Tuesday, August 7, 2012

Nafas 252 bulan

Dulu cita-cita saya nak jadi pemain bola sepak bila tengok aksi pemain kebangsaan di televisyen. Kemudian ke sekolah berajar mengenai plenet, teringin pula jadi angkasawan nak pergi ke planet pluto. Apabila sekolah rendah menganjurkan lawatan ke muzium, teringin pula jadi askar. Ziarah orang sakit di hospital, teringin pula nak jadi nurse.

Saya melihat dari jauh wad bersalin di Hospital Sultanah Nur Zahirah,Terengganu. Usai melawat sahabat yang terlibat dalam kemalangan. Saya teringatkan sebuah kisah yang diceritakan kepada saya. Mengenai Ibu yang mahu bersalin dari seorang berpangkat ibu. Kisah pengalaman melahirkan seorang manusia.

Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya.
 Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana
ali-imran:6.


18 ramadhan 1412 h.

Malam itu, peluh merembes di dahi si ibu. Anak kecil itu masih belum mahu keluar. Sejak awal pagi sudah ditahan di wad bersalin hospital daerah, kini menjelang malam masih belum terdapat tanda bayi mahu keluar. Kelahiran sulung itu memberikan rasa ketakutan. Takut bagi seorang isteri mahu menjadi ibu, takut juga bagi seorang manusia di dalam kandungan yang mahu bertukar alam. Dari alam rahim ke alam dunia. 

Anak yang paling payah hendak dilahirkan ini dinantikan dengan sabar. Zikir, asma' Allah sentiasa di bibir mengharapkan proses lahir berjalan dengan baik. Setelah itu, pergelutan bermula, Ibu menahan perit bagi memastikan umat nabi akhir zaman ini terus menerus legasi nya. Kesakitan sampai kemuncak. 

Si Ibu hampir hilang daya. Bayi itu seperti sukar mahu keluar. Komplikasi mulai timbul. Mungkin bayi lemas, dan tanpa tindakan pantas mungkin bayi itu tidak akan bernyawa dan kehidupan akan berakhir di situ. Lalu doktor memberikan ikhtiar awal untuk menyelamatkan dan menjamin nyawa kedua-duanya,

"kalau macam ni, kita hantar ke Hospital Ipoh...."

Mendengar secara terus, terkejut seolah-olah hampir sahaja kehidupan ini akan berakhir. Berderau darah si ibu. Tiada apa yang difikirkan kecuali tamat riwayat hidupnya pada hari tersebut, kerana memikirkan kes-kes besar dan rumit hanya akan dijalankan di ibu negeri.

"ke hospital Ipoh? habislah..."

Meskipun kita tahu, sebenarnya apa-apa  keputusan perawat adalah yang terbaik untuk pesakit. Mereka mahu melihat manusia hidup dalam keadaan sihat dan bahagia. Menikmati nikmat tuhan yang tidak terhingga di alam ini.
"barangsiapa memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya" (al-maidah:32)"
Walaupun saya bukan dalam kalangan perawat, namun saya berbangga punyai ramai kenalan dan sahabat bertitle pegawai perubatan. Moga berkat mereka membantu manusia melekat pada saya semasa berjumpa, berliqa', dan berukhuwah.

Terus menerus si Ibu diselubungi ketakutan. Dalam memikirkan ketakutan tersebut, Bukaan rahim hampir 8cm. Kepala bayi sudah kelihatan, namun kudrat si ibu tidak mampu menolak keluar bayi yang kecil tapi degil. Tuan doktor mendapatkan alatan untuk prosidur vacuum. Jika tidak mungkin terpaksa di-caesarian-kan. Prosidur berjalan jam 2205 kelahiran mengunakan bantuan vacumnn. 

