Wednesday, November 20, 2013

yang terpuji. yang teruji.


tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, 
penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang dan derita 
sehingga jika sebatang duri menikamnya kecuali ALLAH
 memadamkannya dengan itu semua dosanya.
-riwayat al bukhari.


Masa terus berputar meninggalkan manusia yang ralit dalam dunianya. Bulan terus beredar dengan setiap rupa parasnya. Musim terus berubah suhunya. 

Ruang Fikir: Buka mata sebelum mata

Tanah kering Mafraq ketika saya tiba di sini panas berbahang. Lokasinya di tengah sahara sering kali dianggap 'underdog' walaupun dikalangan arab sendiri. Namun saya masih mampu senyum sendiri betapa nikmatnya dan hikmahnya Tuhan yang maha tahu meletakkan saya di sini. Saya seorang berjiwa kembara. Pantang diam seminggu, kaki sudah terasa 'gatal-gatal' untuk keluar merenung alam. melihat ragam. Seminggu sekali ke Amman, Irbid kadang kala bersendiri hingga ke Salt terus ke Muktah.

Lokasi Mafraq terletak diantara dua bandar besar, Amman dan Irbid. 40 minit ke Irbid sejam pula ke Amman. Stratergik bagi saya. Untuk 'berderak' ke mana-mana berbanding jika menetap kekal di bandar mahupun di hujung dunia Jordan, Muktah. Sesekali terfikir sebenarnya apa yang Allah rancang untuk kita kadang kala lebih baik dari perancangan kita sendiri.


pemandangan perjalanan irbid-amman


Kini panas berbahang kian surut dengan kehadiran musim sejuk mendingin.

Begitu juga pandangan yang terzahir kepada saya baru-baru ini. Hubungan jenama 'assalafy' dengan 'alkhalafy' masih dalam kepanasan hujah cacian di laman sosial, masih dingin dalam perhubungan persaudaraan muslimnya. 

Kadangkala jauh di benak saya adakah hal ini akan terus menjadi persoalan tanpa noktah, apakah isu ini akan terus bergenerasi sehingga kiamat membatasi.

Jasad kita memerlukan keseimbangan rohani dan akal. Manusia tidak mampu menipu atas nilai emosional dalam beragama. Selain majlis bersalawat, berdzikir mengingati perjuangan nabi sahabat dan para salafussoleh, nilai rasional juga perlu atas penyeimbangan tugas kehidupan diatas muka bumi ini. 

Nabi tidak diutus untuk meratib ke gua. Nabi juga tidak dutus untuk umatnya hanya boleh pilih satu antara dua, jalan menuju tuhannya.

Begitu diatas hujah-hujah panas, copy dan paste hadith dan ayat alquran, di laman sosial saya kira tidak sesuai untuk dijadikan pentas hujah para ilmuan. Bagaimana jika orang awam berpemikiran awam membaca cemuh-cemuh orang berilmu? Apalah salah untuk berhujah di atas meja bersama rujukkannya, bertentang mata, meluah rasa, berkongsi persamaan. Melerai perbezaan.

Buka mata sebelum mata.

" dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak punyai pengetahuan terhadapnya
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan fu-aad, kesemua itu
akan diminta pertanggungjawabannya" (al-Isra' : 36)


Kalimah al-fuaad, telah banyak diperbahas dikalangan ulama. Perbincangan dikalangan ilmuan dimanakah letaknya akal. Adakah di otak ataupun di hati:jantung sudah cukup rumit untuk diperbahas. Cukup untuk kita kata secara 'atas permukaan' airnya, berfikir dan mempertimbangkan secara mendalam. atas rasional akal, atas kejernihan hati.

Betapa spesifiknya Tuhan melarang kita mengikuti suatu hal tanpa proses pengetahuan dan penelitian, atas semua pancaindera. Mata melihat, telinga mendengar, dan fu-ad (mata hati) untuk menilai segala proses pemilihan dalam hidup. Dan ia akan dipertangungjawab!

Apa yang akan terjadi jika hanya mata melihat, sementara fu-ad (mata hati), dan pendengaran tidak berfungsi? Tentu sahaja hanya yang cantik di pandangan mata yang akan dipilih.

Apa pula jika hanya mendengar? Hanya yang sedap didengar mungkin akan dituruti. Begitu juga dengan mata hati (fu-aad) tanpa rasionalnya penglihatan dan pendengaran jua boleh membawa binasa.

