Wednesday, October 24, 2012

"berkorban apa saja..."

Teringatkan lagu Almarhum Tan sri P Ramlee dalam filem Hang Tuah pada Januari 1956, Ketika Hang Tuah menyanyikan lagu buat kekasih hatinya,

"berkorban apa saja, harta ataupun nyawa,
itulah kaseh mesra, sejati dan mulia.
Kepentingan sendiri, tidak diingini
bahagia kekaseh, saja yang diharapi..."

Saya dan Zamir berehat di kerusi kayu berhadapan dengan gerai Starbuck house. Lokasinya di hadapan pusat dagangan dunia putra, berdekatan dengan pejabat agung UMNO di ibu kota. Sedang kami bersembang ramah, kelihatan seorang perempuan berusia 13 tahun menghampiri kami bersama ibunya di sisi,

"sedeqah sedeqah..." sambil menghulurkan senaskhah surah Yasiin..
" Adik, ni abang nak tanya ni. Tunggu sekejap, umur berapa? sekolah di mana?" saya bertanya.

Walaupun saya acap kali melepak di Kuala Lumpur, sekitar masjid India berdiskusi dengan sahabat-sahabat, mencari bahan bacaan baharu, adik ini sering saya temui sejak dua tiga tahun belakangan ini. Meminta simpati bersama naskah-naskah Surat Yassin.


"Umur 13, saya tak sekolah..abang boleh beli tak, sadaqah..." jawabnya sayu, sambil ibunya bergegas berlalu pergi. Mungkin gusar diajukan soalan oleh kami. Bukan tujuan apa, sengaja mahu mendalami mereka.

"Kenapa adik tak sekolah?" sambil Zamir menghulurkan sedikit wang...
Wang segera diambil lalu berlalu sepi. Meninggalkan kami berdua.

Jalan korbannya, mengorbankan persekolahan, dan umurnya dibatasan kanak-kanak itu digunakan untuk menagih rezeki di ibu kota. Meski jalan korbannya itu dilihat abnormal. Saya pasti jika diselami kehidupan mereka pasti kita terlihatkan penorbanannya. 

Kerana Allah menjanjikan ujian dan menuntut pengorbanan setiap hambanya dalam situasi yang berbeza-beza. 

Ujian disebalik pengorbanan

wukuf. kemuncak ibadah haji. Moga direzekikan menjadi tetamu Allah.

Ismail a.s bersedia menyerahkan jasadnya. Pakaian nya telah disiapkan cantik. Rambutnya disisir rapi, tanda pengorbanan yang terbaik dari Nabi Ibrahim a.s untuk dipersembahkan kepada Allah taala. Pisau yang tajam dan tali dirangkul kemas Ibrahim a.s. Mereka menuju ke Mina untuk menyelesaikan pengorbanan.

Namun sebelum pengetahuan mereka diatas perintah itu, iblis telah menjelma dengan rupa manusia menjadi mehnah sunnah sebuah pengorbanan. Gambaran dari Tuhan kepada kita, bahawa segala pengorbanan menuntut kita untuk berhadapan sengan sesuatu mehnah dan cabaran. walau semikro atau semakro mana sekalipun.

"Apakah kamu tidak memerhatikan badannya yang gagah, parasnya yang tampan dan perilakunya yang santun?"

"Nabi Ibrahim a.s. menjawab: "Ya, tetapi aku telah diperintah oleh Tuhanku untuk menyembelihnya."

Usai menemui Ibrahim a.s, Hajar pula dirasuk soalan provokasi. Sesuai dengan janji mereka mehu menyesatkan anak Adam a.s sehingga kiamat.

"Bagaimana boleh kamu hanya duduk-duduk sahaja, sedangkan Ibrahim pergi dengan anak kamu dan hendak menyembelih anak kamu?"

"Jangan berdusta! Aku tahu seorang ayah tidak akan sanggup menyembelih anaknya sendiri!" ujar Hajar.

"Suami kamu membawa pergi anak kamu sambil membawa tali dan pisau. Dia mengira Tuhannya telah menyuruhnya untuk itu." tusukan dengan harapan kan menggugah keimanan.

"Nabi tidak diperintahkan untuk mengerjakan sesuatu yang sia-sia. Tapi, jika memang Allah s.w.t. telah memerintahkan perkara itu, aku sendiri bersedia untuk menurut perintah itu dengan jiwaku. Bukan hanya jiwa, malah anakku rela kukorbankan demi Allah s.w.t.!"

