Friday, October 19, 2012

Insyirah

Beberapa minggu yang lalu, suasana di sini panas terik. Manakan tidak, baju di jemuran itu sebelum zohor sudah boleh diangkat.  

Berlainan pula dengan keadaan semalam. Kaki langit Kuala Terengganu diselubungi mendung seharian. Menanti bumi sama ada basah ditimpa hujan, atau mentari akan terbit kembali. Misteri.

Hari ini pula, hujan tidak berhenti sejak dinihari hingga hampir tergelincir matahari. Matahari tidak menerbitkan cahaya, awan gelap selubungi suasana, jalan tar basah dengan takungan air.

Saya teringat sesuatu pesanan, hujan kiranya kan dapat menyejukan bumi, panas pula beri harapan kepada tanaman, mendung pula memberi kerehatan bagi yang letih berpanasan dan yang sedang basah disirami hujan. Apabila kita menghargai sunnah alam, sisi-sisi postif akan timbul.

Itulah lumrah kehidupan. Keadaan kehidupan yang sering kali berubah-ubah, menyebabkan kita akan menghargai rimbun pokok untuk berteduh ketika panas mentari. Kita akan mensyukuri nikmat terik matahari yang memberi tenaga kepada tanaman untuk menghasilkan buah yang ranum. Kahidupan ketika mendung pula memberikan kerehatan bagi yang dibasahi hujan, dan ditikam kepanasan.

Perubahan alam juga adalah pentafsiran dalam kehidupan dan tanggungjawab kita. Tinggal sahaja kita mahu mencari sisi-sisi positif dan mengikis tanggapan negatif. Lumrah bagi pandangan manusia, kesempitan adalah sisi negatif yang menekan. Namun, adakalanya kelapangan adalah musuh utama yang memamah iman dari dalam.

“Perjuangan mengisi kemenangan adalah lebih payah dari perjuangan ketika dalam kesempitan kekalahan!” Kata-kata ustaz Nasruddin tahun lalu berlegar legar dalam kotak pemikiran saya.

Dalam medan mendidik diri dan nafsu, kita tidak dapat mengelak daripada menemui anasir yang menjadi pemangkin kepada kejatuhan diri, mahupun peningkatan diri. Adakala Kesenangan mendidik diri kita menjadi hamba yang benar-benar menyayangi Tuhannya. Kadangkala, diri kan jauh dibelai duniawi.

Kesusahan mendidik diri menjadi hamba yang sentiasa berusaha untuk memperoleh nikmat dari Tuhan.. Namun lebih sedih, kesusahan yang menjadi ujian itu dibalas dengan menderhaka kepada pencipta. Nauzubillah!

jalan yang masih jauh. 

Sunnah alam dan Sunnah perjuangan

Kita  dapat menterjemahkan sunnah alam dalam medan menyeru manusia kepada tuhan. Akan tiba masanya, medan itu akan gelap dilitupi mendung awan gelap, medan itu kan panas dipanah mentari, dan medan itu kan basah disirami hujan. Itu sunnah. 

Seorang yang mendidik diri dan mengislahkan manusia yang lain tidak akan terlepas daripada fenomena ini. Sifat seorang amilin, perlu tenang fleksibel dalam mengharungi setiap  flaksibeliti musim dalam medan mereka. Terus bergerak dalam kesusahan dan terus bertahan dalam kemenangan. Kerana kesusahan tidak menjanjikan habuan, dan kemenangan pula tidak menjanjikan immuniti dalam menghadapi ujian kesenangan.

Tidak gelojoh menghadapi kemenangan, tidak lemau dalam kepayahan kekalahan.

Mereka sangat ghairah dengan kemenangan akan terhukum dengan sejarah peperangan Uhud. Kerana sudah difikirkan menang, sebilangan pemanah Uhud meninggalkan pesan nabi.

Mereka yang sangat pasif pula akan terhukum dengan sejarah kejatuhan Negeri-negeri tanah Melayu yang jatuh ditangan kuasa kolonial hanya dengan sehelai surat perjanjian yang ditandatangani.

Dia yang berhak memberi!

Saya teringat sewaktu berada dalam satu program motivasi, seorang sahabat saya seringkali membacakan doa ini dengan gaya yang tersendiri. Bila menyingkap bait-bait doa ini, saya dapat suatu mesej. suatu keindahan dalam berusaha, suatu tarikan optimistik dalam perjuangan.

Berusaha dengan mengaharapkan campur tangan Allah atas sesuatu usaha dan gerak kerja. Mencari ibrah disebalik setiap keadaan yang bersifat menghalang. Hal ini akan menyebabkan kita tak jemu dengan suasana mendung, semangat takkan lekang dek hujan, dan tetap bertahan dalam kepanasan.

Berusaha dan janji Tuhan itu akan dipenuhi.
Just need to be calm.

اللهم لا مانع لما اعطيت ولا معطي لما منعت
ولا ينفع ذا الجد منك الجد

ya Allah tiada siapa yang bisa engkau halangi jika engkau bermaksud memberi,
Tiada siapa yang engkau memberi jika engkau bermaksud menghalangi.
Tiada berguna segala kekayaan, kekuasaan, status, dan anak bagi seseorang
kerana semua itu datang daripadamu. –Imam Nawawi.

Ibnu Jarir meriwayatkan ketika kaum musyrikin melecehkan kaum muslimin dengan kemiskinan harta dan tenaga yang menimpa mereka, Rasulallah kemudian bersabda, “Berbahagialah kalian kerana kemudahan telah datang kepada kalian. Ketahuilah sesuanggungnya suatu kesulitan tidak akan pernah mengalahkan dua kemudahan.” Maka turunlah surah yang mendidik manusia.

Rasulallah s.a.w menyatakan, kemudahan telah datang ketika kemiskinan datang melanda. Nampak sesuatu yang berbeda dengan sifatnya. Sangat Ironi.

Bebanan tanggungjawab ialah sunnah bagi yang memilih medan dakwah. Sedang Rasulallah hampir patah tulang punggungnya menggambarkan bebanan yang diperolehi. 

Dan setiap sesuatu tidak perlu difikirkan mengapakan ianya susah, mengapakan ianya senang mengapa adanya halangan. Kita hanya perlu mengisi dan terus mengisi dan mengisi. Mengambil Ibrah dari surah Al Insyirah,

Insyirah yang indah.

"Bukankah kami telah lapangkan dadamu (Muhammad)? Dan kami menurunkan bebanmu darimu. Yang memberatkan pinggulmu. dan kami tinggikan sebutan (nama)-mu bagimu, Maka dengan sesungguhnya bersama kesulitan adanya kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan adanya kemudahan. Maka apabila selesai, tetaplah berkerja keras (untuk urusan lain). Dan hanya tuhanmu engkau mengharap."
Walau masin air laut, tidak akan dapat memasinkan isi ikan. Walau busuk bau baja tidak akan busuk buah yang ranum. Walau talah dijanjikan kemenangan, bara api masih ditangan. Itulah erti kematangan dan kebahagiaan dalam urusan.




Insyirah binti Muad’z
Sedap juga nama ni…
19-10-2012
Bilik no.2, Dalam hujan.
اللهم صلى على محمد

2 comments:

Anonymous said...

ehemm..sedak baca nie..
Teruskan Usha anda.! ^^

Mohd Arif Afifi Bin Mohamad Sukri said...

best...!
teruskan usha..