Ternyata begitu sekali Allah memberi option untuk kita memilih berdasarkan penilaian yang terbaik atas pancaindera yang dikurniakan. Umat yang berpegang pada kitab Tuhan tidak harus untuk mengikut ekor buta-buta. Mahasiswa baru kebiasaannya akan terperangakap atas hal ini. Memilih 'jalan' mana yang dirasakan terbaik untuk akhirat-dunianya.

Drama dan movie: sisi bengkok dan lurus.

Prof.Dr Yaasin menerangkan tentang psikologi gender: lelaki perempuan
(men are from mars woman are from venus) dalam subjek undang-undang keluarga dan perkahwinan Jordan.

"ini ialah norma kehidupan. Bagaimana wanita selama-lamanya tidak akan sama dengan lelaki, dari sudut daya pemikiran, dan perwatakkan. Penting untuk kalian bersyukur atas apa yang Allah beri. Bacalah buku John Grey, 'men are from mars, woman are from venus'. Kamu mahu melengkapkan agama dalam perkahwinan, perlu jua kamu melengkapkan dalam fikiran bagaimana mahu menghadapi hidup bersama...orang yang bukan...sama spesis dengan anda..." ulas Prof.Dr. Yaseen dalam kuliah 'Qanun Keluarga'. 

Saya bersama sekelas bergelak-tawa.

Dalam perilaku terpuji akan ada yang menguji. Hidup mahupun perhubungan, bukan semudah dan seindah drama televisyen. Pengarah movie dan drama, menyusun plot cerita berdasarkan kepuasan penonton, genre dan trend penonton dalam sesebuah negara. Sedangkan kehidupan adalah penyusunan tuhan.

Drama kurang mendidik telah membawa 'bah' besar. Mr. Arrogant, Suami aku seorang Playboy menjadi keghairahan manusia mencari plot kehidupan bahagia mereka. Silap langkah berlakulah kekacauan keluarga dan rumahtangga, hanya kerana suamiku tidak seromantik suami dalam drama, isteriku tak semanja dalam movie. Benar-benar teruji. Bala manusia mencari kebahagiaan tanpa pancaindera.

Moga bahana skrin ini bagaikan bicara atau sapaan Allah agar kita ingat apa yang kita lupa, ubah apa yang salah, tambahkan pahala dan padamkan dosa. Artis yang telah 'berhijrah' itu perlu terus bersama dalam pembikinan karya yang jujur mendidik luhur manusia supaya mencari kunci bahagia mereka. Kita tidak perlu membuang apa yang menjadi hiburan. Tapi kita masih berpeluang membina, melalui hiburan.

Yang terpuji, yang teruji

Tanah Mafraq yang sedang saya injak ini punyai banyak cerita yang terpuji. Kenangan kembali ke zaman sekolah rendah, menaiki bas ke kuliah. Punyai kenalan yang berbudi terutamanya dari Palestin dan Turki, Suasana ilmu, perbincangan turath agak subur, dan pensyarah yang supportive kepada ajnabi. Namun tidak sunyi juga dari ujian.

Begitu juga keadaannya baginda Rasullallah dalam menjadi orang yang terpuji, baginda 'alayhi solatu wassalam tidak sunyi diuji.

Dalam Kayuhan perjalanan kehidupan ini sebenarnya telah membawa kita ke sebuah daerah untuk kita berfikir dan meneliti, sejauh mana kekuatan kita untuk berada di setiap tempat yang Tuhan utuskan. 

Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Melihat manusia yang terpuji menjadikan kita berasa mahu terus maju dengan ilmu dan kehidupan.

Melihat saudaraku pelarian syria yang kesempitan dan derita dizalimi, di tepian jalan meminta-minta bekalan makanan, menyebabkan terlintas segera dalam perasaan "disisi Allah mungkin dia lebih baik dari diriku ini".

Terperanjant dengan wayar pam air, yang membekalkan air di rumah digunting tetangga arab. Hanya kerana ketidak-puasan hati bekalan airnya lewat dipam. Dalam kemarahan saya yang meluap, terlintas di fikiran "mungkin ini kafarah Allah beri atas perbuatan jahatku dahulu. Tuhan ampunkan aku."

Kita semua akan melalui bicara dan didikan Tuhan melalui pentas ini. Kita mengharapkan ujian akan membawa kepada sesuatu yang baik, seperti membawa Musa alayhissalam kepada pelbagai kurniaan. Seperti doa Musa 'alaihissaalam...


"wahai tuhanku sesungguhnya aku ini fakir kepada apa sahaja yang engkau turunkan". 



20 november. 1512.
Mafraq.

*tajuk diinspirasi dari blog penulis Indonesia, Sallim a. fillah.