Akhirnya bayi lelaki yang sihat selamat dilahirkan.Kelahiran dramatic anak pertama dan cucu pertama opah sebelah ibu, disambut dengan kegembiraan, muka jam juga tersenyum pada 10.10 malam, bayi itu berkenalan dengan dunia bersama tangisan pertama seberat 2.5 kg. Melihat alam yang baru, seperti mendaftar sebagai peserta dalam pertandingan memilih kebenaran atau kebatilan bersama setiap hidupan berketurunan adam. Welcome to the next new phase. 
"bukankah aku Tuhanmu? Bahkan! " 


Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan
darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang;
 kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu
 Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya.
 Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta

dan 252 bulan bersamaan 21 tahun hijri, bayi itu masih belum dapat mengingati drama kelahiranya, mustahil. Sudah lebih dua dekad peristiwa itu berlaku, sehingga hari ini ia kekal menjadi lipatan memori seorang ibu yang terbaik. Tidak dapat si anak itu membalas, berapa jua harga berapa jua nilainya. Tak ternilai. Hanya doa harian yang dikirim mengharapkan hasanah insan yang paling penting dalam hidup itu mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat selama-lamanya. :')

spirit pasca-badar al kubra
18 ramadhan 2 h.


"Ya Allah, hamba bermohon kepada mu akan janji dan perjanjian mu,jika kamu berkehendak (kekalahan), kamu tidak akan disembah setelah hari ini".

Hari itu lama rasulallah menghabiskan malam bersama tuhannya, berdoa agar peperangan dengan kelengkapan mampu mara sebagai barisan tentera Allah yang utuh.

Perlawanan satu lawan satu bermula. Tiga jaguh musyrikin Quraish dipilih, mereka keluar dengan lagak sombong. 

"kami mahu berpadanan dan setimpal, wahai Muhammad, kemukakan kepada kami yang setimpal dari kaum keluarga kami”. 

Kata Rasulullah: “Ubaidah bin al-Harith, Hamzah, Ali, bangun”. Mereka pun segera ke hadapan, bila berhampiran, mereka bertanya: “Siapa kamu semua”, mereka pun memperkenalkan diri.

Berpuas hati, “Ya, kamu adalah setimpal dan bangsawan.”

Satu lawan satu. Semua Musyrikin dibunuh. Lalu terjadilah pertembungan dan pertarungan.
Peperangan berakhir dengan kekalahan teruk kaum musyrikin dengan kematian orang kuat mekah, Abu Jahal. Berita kemenangan sampai ke Madinah dan berita kekalahan sampai ke Makkah. Kemenangan terbesar di saat kekuatan tenaga yang kecil. Inilah spirit yang patut ada pada kita.

gambar budak degil dalam baldi 

18 ramadhan 1433 h.
erti syukur!


Apa kata, jika ada masa, kita ambil kalkulator dan kelendar, hitungkan jumlah hari,bulan, dan saat diketika nafas kita hari ini. Kemudian review kembali apa sudah dibuat sepanjang perjalanan hidup. Kemanakah umur yang ada dihabiskan? kalau untuk agama,

Lafazkan kalimah syukur alhamdulillah!


"tak sepatutnya jadi macam tu... kau rasa aku patut buat apa, ikutkan hati aku nak redah saja.." pasir halus di tepi pantai digenggam dilempar dalam laut, simbolik menghilangkan stress ke laut.

kadangkala sukar membezakan antara luahan rasa dan soalan.

"dah tu kau rasa macam mana?"
jangan tanya balik aku tanya engkau ni.

"hidup ni sememangnya diciptakan indah, kerana tak mudah itulah, membuatkan hidup ini indah."

Bersyukurlah dengan memberikan yang terbaik dari setiap nafas. Bersyukurlah dengan berjalan di atas muka bumi ini dengan senyum walau apa jua simpang beloknya.

Orang yang bersyukur sentiasa nampak apa yang dia ada. Orang yang kufur sentiasa nampak apa yang tiada pada dirinya. Bersyukur ialah rawatan kebahagiaan.

Dalam perjalanan kita yang misteri ini, pastikan setiap lembaran demi lembarannya dibuka dengan niat awal untuk memberi manfaat kepada orang lain. Biarlah setiap hari kita memikirkan tentang Islam dari sudut mana kita mahu sumbangkan, dalam lapangan masing-masing.  itu syukur.

Cita-cita juga adalah untuk kebaikan deen ini dan juga untuk berkhidmat kepada semua bangsa manusia tanpa mengira jenis tuhan manakah yang bertakhta dalam hati mereka, jadi kita akan dapat sampaikan kalimah tuhan itu adalah untuk semua tanpa disentimenkan.