Jawapan yang solid, mematikan hujah.


Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim a.s. berkata,
 'Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu. Maka fikirkanlah apa pendapat kamu!'
 Dia menjawab, 'Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu. Insya Allah s.w.t. kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar. [assaffat:103]

Iblis menuju kearah Ismail pula.

 "Hai Ismail, kamu nampak bersenang-senang, sedangkan saat ini ayah kamu membawa tali dan pisau untuk menyembelih kamu."

"Jangan berdusta, hai iblis. Mengapa ayahku hendak menyembelihku?" tanya Ismail.

"Dia mengira bahawa Tuhannya telah menyuruhnya demikian."

"Aku memerhatikan dan mentaati perintah Tuhanku!" tegas Ismail.

Ketika iblis yang terkutuk itu melontarkan kata-kata yang lain, terlebih dahulu Ismail a.s. mengambil batu dan tanah lalu melemparkannya kepada iblis.  Setelah itu, barulah iblis pergi. Peristiwa inilah yang melatarbelakangi perintah Allah s.w.t.yang mewajibkan umat Islam untuk melemparkan batu di tempat itu untuk mengusir syaitan seperti yang dilakukan oleh Nabi Ismail.

Plot peristiwa ini kita ketahui kesudahannya.

Jalan menuntut pengorbanan dalam hidup ini tidak semudah mengail ikan di kali, apabila malam cerah, ikan akan timbul sendiri. Terasa mudah mahu mengailnya. 

Ibrah perayaan yang dikurniai Allah ini punyai erti tersendiri. Apabila tiba AidulFitri, seolah-olah mengajak kita kembali kepada fitrah sebagai seorang manusia ciptaan tuhan. Kembali kepada sifat tanah yang suci dan kain putih yang tidak dicemari. Menjadi manusia yang mengenali tuhannya.

AidulAdha tiba membawa ibrah menuntut pengorbanan dalam menjalani sebuah kehidupan. Kita tidak akan dapat menjalani kehidupan ini tanpa pengorbanan. Mahu menyuapkan nasi kedalam mulut juga memerlukan pengorbanan menggerakkan tangan. Apalagi mahu menjadi hamba Allah yang dierdhai. Pasti pengorbanannya lebih luas dari itu!

Buat jemaah haji di seluruh dunia, selamat menunaikan ibadah haji.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,: “Sesiapa yang mengerjakan haji, kemudian tidak mengerjakan dosa dan maksiat, nescaya ia bersih dari dosa-dosa sepertimana ia baru dilahirkan oleh ibunya”. 
(Bukhari dan Muslim)


Perasaan nan terkorban

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:

‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” ujar sahabat.
‘‘Itulah sunah daripada datukmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.
‘‘Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat lagi.
‘‘Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.

Bagaimana pula dengan korban perasaan. Mari kita meuniversalkan nilai korban anjuran Rasuallah s.a.w. 

Anak-anak muda sebaya saya pasti tidak akan terlepas dari belenggu perasaan. Pergaulan saya bersama rakan-rakan mendedahkan saya tentang dipresi mereka dalam pelbagai bentuk. Tanpa menafikan bahawa saya juga terlibat dengan itu.

Ada yang kerana cinta, ada kerana pelajaran, ada kerana dakwah. Ada kerana kewangan yang menghimpit, ana juga kerana tidak puas hati terhadap perkara remeh. Ada juga yang tidak tahu apa sebabnya.

Sejujurnya saya kagum dengan sahabat sebaya yang mengorbankan perasaan mereka mahukan kepuasan dalam menjalani kehidupan ramaja. Hidup mereka dipenuhi dengan menuntut ilmu dan kepayahan mencari dana tambahan. Itulah yang membentuk kematangan dalam kehidupan mereka.

Lebih jujur saya kagum dengan mereka yang menahan belenggu rona perasaan remaja yang minta disayangi dan ingin menyayangi. Perasaan ingin bertemu dan bermesra. Mereka yang telah menjadi tunangan, hanya berhubung melalui pesanan ringkas berkadaran sahaja. Walaupun dengan hanya sekerat mesej bertanya khabar dan taaruf pasti membuatkan mereka tersenyum sendiri. Kerena perasaan mereka dari dalam. Mereka melayari perhubungan itu dengan kasih sayang secara diam dan mengaturkannya pada masa yang sesuai. Pernikahan. 

