasa arab? Setelah melalui proses pengajian, di sem akhir saya dapat siapkan tesis bertajuk hukum anak zina, dengan jayyidjiddan. Alhamdulillah

Silibus yang dipelajari di peringkat awal juga berisi. Membedah nahwusarfi, mantiq, alwajiz, attibyyan, fiqhmanhaji, tulisan karangan syuyukh manna'ul qattan, dr.wahbah zuhayli, syekh 'ali jummuah dan pelbagai kitab arab yang lain sehingga kepada kitab iqna' dan siroojul wahhaj yang boleh tahan beratnya. Silibus ini jarang didiapati seawal ini di ipta lain, kecuali di sini. Alhamdulillah.

Alhamdulillah. Akhirnya saya dapat akhiri dengan keputusan yang baik diatas kertas. Namun diluar kertasnya ia bergantung kepada cara kita berfikir.

Saya pernah ketemu dengan seseorang yang memberi amaran seperti begini,

"enta kalau belajar di madinah, enta akan jadi wahabbi, kalau enta ke jordan enta akan dijangkiti salafi, kalau ke yaman, tak pasal enta jadi torekat sufi (habaib),..."

Kalau begitu, jawapan saya, lebih baik belajar di kubur tuan hamba.

Dakwah berpersatuan di bumi ini juga, membekalkan saya bekalan perajurit menghadapi medan pelbagai ragam manusia. Ia juga ilmu dan pengalaman yang mungkin tidak saya dapati di tempat lain. Moga Allah nilaikan ia sebagai amal jariah yang bersusah payah berprogram sepanjang tahun. Penatnya masih terasa. Oh manis.

Jiwa perantau kelana

Jiwa saya ialah jiwa kelana. Saya tidak pernah duduk di satu tempat lama-lama. Mungkin sebab sudah biasa, keluarga yang kerap berpindah rumah mengikut kerjaya ayahanda. Sejak lahir, saya pernah menetap di butterworth, kulim, klang, sungai buloh, taiping. Di taiping sahaja dah tiga buah rumah saya pernah tinggal. Mungkin selepas ini di tempat lain pula.

"hang nak sambung mana muadz?"
"hang macam tak kenai aku..."

"hang mmg tak boleh duk satu tempat lama-lama, jenis org perantau hang ni. arab badwi!"
"hehe... jgn pulak ang lebel aku sombong tak sambung sini..."
"dak la... cuma kadang dan mai 'gila' hang ni, org lain tak terikut.."


Mungkin saya punyai passion yang tinggi untuk bermusafir, meneroka pelosok sisi dunia.

Tiga tahun yang memberi erti. Bukanlah cukup, namun berat keinginan saya mahu ke tempat lain sebagai bekalan ilmu dan jiwa. Izinkan saya menghirup udara berbeza untuk memberi pengalaman hidup yang baharu. Janganlah diheret saya sebagai orang yang meninggalkan perjuangan, atau sombong kerana tidak menyambung pengajian di situ.

Diri saya jauh sekali untuk dijadikan tauladan buat para taulan. Semua dalam lipatan perancangan yang hanya diketahui oleh tuhan.

kerana Imam Assyafie pernah berpesan,

orang yang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman,
tinggalkan negeri itu dan merantaulah ke negeri orang,
Merantaulah kau akan dapati pengganti kerabat dan kawan,
Berlelahlah, kerana manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang

Aku melihat air menjadi rosak kerana diam tertahan
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak akan keruh bergenang.

Singa tidak tinggalkan sarang tidak akan dapat mangsa,
Anak panah jika tidak tinggalkan busur tidak terkena pada sasaran

Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan diam,
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang.

Bijih emas bagaikan tanah sebelum digali
Kayu gaharu tidak ubah seperti kayu biasa jika hanya berada dalam hutan.*

(sumber: negeri 5 menara: a.fuadi)

'allahumma barikklana fii Ramadhan'
1841, Lake View, Taiping.