Rahmatallil 'Alamin!

itu juga syukur.

Aturan mencari erti syukur usai bulan yang ke-252 ini.

Moga tarikh pasca-badar memberikan kekuatan. Dan disebut-sebut seolah-olah memberikan doa dan inspirasi kepada si muadz yang menginjak usia pada setiap kali tarikh pasca-badar. 

"apa alamat emailnya?"

"err ehem...badarsimuadz"

ruang tamu,
tingkat dua blok B.
18 ramadhan 1433h.
titip doa buat
saudara kita di
syria.rohingya.seluruh dunia.

Tuesday, July 31, 2012

"moga ketemu lagi, Ajin."

Kesedihan meresap ke setiap nafas. terus mengalir dalam darah hingga rasa sebak di dada. 

Sejak panggilan seorang rakan, safarul sebelum taraweh empat hari lalu, mengenai Ajin yang terlibat dalam kemalangan letupan kapal Bunga Alpinia, di Labuan (sini). Terus saya membayangkan saat bersama almarhum. Masih terbayang gurauan, kesungguhan berceritanya, langkahnya ke kelas selalu bersama seekor anak kucing, tidur bersama kucing. Meskipun kami tidak berkesempatan sekelas, namun keakraban menuntut dalam satu 'batch' memberikan keterikatan seperti keluarga. Tambah pula saya kepala keluarga ketika itu.

Demikian setiap kehidupan ada pengakhiran. Setiap dari kita akan melalui episod yang sama.  Hari ini kita terkejut dengan kematian orang yang kita kasihi. Esok lusa orang lain pula akan terkejut dengan kematian kita. Setiap dari kita menunggu giliran, dan alam, waktu, masa terus berjalan.

Nazrin yang saya kenali

Saya mula mengenali dia ketika berada di tingkatan satu, 2005. Ketika itu beliau selalu bersama sama 'geng Kuala Selangor' acap kali bersama, safarul, hairel, izzuwan (botak) dan Shahrul Fariz. Membesar dan mengenal dunia bersama rakan-rakan. Perangai seorang demi seorang dapat dihadam. Melangkah ke tingkatan tiga, dia orang yang terhebat dalam subjek sejarah. Saya pernah meminta untuk dia menceritakan mengenai 'syarikat british di tanah melayu'. Ajin digelar geinus sejarah. Buku teks sejarah yang bergerak, 'tufat an nafis' berjalan. 

Muhammad Nazrin Khamsani ( 5.1.1992 - 30.7.2012) Al-Fatihah.

Seperti kata Abrar Syafie dalam penulisannya, benar Ajin seorang yang tough semangatnya. Peramah, motivational, inspirational dan gila-gila sering terbayang di fikiran. Saya suka mengacau sekor anak kucing yang di katakan anak dia sendiri. Mungkin teorinya Abrar benar. 

Berada di tingkatan empat memberikan banyak pengalaman dan erti hidup. Dia di tingkatan empat jannatul ma'wa, saya di jannatul Khuldi. Ketika itu dia pernah memberikan semagat kepada saya ketika mengalami sedikit masalah dan cabaran. Beliau antara terus memberikan dorongan sambil menepuk bahu saya,

" alaa come on muadz, aku yakin kau boleh handle benda ni"

Sewaktu itu beliau sebagai bendahari asrama, juga sebagai ketua rumah hijau. Bersama-sama di depan longkang, mendengar cerita mengenai keunggulan team kriket sekolah 'raptor' , bersama semangat rakan-rakan seperjuangan. Sifat sayang kepada binatang yang luar biasa selepas Ali Karim. Berkemeja-tie ke prep pagi sabtu sambil menjinjing seekor kucing. Abu Hurairah sepintar 09'.