Sunday, September 22, 2013

“wahai penuntut ilmu. Bercahayalah seperti bulan.”

“Wahai penuntut ilmu…jadilah kalian...”

Doktor, Pres. Kulliah Syariah Al-albayt University sedang menyampaikan ucapan.

Majlis penutup minggu taaruf siswa. Saya di orientasikan buat kali ke-3 di ipt selepas matrikulasi dan UniSZA. Meskipun umur masih mahasiswa, terasa seperti mahasitua. Kebanyakan pelajar baru di sini baru selesai spm, sudah merantau ke negara orang. Saya yang seusia dengan pelajar tahun tiga bagai rusa masuk kampung tercengang-cengang. Itulah hakikat kehidupan, setelah berada di persimpangan, kembali mula di garisan awal.

8 dzulqa’edah 1434 hijri, persiapan ala kadar bersama expectation yang biasa. Saya sudah serik memasang expectation yang tinggi dalam bidang ini, kerana ‘expect the unexpected’ telah menjadi inzar penting  sejak di UniSZA lagi. Tambah pula rasa tawarnya apabila perjalanan ini tanpa sahabat yang direncanai bersama.  Semangat masih memberi nafas. mungkin babak baru ini, babak paling berharga dalam hidup.  Jam 0315 saya terbang ke Kuwait. Lalu terus ke Amman bagi menyambung nafar ilmu yang tak pernah sudah.

Pagi itu membelek kembali sebuah buku yang dibeli sewaktu darjah 6 (2004). Siap tertera tarikhnya. Ogos 2004. Berhabuk. Buku prof sidek baba, berjudul "Seteguh Tekad". Kembali membelek beberapa kali. Melihat semula sebuah lukiskan seorang budak darjah enam di muka surat paling belakang. tergambar wajah seorang yang sedang memakai kot, bersongkok dan berlatar belakang sebuah kereta. Tertulis nama di bawah lukisan itu “Dr.Muadz phd syariah dan usuluddin di universiti Jorden”. Masa itu, entah tau entah tidak usuluddin tu apa, entah tau entah tidak tempat itu di mana. Lucu.

ber-bola depan kuliah.

Satu hari pada zaman anak-anak pernah bersoreh bersama emak.

“nanti kamu masuk ke sekolah asrama penuh ye, nanti boleh kenai ramai kawan-kawan negeri-negeri lain, kan seronok”
“lepah asrama, mak nak suruh belajo kat  mana pulak mak?”
“lepas tu belajo le ke luor negara pula. Boleh kenai orang luar negara pulak. nanti kamu belajar di….”

Makbul kata-kata ibu saya berada di sini. Doa sebuah lukisan juga boleh jadi saya ke sini. Doa rakan sahabat juga boleh jadi saya memijak bumi ini. Hanya Allah mengetahui rencananya yang tersembunyi.

Meminjak tanah syam  pernah dilalui nabi. Berjiran dengan Palestin, Syira, Haramain, bumi kinanah Mesir. Bahu saya di siku orang sebelah. 

“ustaz..oo ustaz.. tersenyum termenungkan siapa tu? haishh teringatkan siapa tu? Haaa”.
Saya membalas dengan senyuman.

Duktur masih berucap. Penting isinya.

Malizi: Bulan yang segan.

Duktur seolah memandang tepat beberapa kali ke wajah saya yang mengangguk-angguk.

“jadilah kalian yang menuntut ilmu ini seperti bulan. Menerangi kegelapan malam yang kelam. Bulan yang menyejukkan pandangan mata masyarakat. Bulan yang cantik dipandangan seperti  yang termaktub dalam syair-syair yang memuji keindahan bulan. Bukan jadi matahari yang menyilau dan menyakitkan mata memandang. Bukan jadi matahari yang meski cahaya namun bersama bahang panasnya kepada masyarakat. Kerana kamu akan menjadi penyampai ilmu ini apabila kamu tamat pengajian nanti. Jangan menyusah-nyusahkan, mudahkan. Berikan khabar gembira bukan khabar duka.”

Begitulah yang diharapkan. Bulan yang memberi kelembutan dalam menyampaikan dan mengislah. Bulan bukan sekadar menerangi, juga cantik di mata. Sudah tiba masanya pelajar pengajian islam kini perlu menjadi pandangan orang cantik dari segala segi. Bukan hanya bisa menyampaikan kuliah, boleh juga menganalisis ekonomi, bertutur dalam bahasa inggeris, cekap handle teknologi maklumat.