Thursday, April 11, 2013

Rencana Allah Rencana Kita

"Kita merencanakan kemudian menyesuaikan diri dengan rencana Allah"

Allah sebaik baik pengatur hidupmu.

Sekelam mana langit semalam, sedingin mana musim mendatang, sebanyak mana rezeki untuk dicicip, seluas mana hidup yang kita akan jalani, sebahagia mana jodoh kita di hari esok, semuanya boleh direncanakan.

rencanalah di setiap jejak hidup ini

Saya teringat di ketika satu hari, saya mempelajari subjek sains di tingkatan tiga. Masih segar di ingatan ketika itu saya duduk di barisan paling hujung sekali bersebelahan dengan pintu kelas 3 Jannatul Adnin. Tajuk perbincangan hari itu mengenai rabun, faktor-faktornya dan juga lensa rabun. 

Sedetik itu saya mengelamun panjang dan memberontak kecil, "apa guna aku belajar ini, entah aku ada ruang nak sampaikan atau tak, entah".

Minggu lepas, semasa saya mempromosikan spec terapi jualan di kedai sahabat, datang pelanggan demi pelanggan yang bertanyakan tentang punca rabun, dan sebagainya. Ilmu yang saya pelajari di tingkatan tiga itulah yang saya hamburkan. Walaupun saya tidak pernah terfikir untuk sambung bidang sains, namun saya dapat juga menyampaikan.

Ajaib aturan Tuhan dia menjawab persoalan saya 6 tahun lalu.

Begitu juga semasa saya berada di Matrikulasi, saya keluar untuk menekuni diploma selama tiga tahun. Pasti banyak yang saya dapat dan telah dapat sepanjang fatrah ini. Tiada Allah mempersia-siakan doa untuk saya dihantar ke tempat terbaik bagi diri saya.

Ajaib aturan Allah Dia juga sudah menjawab beberapa persoalan saya 3 tahun lalu.

Takdir itu bersifat misteri. Dan kerana sifat misteri itulah kita diberi keluasan oleh Allah untuk merencanakannya. Jika datang gambaran masa depan yang jelas dan pasti, pasti kan hilang motivasi , hilang erti perjuangan, luntur syukur, dan mati segala ikhtiar.

Sungguhpun begitu takdir tidak boleh dijadikan alasan untuk sebuah kemaksiatan, atau sebagai rasa terhukum atas masa dahulu hingga membawa keputus-asaan dari rahmat Tuhan. Inilah penyakit manusia yang tiada nafas baharu dalam hidupnya, membiarkan diri bermain dengan bayang-bayang hitam lalu.

ketika dibuka ruang untuk kembali, "sudah aku dijadikan jahat begini, memang begini lah".

"aku dah ditakdirkan begini, Hipokrit apanya lagi?" apabila diujarkan perkara yang baik.

ketika dicadangkan seseorang yang baik, "sememangnya aku tidak layak untuk mencari akhowat yang solehah, aku dulu lain"

ketika lamaran datang, "aku pernah ber'couple' dahulu, tak pantas aku bersama ustaz itu".

"saya dahulu peminum arak, saya pernah minum holy water tak boleh mengucap dah" padahal tak pernah try mengucap, holy water menjadi mangsa.

Akhirnya hanyut bersama takdir ciptaan sendiri...

Rencana Abdurrahman 'auf yang direncana.

"InsyaAllah dalam sebulan ini saya akan menikah"

Abdurrahman 'auf hadir bersama rombongan Muhajir ke Yathrib muda tanpa harta. Beliau ditawarkan dengan antara dua kebun besar di kota madinah itu, diantara dua wanita untuk dijadikan isteri, dan diantara dua rumah yang nyaman.