Jua di penghujung tingkatan lima, saya berada di 5 j.khuldi dia di 5j.ma'wa. Namun berkesempatan untuk bersama satu dormitri, menumpang di dorm exco semasa fatrah spm. Bersama sama menikmati juadah yang dibawa dari rumahnya, tak lokek untuk dikongsi. Saya ingat lagi ikan masak sambal. makan bersama nasi dalam tupperware. Juga buah rambutan yang sering dibawa dari rumah kepada rakan se-dorm. Makan sambil sembang 'gila-gila'. Terbayang-bayang tubuh itu juga yang mengejutkan saya subuh sewaktu itu. 

Dia suka menggelarkan saya dengan gelaran 'kb', "weii kb..meh la lepak sini".

Banyak lagi kenangan saya bersama Nazrin, moga kenangan itu terus berlalu sebagai ibadah dalam kehidupan sekelip dua ini.

semangat menuntut ilmu yang tinggi.

Status terakhir

Semasa berita kehilangannya saya tergamam apabila teringatkan tentang status terakhir yang di post dalam group facebook spm09' sbpirawang (phalanx of legendz). Dia sempat memohon maaf kepada semua sahabat  dan rakan bersama ucapan 'good luck for your study' sebelum sign-in berkhidmat kepada negara, sebagai pelaut selepas bercuti di Jordan.

status terakhir Ajin di wall group batch spm09' (PhalanxofLegendz)
memohon maaf kepada semua sahabatnya sebelum 'pergi'. 

Sebelum ini pernah bersembang dalam ruangan chat facebook beberapa bulan yang lalu , saya bertanya, “budak alam, bila kau nak belanja aku?” Lalu terus berlarutan bersembang bertanya khabar masing-masing. Itu chat yang terakhir rupanya.

Sejak kehilangan dan seorang demi seorang mangsa dijumpai, saya masih update berita daripada rakan. Akhirnya tinggal satu lagi mangsa belum dijumpai iaitu Nazrin setelah mangsa yang keempat ditemui (sini) . Pencarian dan doa, sehingga mendapat panggilan pada petang tadi dari seorang rakan juga orang yang pertama memaklumkan kejadian tersebut. Bahawa jenazah Nazrin telah dijumpai (sini) .

Saya berdoa dan bersedih atas kehilangan rakan, sahabat, teman antara manusia daripada sebilangan manusia yang pernah mewarnai kehidupan saya sewaktu zaman persekolahan.

Meminjam quote dari seorang sahabat, "kalau hari ini langkah aku dah jauh beribu batu, aku tetap ingat mereka yang mula bersamaku, separuh dari hidupku ini, merekalah pencoraknya, Mahu bersama seperti dahulu mungkin susah, Moga pertemuan abadi di syurga Allah. Rindu parlimen tengah malam".

Sumbangannya terhadap kepimpinan sekolah 2009 bukan sedikit. Kesungguhan dia dalam setiap perkara yang menjadi keinginannya amat saya kagumi. Jika ada ruang untuk membantu cikgu-cikgu pasti akan dipenuhi.

"nak ke mana tu ajin?"
"ni nak hantar laporan PKA rumah Hijau kat Puan Mai"

Ralat, tidak dapat mengiringi jenazahnya ke perkuburan esok (31 julai). Saya ingin melawatnya apabila singgah ke Kuala Selangor nanti. InsyaAllah . Moga kawan ini menjawab salam saya di alam sana,

“Tiada seorang yang melintasi kubur saudaranya yang mukmin yang dia kenalinya dahulu di dunia, lalu memberi salam, melainkan dia (si mati) mengenalinya dan menjawab salamnya” 


(riwayat Ibn ‘Asakir dll, dinilai sahih oleh Ibn al-Mubarak, ‘Abd al-Barr, ‘Abdal-Haq al-Ashbili, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan lain-lain).


Sepeninggalan saudara sebaya, sesekolah mengingatkan saya mengenai kematian yang sentiasa menghampiri. InsyaAllah dia syahid. Semua di kalangan kita akan melalui perkara yang sama, kematian. Dan amalan akan dibawa dan ditimbang. Kita bersahabat, berkenal-kenalan di atas dunia ini, Moga Allah kekalkan persahabatan semangat berkawan itu pada kehidupan akan datang.

Bro Ajin, kita berpisah, tapi tidak selamanya. Akan ada harinya kita kita akan berjumpa dengan izin Allah. Moga kita di rezekikan untuk bertemu di tempat yang baik, dan yang terbaik di negeri sana. 