Ucapannya disambung dengan teguran,

“kebiasaan pelajar Malaysia, adalah pendengar yang sangat baik… Namun kebaikannya yang tiada respon. Kamu sangat pemalu. Sangat pemalu dalam bertanya sangat pemalu dalam memberi respon. Ini seperti mesin. Ini bukan yang kita mahukan. Saya berharap intake ini tidak begitu. Supaya lebih hidup suasana ilmu yang diidami”

Sesekali dalam menilai perilaku hodoh arab. Perlu juga menilai sisi bodoh sombong kita.


“sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa-apa yang ada pada jiwa mereka…” (arra’d :11)

Saya termakan dengan kata-katanya. Ucapannya ditutup dengan meyakinkan bahawa syurga menanti bagi penuntut ilmu. Istighfar dari segenap makhluk langit bumi juga buat penuntut ilmu ilahi.

Kembara ilmu di bumi syam

Tetamu di dataran syam, jalan cinta sang pejuang. Memahami wahyu, agar perjalanan hidup ini atas dasar cinta. Cinta bekalan untuk memenuhi tugas sebagai hamba Allah. Cinta untuk beribadah dan mengelolai karunianya yang maha banyak. Cinta untuk menyatukan, bukan menyempitkan. Cinta untuk memberi, bukan memaki. Cinta untuk ummah bukan centric.

Kata imam assayfie, 
tinggalkan negeri itu dan merantaulah ke negeri orang,
Merantaulah kau akan dapati pengganti kerabat dan kawan. Berlelahlah, kerana manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang.

Tetamu di Dataran Syam ini,
Harus gagah seperti Abu Ubaidah,
Tanah yang gersang disuburkan
Dengan darah jihad dan jiwa pahlawan

Di celah pohon yang zaitun yang rendang,
Bersemadi syuhada’ pahlawan Islam,
Menanti dan terus menanti,
Hadirnya barisan waris perjuangan.

Lagu / Lirik / Nyanyian : Hasrizal Abdul Jamil


Saya tahu. Saya bukan sehebat generasi penuntut dahulu yang berada di sini. Izinkan saya menumpang teduh, mencari damai, dengan kesibukan ilmu.

Bismillah
Allahumma solli 'ala sayyidina muhammad.




21 september
albayt. Mafraq.

“wal fadang fasiru”

Tuesday, September 10, 2013

perjalanan hidup ini. kadangkala kita lupa.

Dalam kita menjalani satu demi satu bab dalam kehidupan seharian. Jarang kita fikir untuk kembali semula kepada nilai apa yang mahu kita bawa. Adakah ia hanya ghairah atau kita dapat melaluinya dengan fitrah.

Nabi pernah mengingatkan, prihal kehidupan ini,

"Saya di dunia ini bagaikan penunggang kenderaan yang berehat di sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya." (attarmizi)


kita sering lupa tentang hakikat itu. Kita sedang bermusafir menuju ke satu destinasi. Perjalanan dunia ini terlalu pantas. Anak kecil telah menginjak dewasa. Dewasa sudah berubah tua. Si tua sudah berbatu nisan.

Kata Abdullah bin Umar,

Rasulallah memegang bahuku lalu berkata,  
"Jadilah kamu di dunia ini bagaikan orang asing, ataupun seorang musafir"

Kita sering dilalaikan atau terlalai, dengan hal mengejar ijazah, politik, kuasa, harta, keluarga, persatuan, masayarakat, parti hingga terkadang kita lupa apa tujuan keberadaan kita dalam semua itu.

sebagai bekalan perjalanan atau sebagai beban dalam perjalanan?

Syurga kompas kita. Bagaimana kita menggunakan kompas hidup ini, agar tidak terlajak jauh. Bagaimana jiwa dan perasaan kita perlu dikawal, sehingga kita dapat melihat kekerdilan dunia dan keraksasaan akhirat. Justeru hati akan reda dengan segala ombak duka ataupun keserabutan jiwa.

Apa yang mahu dikejarkan? Untuk apa kita terlibat dalam semua ini?

think.


Moga setiap perjalanan kita atas suci fitrah manusia. Moga kita tahu apa yang kita tuju dalam kembara kehidupan ini.

Kembara Ilmu.


uniSZA. pernah mengaji sini dulu. 3 tahun.

Kembara ilmu selaut cahaya.
Milik tuhan tiada bertepi.
Diselam tak jejak ke dasar.
Ditimba tak luak setitis.

Pesan murobbi, guru, sahabat dan teman,
Menjadi bekalan dalam kembara ilmu berpanjangan.
Suka duka resah gelisah,
akan ku ubatinya dengan kalam mereka,
"sirru 'ala barokatillah"