Dan pengorbanan ini pastinya membuahkan kemanisan dipangkal seperti pengorbanan Ibrahim a.s.

Luaskan pandangan pengorbanan dalam pemerhatian kita. Berkorban masa, harta, tenaga, perasaan demi meneruskan legasi perjuangan Rasulallah s.a.w. Menuntut ilmu sepuas-puasnya, Itu juga pengorbanan yang dinilai oleh Allah.

Redha diatas perencanaan Allah juga suatu pengorbanan titipan daripada peristiwa Ibrahim a.s. Memberi yang termampu untuk kelangsungan sebuah peradaban Islam juga sebuah pengorbanan. Hatta sebuah korbanan perasaan dimasa muda, Ianya juga bernilai jika dipersembahkan dihadapan Allah kelak.

cute kambing ni

Selamat menyambut Hari Raya Qurban 1433 hijri.
Labbaika Allah Humma Labbaik!


walau kita tak pernah bertemu,
tapi sentiasa rindu,
Moga ada rezeki, 
iftirasy depan kaabah.

8 dzulhijjah 1433h
Taiping, Perak.

Friday, October 19, 2012

Insyirah

Beberapa minggu yang lalu, suasana di sini panas terik. Manakan tidak, baju di jemuran itu sebelum zohor sudah boleh diangkat.  

Berlainan pula dengan keadaan semalam. Kaki langit Kuala Terengganu diselubungi mendung seharian. Menanti bumi sama ada basah ditimpa hujan, atau mentari akan terbit kembali. Misteri.

Hari ini pula, hujan tidak berhenti sejak dinihari hingga hampir tergelincir matahari. Matahari tidak menerbitkan cahaya, awan gelap selubungi suasana, jalan tar basah dengan takungan air.

Saya teringat sesuatu pesanan, hujan kiranya kan dapat menyejukan bumi, panas pula beri harapan kepada tanaman, mendung pula memberi kerehatan bagi yang letih berpanasan dan yang sedang basah disirami hujan. Apabila kita menghargai sunnah alam, sisi-sisi postif akan timbul.

Itulah lumrah kehidupan. Keadaan kehidupan yang sering kali berubah-ubah, menyebabkan kita akan menghargai rimbun pokok untuk berteduh ketika panas mentari. Kita akan mensyukuri nikmat terik matahari yang memberi tenaga kepada tanaman untuk menghasilkan buah yang ranum. Kahidupan ketika mendung pula memberikan kerehatan bagi yang dibasahi hujan, dan ditikam kepanasan.

Perubahan alam juga adalah pentafsiran dalam kehidupan dan tanggungjawab kita. Tinggal sahaja kita mahu mencari sisi-sisi positif dan mengikis tanggapan negatif. Lumrah bagi pandangan manusia, kesempitan adalah sisi negatif yang menekan. Namun, adakalanya kelapangan adalah musuh utama yang memamah iman dari dalam.

“Perjuangan mengisi kemenangan adalah lebih payah dari perjuangan ketika dalam kesempitan kekalahan!” Kata-kata ustaz Nasruddin tahun lalu berlegar legar dalam kotak pemikiran saya.

Dalam medan mendidik diri dan nafsu, kita tidak dapat mengelak daripada menemui anasir yang menjadi pemangkin kepada kejatuhan diri, mahupun peningkatan diri. Adakala Kesenangan mendidik diri kita menjadi hamba yang benar-benar menyayangi Tuhannya. Kadangkala, diri kan jauh dibelai duniawi.

Kesusahan mendidik diri menjadi hamba yang sentiasa berusaha untuk memperoleh nikmat dari Tuhan.. Namun lebih sedih, kesusahan yang menjadi ujian itu dibalas dengan menderhaka kepada pencipta. Nauzubillah!

jalan yang masih jauh. 

Sunnah alam dan Sunnah perjuangan

Kita  dapat menterjemahkan sunnah alam dalam medan menyeru manusia kepada tuhan. Akan tiba masanya, medan itu akan gelap dilitupi mendung awan gelap, medan itu kan panas dipanah mentari, dan medan itu kan basah disirami hujan. Itu sunnah. 