Allahumma 'ghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu


"moga ketemu lagi, Ajin"


-AL FATIHAH-

Wednesday, July 18, 2012

Tercari-cari

"Terkapai kapai diri dihanyut arus waktu,
Kegelapan hati yang sering buat ku keliru,
Dalam menguji pergolakkan emosi diri,
Tak siapa tahu ada yang memerhati..."

Ditipu


Kita sering ditipu oleh diri sendiri.

Manusia sentiasa sibuk. Mencari wang untuk masa hadapan. Meneguk ilmu untuk berhadapan dengan masyarakat. Bekerja untuk mengejar cita. Hakikatnya, bukan itu yang dicari, mereka sebenarnya mencari bahagia. 

Mudah untuk mengetahui bahagia itu dengan akal. Namun untuk mengenalinya, kita memerlukan hati. Bahagia mendapat wang untuk memudahkan muamalat. Bahagia mendapat ilmu kerana mahu memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat. Bahagia untuk mengecapi sebuah nikmat sementara.

Rasulallah s.a.w ikhlas memilih bahagia dengan sakit menghadapi ummatnya, berdarah tubuhnya hingga Jibril a.s menawarkan tuntut bela. Baginda memilih untuk tiada harta, biarpun  baginda boleh memilih untuk menjadi kaya. Boleh saja dia memilih untuk berdakwah dengan selesa.

Bahagia itu bukan dari drama berbunga-bunga, bahagia itu sebuah perjalanan mendaki dan menuruni. Nafas juga sifatnya turun naik.

Pagi tadi saya sempat bersarapan bersama seorang penduduk kampung. dia menceritakan keadaan hidup nya dalam keadaan ceria. Anaknya ramai, anak istimewanya juga ramai. Rm2k telah disediakan dalam akaun sspn anaknya. Untuk belajar lebih tinggi di hari esok.

"sebelah awok tu, dia ni istimewa"...

Saya memerhatikan gelagatnya di sebelah saya memegang sudu, menggenggam cawan, menghirup teh susu, sambil matanya berkedip-kedip tangannya menggeletar. Berusaha untuk menyuapkan secicip rezeki dalam mulutnya sendiri.

Terus terkenangkan anak murid istimewa saya di seri aman. Gelagat mereka, mendidik saya mengenal erti bahagia daham kehidupan.

Subjektif bahagia dapat ditempuh melalui sifat cinta. Dan cinta itu ialah fitrah. Jangan tergamak kalian mencemarkan nama baik institusi cinta.

re-set


Re-set

Reset kembali hidup ini.

Ramadhan. Penghulu segala bulan. Bulan ibadah. Bulan keberkatan.

Ia juga dilihat sebagai bulan Bazar, Bulan makanan, Bulan 'shopping'.

Terpulang kepada pandangan masing-masing. Pandangan menentukan hala tuju hidup. Pandangan terhadap ramadhan menentukan Resolusi ketika tamat Madrasah ini.

Pandangan muslim produktif, Ia adalah permulaan sepanjang hidup. Konsisten kita dalam bulan ramadhan, insyaAllah menentukan kualiti yang terbaik sepanjang tahun. Semangat ibadah, insyaAllah menjamin produktiviti yang maksima.

Rebutla segala macam rahmat yang ada dalam bulan ini. Carilah bahagia dalam bulan ini. 

Kerana bukan harta yang dicari, namun kebahagiaan.  

Kerana bukan berat badan menurun yang diimpi, bukan keuntunggan bazar yang dicari, bukan kesihatan yang terbaik selepas berpuasa, bukan juga mencari  lapar dan dahaga sebagai tanda mujahadah yang teguh. 

Namun kita mencari Taqwa sebagai starter tahunan, untuk re-set kembali peribadi diri. Kerana itu sebenarnya bahagia yang dicari, sedang kita tercari-cari.


Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa,
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa
 .

Re-set !

menunggu ketibaan bulan mulia.
Allahumma Ballighna Ramadhan.
K.Terengganu.


tercari cari.
Bukan dia yang dicari, tetapi DIA.