Namun, beliau menolak baik tawaran itu dan diminta ditunjukan  jalan ke pasar. Rencana Abdulrahaman bukan menolak 'takdir' terhidang, namun ada suatu yang lebih mewarnai hidupnya untuk mencari pukat merencanai keuntungan berpanjangan.

Padanya ditunjukkan jalan ke pasar, menjadi kuli di hari pertama, kemudian menjadi pedangang paling jujur di hari ketiga, informatif terhadap produknya, menjadi ejen penyiasat Rasulallah menentang hegemoni riba di pasar madinah.

"....Allah sebaik-baik pemberi rezeki: aljumuah:11"
Sebulan kemudian, sahabat ini hadir kepada Rasulallah dengan pakaian penuh minyak.

"saya menikah wahai rasulallah" katanya tersipu.

"dengan siapa?"

"dengan seorang wanita ansar"

"berapa maharnya?"

"emas sebiji kurma"

"wahai Abdurrahman, selenggarakan walimah meskipun seekor kambing!"

Sehinggakan tuan-tuan, harta berkah Abdulrahman Auf, jika dibahagi-bahagikan sekitar penduduk madinah ialah 40000 dinar one-off. jika 1 dinar 4.25 gram emas, berapa jumlah sedeqah beliau?

Nah ambik! Perencanaannya yang direncana Ilahi,

Rencana Kemenangan perjuangan dakwah dan keadilan.

Kemenangan Islam, kemenangan pejuangan keadilan dan kekalahan golongan yang zalim merupakan rencana Allah. Tugas kita di jalan perjuangan ini adalah membuat rencana untuk menyesuaikan diri dengan rencana Allah. 

Tanah air saya kini panas dengan Pilihanraya Umum yang hampir tiba. Masyarakat kini celik Politik dan sedar mereka merupakan political consumer, menggerunkan parti pemerintah yang tidak lena tidur malam dan tak lawas buang air besar.

Gajah bergaduh pelanduk tersepit seperti dalam bidalan Melayu sudah tiada releven dalam situasi politik kini. Kini gajah bergaduh Pelanduk makin kenyang. Pelanduk makin demand, gajah pula makin semput.

kebangkitanrakyat di Mesir beberapa tahun lalu.

Sungguhpun begitu Kata saidina Ali, "kebenaran yang tak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang terancang". 

Kemenangan yang bakal tiba merupakan sebuah perencanaan Ilahi yang perlu direncana.

Umar al khattab radhiyallahu 'anh suatu hari berdoa hingga menyebabkan Hafsah terkejut.

"ya Allah matikan aku sebagai syahid di tanah nabimu (tanah haram)"

"ayah apakah kamu mahu syahid di tanah Nabi Sallallahu 'alaihi wassallam? Mengapa bukan di medan jihad syam atau parsi? adakah beerti musuh Allah akan kembali menyerang kota berkat ini?"

"Hafsah puteriku, Allah maha kuasa untuk mengabulkan permohonan hambanya Tanpa mengubah KurniaNya bagi yang lain"

Akhirnya Umar Al khattab benar syahir di mihrab nabi oleh Abu Lu'Luah. Rencana Tuhan akan tetap berlaku, perencanaan perlu diatur,

Justeru kemenangan itu tidak akan tertangguh dengan rencana musuh. Tinggal sahaja sebilangan golongan yang benar untuk mempamerkan adalah mereka sebenarnya golongan yang dijanjikan.

Sejarah Firaun, Ratu Saba', Bahana Kaum Luth, Kejatuhan Mubarak bakal terulang di tanah air ini.

'Kita memiliki kemampuan untuk merealiti mimpi, menghampiri cita-cita, menyusun rencana, tetapi semua kemampuan itu tak pernah sesekali hadir tanpa mengalahkan kelemahan kita dalam menunda.'

Indeed, We have given you,[O Muhammad]
a clear conquest.

0200,
Lakeview Taiping.

"berprasangka baik, merancana dgn baik, brusaha yang terbaik, brsyukur dan bersabar" ^_^