Seorang yang mendidik diri dan mengislahkan manusia yang lain tidak akan terlepas daripada fenomena ini. Sifat seorang amilin, perlu tenang fleksibel dalam mengharungi setiap  flaksibeliti musim dalam medan mereka. Terus bergerak dalam kesusahan dan terus bertahan dalam kemenangan. Kerana kesusahan tidak menjanjikan habuan, dan kemenangan pula tidak menjanjikan immuniti dalam menghadapi ujian kesenangan.

Tidak gelojoh menghadapi kemenangan, tidak lemau dalam kepayahan kekalahan.

Mereka sangat ghairah dengan kemenangan akan terhukum dengan sejarah peperangan Uhud. Kerana sudah difikirkan menang, sebilangan pemanah Uhud meninggalkan pesan nabi.

Mereka yang sangat pasif pula akan terhukum dengan sejarah kejatuhan Negeri-negeri tanah Melayu yang jatuh ditangan kuasa kolonial hanya dengan sehelai surat perjanjian yang ditandatangani.

Dia yang berhak memberi!

Saya teringat sewaktu berada dalam satu program motivasi, seorang sahabat saya seringkali membacakan doa ini dengan gaya yang tersendiri. Bila menyingkap bait-bait doa ini, saya dapat suatu mesej. suatu keindahan dalam berusaha, suatu tarikan optimistik dalam perjuangan.

Berusaha dengan mengaharapkan campur tangan Allah atas sesuatu usaha dan gerak kerja. Mencari ibrah disebalik setiap keadaan yang bersifat menghalang. Hal ini akan menyebabkan kita tak jemu dengan suasana mendung, semangat takkan lekang dek hujan, dan tetap bertahan dalam kepanasan.

Berusaha dan janji Tuhan itu akan dipenuhi.
Just need to be calm.

اللهم لا مانع لما اعطيت ولا معطي لما منعت
ولا ينفع ذا الجد منك الجد

“ya Allah tiada siapa yang bisa engkau halangi jika engkau bermaksud memberi,
Tiada siapa yang engkau memberi jika engkau bermaksud menghalangi.
Tiada berguna segala kekayaan, kekuasaan, status, dan anak bagi seseorang
kerana semua itu datang daripadamu. –Imam Nawawi.

Ibnu Jarir meriwayatkan ketika kaum musyrikin melecehkan kaum muslimin dengan kemiskinan harta dan tenaga yang menimpa mereka, Rasulallah kemudian bersabda, “Berbahagialah kalian kerana kemudahan telah datang kepada kalian. Ketahuilah sesuanggungnya suatu kesulitan tidak akan pernah mengalahkan dua kemudahan.” Maka turunlah surah yang mendidik manusia.

Rasulallah s.a.w menyatakan, kemudahan telah datang ketika kemiskinan datang melanda. Nampak sesuatu yang berbeda dengan sifatnya. Sangat Ironi.

Bebanan tanggungjawab ialah sunnah bagi yang memilih medan dakwah. Sedang Rasulallah hampir patah tulang punggungnya menggambarkan bebanan yang diperolehi. 

Dan setiap sesuatu tidak perlu difikirkan mengapakan ianya susah, mengapakan ianya senang mengapa adanya halangan. Kita hanya perlu mengisi dan terus mengisi dan mengisi. Mengambil Ibrah dari surah Al Insyirah,

Insyirah yang indah.

"Bukankah kami telah lapangkan dadamu (Muhammad)? Dan kami menurunkan bebanmu darimu. Yang memberatkan pinggulmu. dan kami tinggikan sebutan (nama)-mu bagimu, Maka dengan sesungguhnya bersama kesulitan adanya kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan adanya kemudahan. Maka apabila selesai, tetaplah berkerja keras (untuk urusan lain). Dan hanya tuhanmu engkau mengharap."
Walau masin air laut, tidak akan dapat memasinkan isi ikan. Walau busuk bau baja tidak akan busuk buah yang ranum. Walau talah dijanjikan kemenangan, bara api masih ditangan. Itulah erti kematangan dan kebahagiaan dalam urusan.




Insyirah binti Muad’z
Sedap juga nama ni…
19-10-2012
Bilik no.2, Dalam hujan.
اللهم صلى على محمد

Wednesday, October 3, 2012

Bicara buku:“kucing ustaz pagi tadi masak nasi goreng”.

Rasulallah berkata, “kenikmatan pertama yang perlu dipertanggungjawabkan oleh hamba Allah pada hari kiamat adalah berupa pertanyaan, bukankah kami menyihatkan tubuh kamu dan kami hilangkan dahaga kamu dengan air yang dingin?”


Rasulallah menyambung,

“tidak ada seorangpun diizinkan bergerak daripada kedudukannya pada hari kiamat sehingga dia menjawab bagaimana dia menghabiskan hidupnya, bagaimana dia menggunakan pengetahuannya, dari mana dia memperoleh dan kemana dia membelanjakan hartanya dan bagaimana dia menggunakan kesihatannya”



Riwayat Imam Tarmizi.

Buku DR. Adi Hashman.


Pagi itu seperti biasa saya punyai masa senggang selepas kelas dibatalkan last minute. Seperti biasa saya selalu jadi lebai malang dalam informasi kelas saban semester. Dah masuk kali ke-8 sepanjang saya belajar. Sama ada salahnya saya tidak bertanya melalui sms seperti “hari ni kelas ada ke batal? ” atau saya ter-dianaktiri-kan lalu tidak dimaklumkan. Manakan tak terasa kecewanya, bangun dengan penuh semangat untuk hadir ke kelas, bersarapan telur separa masak bersama roti kosong dan secangkir kopi o pengecas tanaga, sambil mendengar kuliah subuh tafsir ustaz Zahazan di IKIM.FM. Kemudian siap-siap terus ke kelas. Sekongyong-konyong, kelas lengang. Bila ditanya, kelas batal. Terasa seperti diberi harapan palsu bersama janji yang tidak ditepati.


Seperti biasa saya akan menyerang bilik pensyarah untuk menyibukkan diri kala senggang.

Asalamualaikum ustaz,
“ye masuk,masuk.. oh enta.. mari cepat ana ade kelas kekgi ” sapaan sambil tersenyum Dr Wan Yusuf.

 “oo ok ustaz, Jap…ana saje je nok jumpe ustaz, nak tanye-tanye skek” saya terus bertanya beberapa perkara, membuat janji beberapa hal.


Lalu saya mencelah,
 “ustaz, ada buku baru lagi? Buku yang ustaz cadang ana baca? Ana nak cari.”

 “hemm enta cari buku Rasulallah tak pernah sakit, tulisan seorang doktor dari Indonesia. Enta cari buku tu hadam gaya bahasa nye, bagus. Sesuai untuk tulis tesis Bahasa Melayu kalau enta nak tulis Bahasa Melayu akan datang.”


Baru-baru ini, saya menjumpai buku yang diperkatakan, agak lewat dan terasa ketinggalan zaman. Saya memilikinya ketika ulang cetak ke lapan,sembilan dan sepuluh, tahun 2012. Namun perlu diingat kepada penagih penagi-penagih buku, penyakitnya mereka ada satu. Ghairah membeli buku, tidak sempat khatam, lalu terus nafsu mengajak untuk membeli buku baharu lain.

Buku ini berkenaan dengan kajian saintifik dan syariatik kesihatan Rasulallah s.a.w, dari perilaku ibadah khusus seperti solat, kesan membaca al Quran, Kesihatan dan kaitan tidur cara Rasulallah, pengaruh doa dalam kesihatan, kajian antara biologi dan psikologi.  Ada juga berkenaan dengan ‘you are what you eat’.  Paling menarik, kupasan ‘Jepun negara Islam yang tidak punyai orang Islam’.

Kupasannya khusus ala-ala kupasan Ustaz Hasrizal dalam tulisan di blognya syariatik saintifik mengenai pemakanan. 'Halalan toyyiba' bukan sahaja halal lagi baik secara tekstual, namun ia juga halal, berkhasiat dan bersesuaian. Adakala otak lembu, gulai kambing, Sup gearbox  itu halal tetapi tidak toyyibah kepada yang punyai penyakit darah tinggi.

 “alah tak apa lah aku makan sup otak lembu ni, walaupun pakcik darah tinggi 130/80 keatas kelmarin, tak de apalah. Sebab ini daging Hari Raya Aidil Adha, insyaAllah takkan kena lah. Tak kan ade effect sebab daging korban” kata Pak Abu.

Nah, esok harinya qaryah surau menempah bas untuk rombongan ziarah Pakcik Abu di ICU Hospital Negeri.


Buku cadangan Tuan Pensyarah
Karya Dr. Adi Hashman, Mengapa Rasulallah tidak pernah sakit, diizin cetak kepada PTS, ditulis semasa beliau bekerja sebagai doktor praktikum. Beliau pakar anestesiologi di fakulti perubatan UNHAS, Indonesia. Karya ini sangat menarik untuk dibaca. Lebih lebih lagi karya dari seberang, bahasanya puitis. Sebab itu kadangkala lagu dari Indonesia lebih sedap dedengari kerana bahasanya puitis. Saya antara yang meminatinya, seperti opick, waliband dan yang seangkatan. Saya cadang anda membelinya.

Ghairah. InsyaAllah Jakarta dan pesta bukunya menanti saya tahun hadapan. Allahumma Ameen.


Belum baca, jangan mudah buat kesimpulan.


Kadangkala penyakit ini biasa, seperti saya pernah bertanya kepada beberapa kenalan saya mengenai kerenah beli tak habis baca ;


“beli je dulu. nanti nta akan ade masa nak baca. First, kena beli dulu.” Kata Dr. Irsyad di kampus Kota.


Ada juga sambil tersenyum, “ko beli je dulu, waktu pre-graduate ni la nak beli buku, lepas tu kita akan guna buku tu untuk guna akan datang” sambil bersembang di surau Mid Velly Megamall bersama rakan lama.


Namun perlu diingat ia tetap satu penyakit lebih lagi penyakitnya kepada orang yang cari penyakit.


Penyakit yang seolah-olah tamak seperti watak Saddiq Sigaraga yang bingkas menanda tangani perjanjian ‘kalau marah nanti kena jual’ bersama Abdul Wahib dalam babak filem Tiga Abdul arahan P.Ramlee. Laju benar spekulasi nya. Cepat benar dia fikirkan Abdul Wahib serupa sahaja pertimbangan dengan abang-abangnya. Akhirnya dia pula yang di dijual kerana cepat menghukum dan menyamakan orang. Akibatkan tidak meneliti perjanjian, bodoh dalam penipuan.



Saddiq sigaraga bersama tuan husin pantalot, menganggap
Abdul Wahib sama sahaja. "25 persen.." 

Buku jua ditulis oleh penulis yang berbeda-beda, ada kalanya kulitnya tertera perkataan cinta. Namun isinya memberi amaran dan seolah-olah wake-up call bagi sesiapa yang mahu menambah tanggungjawab yang baru,bernikah. Cuba baca Murabbi cinta. Nikah itu bukan semudah yang disangka. 

Setiap penulis punyai cara penyampaian dan fikrah mereka tersendiri. Sikap tidak habis membaca, lalu kelam-kabut membuat kesimpulan, akan terjadilah gejala  melebel tulisan dan  penulis sesuka hati. Wujudlah manusia seperti di sebuah kampus, orang yang mengkufurkan penulis kitab ibnu taimiyyah, tafsir ibnu kasthir dan tulisan ulama’ muktabar yang lain.

“ana cari kitab kat pustaka ni semua tak boleh guna lah, wahabi belako! Kitab kitab tafsir-tafsir sep-sep wahabi belako nih. Wahabi kufur.” Bunyi yakin dengan kata-katanya.


Afifi geram. Saya mendengar, mengetap geraham, kalau diikutkan hati, mahu saja Nokia-X2 ini singgah ke  dahinya. Apa yang dia baca, dengan siapalah yang dia mengaji, inilah lebih tok guru dari tok guru. Dengan hanya mengeja kulit buku,boleh mengetahui mazhab fahaman pendirian penulis. Kasyaf baru kes kedua di Malaysia.


Belilah buku, andai mahu mengulasnya, perlukan penghadaman dari kulit ke kulit dengan baik. Andai mahu dijadikan koleksi, sekurang kurangnya koleksi itu dibuka acap-kali.
Dalam memahami isi buku, fahami bait dan seni penulisan dan setiap hirisan fakta penulis. Pasti kita akan dapat membaca apa yang ada pada setiap pemikiran penulis berbeda-beda. 


Dengan garapan pembacaan yang banyak, berat mahupun ringan, kita akan dapat mencantum padu idea-idea penulis hebat menjadi indentiti penulisan kita yang tersendiri. Maka akan lahirlah penulis yang terbaik. Bak kata Pak Samad pejuang rakyat, perlu baca, kemudian baca, dan kemudian baca, lalu baru menulis.

Sewaktu saya menjadi peserta Ijtimak tarbawi di Taman Melewar tahun lalu, saya sempat mendengar kuliah subuh Ustaz Tuan Ibrahim. Kala Subuh yang hening dan kuliah yang terasa ke‘izzahan, saya kaget mendengar,


“kajian dewan bahasa pustaka menunukkan orang melayu membaca 2 mukasurat setahun. Sebab itu sekarang ini kena buat filem berbentuk visual”

Dua muka surat setahun?Umat Islam, Bacalah.
Bangsaku, Bacalah.

“kucing ustaz pagi tadi masak nasi goreng”.


Hari itu, saya bersemangat untuk mengajar. Hanya 2 jam untuk mengajar subjek pendidikan islam kepada murid pendidikan khas. Kelas anak murid istimewa kesayangan saya. Sebelum masuk, saya bersarapan dulu di kantin.


“ustaz muadz, ustazzz, cepatla masuk kelas kami, dah tak sabar dah ni…!!” jerit aiman melompat-lompat sambil mensembamkan mukanya di cermin kantin guru.


Kesihatan mereka tak sempurna, namun semangat menuntut ilmu hebat. Menurut buku Dr Adi, konsep kesihatan ialah keseimbangan secara sihat. Tubuh kita sentiasa menjaga status keseimbangan dengan mekanisma canggih kurniaan tuhan. Hampir 99% tubuh manusia lahir dalam keadaan yang sihat. Kita hidup dalam suatu garis keseimbangan sempit yang sentiasa dipertahankan. Mekanisma Homeostasis ini lah diperlukan untuk menjalankan organ kita dengan baik. MasyaAllah.


Allah juga menerangkan keseimbangan ciptaannya dalam ayat al Quran mengajak manusia untuk melihat bagaimana keharmonian keseimbangan dalam ciptaan waima kesihatan.



Ayat mengenai keseimbangan ciptaannya "jika kamu ragu ragu ulangilah pandanganmu, masihkan terdapat sebarang cacat?"
  Meskipun keseimbangan dari sudut kesihatan fizikal mereka tidak stabil,mereka gemar bercerita. Ada murid yang pada mulanya bercerita prihal balik kampung, menaiki kereta atas jalan raya, kurang dua saat tiba tiba topiknya diubah 370 darjah kepada cerita rupa kucingnya di rumah yang sangat manja. 

Namun apa yang saya pasti, EQ dan IQ mereka ada yang lebih hebat dari manusia yang normal. Mereka kreatif dalam seni. Mereka bersemangat menulis walaupun mereka tahu huruf yang ditulis itu terbalik, mereka gagahkan juga menggenggam pensil.


atikah bersama bondanya
Jam melangkaui 8.10 pagi. Masa untuk beraksi di kelas pendidikan khas. Setelah salam diberi, saya mula dengan satu kisah.

“kamu nak tau tak, pagi tadi kucing ustaz bangun pagi kejut ustaz pastu kucing ustaz masak nasi goreng kat ustaz, pastu dia buat air milo untuk ustaz sedap….”


Semua ketawa terbahak-bahak,
“ustaz tipu, ustaz tipu…kucing mane boleh masak” Aina menjawab sambil tergagap gagap benar.


“ok, ok, ustaz saje je nak bagi kamu segar. Ok kelas, semua ambil iqra satu!!”


Mereka Istimewa, walau kesihatan mereka tidak stabil, mereka tidak boleh ditipu. Kita punyai kesihatan yang utuh, perlu membaca agar tidak mudah ditipu, menguruskan harta supaya tidak menipu dan ditipu, menjaga kesihatan agar tidak bisa tertipu dengan tubuh sendiri seperti sabdaan awal diatas.


 Supaya bisa tubuh ini menjawab di hari akhir nanti, Kesihatanku, masaku, hartaku, pengatahuanku, digunakan untuk mengabdikan diri kepadamu, memberi yang makruf buat makhlukmu, mengasah pemikiran untuk berjihad di jalanmu.
  


Fatrah imtihan.
Bacalah dengan nama tuhanmu.
Gong Badak, K.Terengganu
2012-10-03


والله المستعان